Friday, September 14, 2018

Ekspo Gaya Hidup Asia 2019 di Bangkok

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Ekspo Gaya Hidup Asia 2019 akan diadakan di BITEC Bangkok, Thailand mulai 21 hingga 23 Ogos 2019. Ia dianjurkan secara bersama oleh COMASIA Limited dan N.C.C. Exhibition Organizer Co Ltd.

Sejajar dengan inisiatif Satu Jalur Satu Jalan, Ekspo Gaya Hidup Asia 2019 akan menyerlahkan perhatian terhadap produk ASEAN dan menyediakan platform untuk menyokong perniagaan ASEAN dalam pasaran global yang kompetitif.

Pengarah COMASIA Limited, Peter Cheung berkata, penekanan Ekspo Gaya Hidup Asia 2019 adalah kepada perdagangan ASEAN, memberi peluang kepada firma ASEAN terlibat dalam inisiatif Satu Jalur Satu Jalan dengan membuat hubungan serta rakan perdagangan baharu di rantau ini dan rantau lain.

Ekspo itu juga akan memberi peluang kepada para peruncit, syarikat perdagangan, e-dagang dan penjual dalam talian untuk mengimport produk gaya hidup ke ASEAN dan mengeksport produk buatan ASEAN di peringkat serantau dan global, kata kenyataan tersebut.

Lima ratus gerai akan mempamerkan produk yang terdiri daripada hadiah, elektronik pengguna, mainan, aksesori, peralatan dapur, kesenian, kraf dan peralatan rumah.

Presiden N.C.C. Exhibition Organizer Co Ltd, Sakchai Pattarapreechakul berkata, ekspo tersebut akan mempamerkan pelbagai produk gaya hidup dan akan menawarkan potensi besar kepada firma rantau ini untuk memasuki pasaran import dan eksport global yang berdaya saing.

Ekspo itu adalah pameran sampingan daripada pameran Oktober Hong Kong, satu siri yang sangat popular bagi acara-acara perdagangan sumber yang terbesar dan paling penting di Asia. Keterangan lanjut boleh didapati di https://www.asialifestyleexpo.com

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment