Saturday, September 15, 2018

TESCO ANJUR PROGRAM SEMPENA HARI PEMBERSIHAN BUMI



KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Tesco Malaysia bekerjasama dengan RCOMM Lestari untuk menjadi tuan rumah program alam sekitar di empat lokasi secara serentak, esok, sebagai komitmen ke arah mewujudkan persekitaran bersih.
Program diadakan bersempena Hari Pembersihan Bumi pada 15 Sept.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie berkata inisiatif tersebut adalah penting kerana setiap usaha kecil yang dilakukan untuk membersihkan alam sekitar akan membawa manfaat yang besar kepada masyarakat.
"Saya gembira kerana melalui pergerakan global ini, rakan sekerja dan komuniti termasuk para pelajar dari sekolah angkat kami akan berganding-bahu memberi impak yang besar kepada alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan.
Aktiviti pembersihan bersama yang akan berlangsung selama lima jam itu bakal melibatkan komuniti serta pelajar dari sekolah yang terletak berhampiran empat cawangan Tesco iaitu Tesco Sungai Petani Selatan, Kedah; Tesco Tanjung Pinang, Pulau Pinang; Tesco Manjung, Perak dan Tesco Kota Bharu, Kelantan.
Selain aktiviti membersih, peserta akan diberi taklimat oleh wakil RCOMM Lestari di lokasi masing-masing mengenai sistem pengurusan sisa seperti cara memisah, mengenal pasti barang kitar semula dan cara ideal untuk membuang sisa.
RCOMM Lestari adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang dilantik oleh pencetus idea Hari Pembersihan Bumi iaitu Let's Do It World Foundation, untuk memimpin dan melaksanakan program alam sekitar di Malaysia. 

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment