KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- A.M. Best yang berpangkalan di Amerika
Syarikat, mengesahkan penarafan kedudukan kewangan syarikat insurans
tunggal Petronas, Energas Insurance (L) Ltd, pada A (Cemerlang) dan
penarafan penerbit kredit pada "a".
Agensi penarafan itu juga menetapkan unjuran stabil ke atas kedua-duanya.
A.M. Best dalam satu kenyataan hari ini berkata pengesahan penarafan itu
mencerminkan permodalan terlaras risiko yang kukuh, prestasi operasi
syarikat yang menggalakkan serta program insurans semula yang
menyeluruh.
"Penarafan itu juga memperakukan kedudukan strategiknya sebagai syarikat
insurans tunggal Petronas, syarikat minyak dan gas nasional Malaysia,
yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia.
"Energas memainkan peranan penting dalam pengurusan risiko keseluruhan program kumpulan itu," katanya.
Ia berkata modal dan lebihan Energas telah berkembang mantap sejak lima
tahun lepas susulan keputusan taja jaminnya yang menguntungkan manakala
pengukuhan kedudukan kewangan seterusnya disokong oleh pengekalan
pendapatan, pemilihan risiko serta program insurans semula.
Di samping itu, Energas juga mengekalkan portfolio pelaburan mudah tunai berhemat, katanya.
A.M. Best berkata Energas mengekalkan program insurans semula yang
komprehensif dengan sekumpulan panel penginsurans semula, yang
dijangkakan terus melindungi permodalannya jika berlaku kerugian besar.
Bagaimanapun ia berkata antara faktor pengimbang penarafan positif ini
ialah turun naik prestasi taja jamin dan permodalan Energas hasil
daripada kedudukan perniagaan dan ketahanan risiko yang lebih tinggi
sejak 2013.
Energas bagaimanapun berada pada kedudukan yang baik pada paras penarafan semasa.
"Tindakan penarafan negatif boleh berlaku jika terdapat kemerosotan
prestasi operasi, menyebabkan penurunan ketara paras modal wajaran
risiko.
"Selain itu, tekanan penarafan negatif mungkin timbul jika terdapat
pergerakan menurun yang ketara dalam profil kredit Petronas," katanya.
-- BERNAMA