Thursday, September 20, 2018

EMGS anjur Persidangan Rakan Pendidikan Malaysia 2018

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Perkhidmatan Pendidikan Global Malaysia (EMGS) menganjurkan Persidangan Rakan Pendidikan Malaysia (EMPC) di Istana Golden Horses Hotel, di sini.

EMPC yang bermula 18 Sept dan bakal berakhir esok melibatkan pertemuan padanan perniagaan antara institusi atau penyedia pendidikan Malaysia dengan agensi pengambilan pelajar.

"Setiap mesyuarat  biasanya antara 15-20 minit berdasarkan waktu yang dijadualkan, untuk berbincang secara bersemuka dengan agensi pengambilan pelajar kearah kerjasama perniagaan masa depan.

"Acara ini khusus disesuaikan dengan keperluan pemain perindustrian dan ia tidak terbuka kepada orang ramai mahupun pelajar," kata EMGS dalam satu kenyataan.

EMGS menjangkakan 80 peserta dari seluruh dunia hadir menyertai acara tiga hari itu.

Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Datuk Dr Rujhan Mustafa berkata EMPC merupakan acara pertama yang akan dianjurkannya kearah membantu mempromosi institusi pendidikan Malaysia.

"Program ini akan menjadi cara yang paling komprehensif dan kos efektif untuk membentuk perkongsian yang berkesan antara para peserta dan untuk memberi gambaran tentang perkembangan industri. Ia juga merupakan platform yang baik untuk berkongsi idea-idea baru di kalangan para peserta," katanya.

EMGS merupakan syarikat bukan berasaskan keuntungan yang dimiliki oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk perkhidmatan pelajar antarabangsa bagi pengurusan dan pemprosesan permohonan pas pelajar ke institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Untuk maklumat berkenaan peluang belajar di Malaysia rujuk www.educationmalaysia.gov.my.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment