Wednesday, April 30, 2025

Bitget Melancarkan Skin Eksklusif LALIGA: Berdagang dengan Gaya bersama-sama Barça, Real Madrid & Banyak Lagi

 

VICTORIA, Seychelles, 30 April (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Bitget, sebuah bursa mata wang kripto dan syarikat Web3 yang terkemuka, telah melancarkan kempen inovatif "Your Team, Your Skin: LALIGA on Bitget", menggabungkan keghairahan bola sepak dengan keterujaan perdagangan kripto. Kemaskinian produk ini membolehkan pengguna menghiasi aplikasi Bitget dengan logo pasukan LALIGA kegemaran mereka dan bersaing untuk memperoleh ganjaran. Ini membuktikan bahawa, seperti dalam bola sepak, semangat dan strategi juga saling melengkapi dalam dunia kripto.

Bitget, yang terkenal kerana menerajui inovasi dalam penglibatan pengguna, kini meningkatkan lagi tahap platform syarikat dengan menyepadukan reka bentuk ikonik pasukan LALIGA ke dalam antara muka aplikasinya. Kini, pedagang boleh memakai kebanggaan pasukan mereka pada lengan digital mereka dengan menggunakan kit perdagangan baharu ini. Sama ada anda peminat tegar FC Barcelona atau penyokong setia Real Madrid, kini, aplikasi Bitget boleh menampilkan logo pasukan pilihan anda.

"Kami memberi peminat kripto cara baharu untuk memperlihatkan semangat pasukan mereka sambil berdagang," kata Gracy Chen, Ketua Pegawai Eksekutif di Bitget. "Anggaplah ia sebagai gabungan terbaik, iaitu apabila aplikasi perdagangan anda menjadi seunik pasukan fantasi bola sepak anda. Kempen ini adalah hatrik penglibatan, pemperibadian dan keseronokan, sama ada anda di sini untuk berdagang atau memburu trofi, ada sesuatu untuk setiap peminat."

Ini bukan sekadar peningkatan kosmetik, ia merupakan satu pertandingan besar-besaran. Pengguna memperoleh mata dengan menyelesaikan tugas permainan yang dikaitkan dengan pasukan pilihan mereka—papan pendahulu mingguan menjejaki pengguna yang menunjukkan prestasi terbaik. Semakin banyak anda berdagang, semakin tinggi kedudukan pasukan anda. Sama seperti dalam bola sepak, setiap mata penting.

Menyertai pertandingan ini bukan sahaja mudah tetapi juga mengujakan. Mula-mula, peminat boleh memperibadikan pengalaman dagangan Bitget mereka dengan memilih lambang ikonik pasukan LALIGA kegemaran mereka, mengubah antara muka aplikasi menjadi penghormatan digital terhadap minat bola sepak mereka. Kemudian, pertandingan sebenar bermula: pengguna memperoleh mata untuk pasukan pilihan mereka dengan menyelesaikan cabaran perdagangan dan berinteraksi dengan platform, mencipta gabungan yang menarik antara aktiviti kripto dengan semangat pasukan. Persaingan menjadi semakin sengit setiap minggu apabila papan pendahulu yang dikemaskinikan menampilkan penyokong kelab yang mendominasi pertandingan, menggabungkan kehebatan perdagangan dengan semangat peminat yang kekal membara dalam cara yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Reputasi LALIGA dalam inovasi dan tarikan global sejajar dengan misi Bitget untuk menjadikan perdagangan kripto lebih interaktif dan menarik. Dengan menggabungkan semangat peminat sukan dengan pasaran kewangan, Bitget mentakrifkan semula cara pengguna berinteraksi dengan platform perdagangan mereka, membuktikan bahawa kripto tidak semestinya hanya tentang carta dan angka. Kadangkala, ia juga tentang hak berbangga.

Kempen "Your Team, Your Skin" kini tersedia secara langsung dalam aplikasi Bitget. Muat turun, sesuaikan dan mula memperoleh mata hari ini. Siapa kata perdagangan kripto tidak boleh mempunyai sedikit gaya fútbol?

Perihal Bitget

Ditubuhkan pada 2018, Bitget merupakan sebuah bursa mata wang kripto dan syarikat Web3 yang terkemuka di dunia. Memberikan perkhidmatan kepada lebih 100 orang juta pengguna di lebih daripada 150 negara dan rantau, bursa Bitget komited untuk membantu pengguna berdagang dengan lebih bijak melalui ciri perdagangan salinan perintisnya dan penyelesaian perdagangan yang lain. Bitget turut menawarkan akses masa nyata kepada harga Bitcoinharga Ethereum dan harga mata wang kripto yang lain. Bitget Wallet yang sebelum ini dikenali sebagai BitKeep merupakan dompet kripto berbilang rantaian bertaraf dunia yang menawarkan pelbagai penyelesaian dan ciri Web3 yang menyeluruh, termasuk kefungsian dompet, pertukaran token, Pasaran NFT, penyemak imbas DApp dan banyak lagi.

Bitget berada di barisan hadapan dalam memacu penggunaan kripto melalui perkongsian strategik, antaranya berperanan sebagai Rakan Kongsi Kripto Rasmi Liga Bola Sepak Terunggul Dunia, LALIGA, dalam pasaran TIMUR, SEA dan LATAM, termasuk menjadi rakan kongsi global atlet Kebangsaan Turki Buse Tosun Çavuşoğlu (Juara dunia gusti), Samet Gümüş (Pemenang pingat emas tinju) dan İlkin Aydın (pemain pasukan bola tampar kebangsaan), untuk memberikan inspirasi kepada komuniti global bagi menerima baik masa depan mata wang kripto.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, layari: Laman web | Twitter | Telegram | LinkedIn | Discord | Bitget Wallet

Untuk pertanyaan media, sila hubungi: media@bitget.com

Amaran Risiko: Harga aset digital mungkin turun naik dan mengalami ketidakstabilan harga. Hanya melabur jika anda sanggup menanggung kerugian. Nilai pelaburan anda mungkin terjejas dan berkemungkinan anda tidak mencapai matlamat kewangan anda atau mendapatkan semula pelaburan pokok anda. Anda seharusnya sentiasa mendapatkan nasihat kewangan yang bebas dan mempertimbangkan pengalaman kewangan dan kedudukan kewangan anda sendiri. Prestasi pada masa lalu bukanlah ukuran prestasi masa hadapan yang boleh dipercayai. Bitget tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian yang mungkin anda alami. Tiada apa-apa pun di sini yang boleh ditafsirkan sebagai nasihat kewangan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila rujuk Syarat Perkhidmatan kami.

Foto yang mengiringi pengumuman ini tersedia di http://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/f7e187b7-cdfe-4cc7-9410-ec2319c1a0f9 

SUMBER : Bitget Limited

PENAFIAN: BERNAMA MREM tidak bertanggungjawab atas sebarang sebab penodaan laman web, penyalahgunaan, atau aktiviti haram yang berkaitan dengan mata wang kripto, rantaian blok, tokenisasi, atau bitcoin. Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai panduan atau pendapat, kerana ia bukan nasihat kewangan atau pelaburan. Gunakan maklumat ini atas risiko anda sendiri; kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penerbitan semula artikel ini. 

Friday, April 25, 2025

Usahawan dan Penyair Tersohor, Sekou Andrews akan menjadi Penceramah Utama di Duck Creek Formation ’25

 Sekou, Pencipta “Poetic Voice” akan menyerlahkan kuasa inovasi, penyesuaian dan kepimpinan dalam menangani cabaran industri


BOSTON, 25 April (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Duck Creek Technologies, penyedia penyelesaian pintar global yang mentakrifkan masa depan hartanah dan kasualti (P&C) serta insurans am, mengalu-alukan Sekou Andrews sebagai penceramah utama Formation '25. Andrews merupakan seorang pemimpin pemikiran, usahawan yang memenangi anugerah serta Pengasas/CEO SekouWorld, Inc., inovator "Poetic Voice" dan salah seorang penyair lisan yang paling berjaya di dunia. Formation, iaitu persidangan pengguna tahunan Duck Creek yang menarik minda yang paling cemerlang dalam industri insurans dan teknologi akan berlangsung di Orlando, Florida pada 19-21 Mei 2025.

Formation ’25 akan memberikan komuniti insurans P&C dan am cerapan, teknologi serta alatan untuk membantu membentuk hala tuju industri dalam menyesuaikan diri dengan cabaran masa kini, termasuk perubahan iklim, risiko keselamatan siber dan teknologi serta aliran kawal selia yang sentiasa berubah. Pemimpin industri akan berkongsi cara mereka memacu industri ke hadapan dengan menyampaikan penyelesaian inovatif untuk meminimumkan risiko dan memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik. Agenda tersebut menawarkan sesi umum dan pecahan yang diketuai oleh pemimpin syarikat, pelanggan, rakan kongsi dan penganalisis industri. yang semuanya berkongsi semangat dan kepakaran untuk mempercepatkan evolusi industri insurans.

"Sekou Andrews merupakan seorang penceramah dan penyair berpengaruh yang telah memberi inspirasi kepada banyak organisasi serta individu dengan puisinya yang hebat untuk merangkul perubahan, mencetuskan inovasi dan berfikir dengan berani," kata Mike Jackowski, Ketua Pegawai Eksekutif Duck Creek Technologies. “Kami sangat berbesar hati untuk menyaksikan beliau berkongsi gaya dan kata-kata beliau yang penuh dengan inspirasi di Formation ’25, sambil kami terus berinovasi, menyesuaikan diri dan menerajui merentasi industri kami bagi mencipta keterlibatan serta pengalaman pelanggan yang bermakna.”

Ucap utama Sekou, “The Audacity of What If?” akan memberikan tumpuan kepada idea yang mengubah cara berfikir dan bertindak bermula dengan dua perkataan: “What if?” Dengan menerokai kelantangan sebagai cara untuk memacu inovasi, beliau akan membincangkan bagaimana pertanyaan berani dan pemikiran yang tidak konvensional membolehkan pemimpin mencabar norma, mencetuskan perubahan, sekaligus mendorong industri ke hadapan.

"Puisi adalah tentang mencipta suara yang menembusi kebisingan dan memimpin dengan kesederhanaan serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan cepat," kata Sekou Andrews. “Saya teruja untuk menjadi sebahagian daripada persidangan ini serta memberikan inspirasi kepada penontonnya untuk memimpin, menyesuaikan diri dan berinovasi menggunakan cara yang baharu dan mendalam.”

Formation '25 – Ketahui Lebih Lanjut dan Daftar Sekarang

Sekou Andrews merupakan Pengasas/CEO SekouWorld, Inc., inovator "Poetic Voice" dan salah seorang penyair lisan yang paling berjaya di dunia. Pada bila-bila masa, bekas guru yang kini bergelar usahawan ini, yang berjaya membangunkan syarikat bernilai jutaan dolar berasaskan puisi boleh ditemui menyampaikan ucap utama di syarikat Fortune 500, memberi inspirasi kepada ribuan orang di konsert atau membuat persembahan untuk Barack Obama di kediaman Oprah. Sekou merupakan pencipta “poetic voice” – kategori pertuturan canggih yang menggabungkan pengucapan inspirasi dengan puisi lisan secara harmoni, ibarat gabungan “Hamilton” dan “TED”. Gabungan inovatif penceritaan strategik, kepimpinan pemikiran, puisi lisan, teater dan komedi ini memberikan nyawa kepada kandungan, sekaligus menjadikannya menghiburkan, menyentuh perasaan dan sukar dilupakan. Pencapaian Sekou merangkumi anugerah “Entrepreneur of the Year” daripada ABA, dua Independent Music Awards, dua kejuaraan National Poetry Slam, tiga Helen Hayes Awards, enam CLIO Awards, jumlah JPF Music Awards terbanyak dalam sejarah serta pencalonan GRAMMY pertama untuk 'Best Spoken Word Album' yang diberikan kepada mana-mana penyair puisi lisan sejak 30 tahun yang lepas. Dengan segala inovasi dan inspirasi yang terkandung dalam poetic voice, Sekou Andrews sedang mencapai sesuatu yang kelihatan mustahil—membawa puisi lisan ke pentas terbesar dunia sambil mentakrifkan semula makna seorang penyampai dan potensi seorang penyair.

Perihal Duck Creek Technologies 
Duck Creek Technologies merupakan penyedia penyelesaian pintar yang mentakrifkan masa depan industri insurans hartanah dan kasualti (P&C) serta insurans am. Kami merupakan platform yang membolehkan sistem insurans moden dibina, membolehkan industri memanfaatkan kuasa awan untuk menjalankan operasi yang tangkas, pintar dan malar hijau. Ketulenan, tujuan dan ketelusan menjadi teras Duck Creek dan kami percaya insurans seharusnya tersedia untuk individu serta perniagaan pada bila-bila masa, tanpa mengira tempat dan dalam apa-apa jua cara. Penyelesaian peneraju pasaran kami tersedia secara kendiri atau sebagai suite penuh dan semuanya tersedia melalui Duck Creek OnDemand. Layari www.duckcreek.com untuk mengetahui lebih lanjut. Ikuti Duck Creek di saluran sosial kami untuk maklumat terkini – LinkedIn dan X.

Hubungan Media:   
Marianne Dempsey/Tara Stred   
duckcreek@threeringsinc.com

SUMBER: Duck Creek Technologies

--BERNAMA

PERLINDUNGAN UNTUK WARGA EMAS BERISIKO TINGGI KKM SERU AMBIL PELUANG VAKSIN INFLUENZA PERCUMA

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini berkenaan pelaksanaan Program Imunisasi Influenza Warga Emas yang menawarkan vaksin influenza secara percuma kepada warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau kronik.

Program ini telah bermula pada 18 Februari 2025. Sehingga 20 April 2025, sebanyak 59.47% warga emas dengan komorbid telah menerima suntikan vaksin influenza, berdasarkan jumlah dos vaksin yang telah dibekalkan ke fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara.

Masih terdapat 57,093 slot janji temu vaksinasi yang tersedia, dan orang ramai boleh mendapatkan vaksin influenza di fasiliti kesihatan kerajaan sehingga akhir Ogos 2025. Warga emas yang layak disarankan agar segera membuat janji temu sebelum slot ditutup.

Perkhidmatan ini disediakan di 649 Klinik Kesihatan (KK) terpilih di seluruh Malaysia. Vaksin diberikan secara percuma dan merangkumi kos vaksin, peralatan, serta khidmat kesihatan berkaitan. Janji temu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera. Orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan, melayari portal rasmi atau media sosial KKM, atau hadir sendiri ke KK untuk mendapatkan maklumat lanjut. Sebagai tambahan, KKM ingin memaklumkan bahawa KK yang terlibat telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan program imunisasi ini.

Bagi warga emas yang tidak mempunyai akses kepada MySejahtera, mereka boleh hadir secara walk-in ke KK yang disenaraikan untuk pendaftaran dan suntikan, tertakluk kepada slot yang masih tersedia. 

KKM menggalakkan warga emas yang hadir untuk rawatan susulan penyakit kronik di Klinik Kesihatan berkenaan agar mengambil inisiatif untuk mendapatkan maklumat dan bertanya berkenaan kelayakan menerima vaksin influenza secara percuma, sekiranya belum ditawarkan. 

KK menyeru semua warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau kronik seperti diabetes, penyakit jantung, penyakit pernafasan kronik atau tekanan darah tinggi untuk mengambil peluang ini bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya menjelang musim jangkitan. 

Langkah ini penting bagi mencegah komplikasi serius dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital akibat jangkitan influenza dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk laman web rasmi KKM atau hadir terus ke Klinik Kesihatan yang terlibat.

#LindungiWargaEmas #VaksinInfluenzaKKM #SihatSejahtera
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
24 APRIL 2024

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: TIMOTHY PALAVADRAM
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia 
E-mel: timothy.palavadram@moh.gov.my

--BERNAMA

Wednesday, April 23, 2025

RELEX Solutions Diiktirafkan sebagai Peneraju dalam Gartner® Magic Quadrant™ 2025 untuk Perancangan Rantaian Bekalan

 RELEX diiktiraf sebagai Peneraju buat kali pertama dalam laporan penganalisis bebas ini, atas keupayaan melaksanakan serta kesempurnaan visinya.

 

ATLANTA & HELSINKI, 23 April (Bernama-BUSINESS WIRE) -- RELEX Solutions, penyedia penyelesaian perancangan runcit dan rangkaian bekalan bersatu yang dikuasakan oleh teknologi AI terbukti, hari ini mengumumkan bahawa ia telah diiktiraf sebagai Peneraju dalam Gartner® Magic Quadrant™ 2025 untuk Perancangan Rantaian Bekalan¹, berdasarkan Kesempurnaan Visi dan Keupayaan untuk Melaksanakan.
 
Pengiktirafan ini menandakan kali pertama RELEX tersenarai dalam Kuadran Pemimpin, hanya tiga tahun selepas kemasukan pertamanya dalam laporan ini pada tahun 2022. RELEX percaya bahawa pencapaian ini menyerlahkan kekuatan, kebolehskalaan, serta keupayaan platform bersatunya yang menyepadukan perancangan permintaan dan bekalan merentasi keseluruhan rantaian nilai. Pendekatan ini membolehkan organisasi membuat keputusan yang lebih bijak, meningkatkan kecekapan operasi, dan memperkukuh kerjasama merentas pasukan dan fungsi.
 
“Kami berasa amat berbesar hati dengan pengiktirafan sebagai Peneraju dalam laporan ini, yang kami anggap sebagai satu pengesahan terhadap komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk menyampaikan nilai yang boleh diukur serta inovasi yang mampu mentransformasi perancangan rantaian bekalan,” kata Mikko Kärkkäinen, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama, RELEX Solutions.
 
“Platform kami benar-benar bersatu, direka untuk memenuhi keperluan peruncit, pemborong, pengilang dan syarikat barangan pengguna. Kami telah melabur secara signifikan dalam inovasi, dengan memperuntukkan 25% daripada hasil tahunan kami kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), bagi memperkukuh lagi platform kami untuk menyokong industri pembuatan yang kompleks. Kami menunaikan janji kami dengan menyediakan gabungan unik perancangan permintaan berskala runcit berasaskan AI, pengoptimuman permintaan dan bekalan, serta penjadualan pengeluaran — semuanya dalam satu platform. Ini membantu perniagaan menangani cabaran rantaian bekalan yang paling mencabar dengan lebih cekap dan berkesan.”
 
Platform RELEX telah berakar umbi dalam teknologi AI sejak penubuhan syarikat, membolehkan pengoptimuman rantaian bekalan yang sangat tepat. Ia menyepadukan perancangan induk secara lancar dengan ramalan dan pengesanan permintaan, penambahan, peruntukan, serta penjadualan pengeluaran — kesemuanya dalam satu model data bersepadu.
 
Dengan seni bina yang sangat boleh dikonfigurasikan, platform ini menyokong perancangan tanpa sentuhan (touchless planning), mengautomasikan proses rutin dan memperkasakan perniagaan untuk bertindak balas dengan pantas terhadap perubahan dinamik pasaran.
 
Keupayaan utama platform RELEX merangkumi:
 
· Perancangan permintaan dipacu AI menggunakan ramalan pembelajaran mesin (ML) dan penderiaan permintaan bagi menjangka serta bertindak balas terhadap turun naik pasaran.
· Perancangan pengeluaran, pembelian dan pengedaran yang bersepadu, membolehkan penyelarasan bekalan dengan permintaan secara masa nyata.
· Penjadualan pengeluaran lanjutan untuk persekitaran pengilangan yang kompleks, meningkatkan kecekapan operasi secara menyeluruh.
· Kerjasama perusahaan yang diperluaskan, memanfaatkan kejayaan RELEX dalam industri runcit untuk membolehkan pengeluar berhubung dan bekerjasama secara lancar dengan peruncit.
· Diagnostik lanjutan, bagi mengenal pasti punca ketidakcekapan dalam rantaian bekalan, sekali gus membolehkan tindakan proaktif dan penambahbaikan berterusan.
· Keupayaan penambahan dan peruntukan yang memastikan tahap inventori optimum di seluruh rantaian bekalan, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan ketersediaan produk.
· Platform bersatu, yang menghubungkan semua keupayaan ini bagi menyokong pendekatan Perancangan Perniagaan Bersepadu (Integrated Business Planning, IBP).
 
RELEX turut memacu inovasi dalam bidang AI generatif (genAI) dan agen AI, di samping terus membangunkan teknik AI khusus yang mengukuhkan lagi keupayaan platformnya. Pendekatan ini membolehkan organisasi meningkatkan ketangkasan, mengurangkan pembaziran, dan menyelaraskan matlamat strategik dengan pelaksanaan operasi secara lebih efektif.
 
Dengan Skor Promoter Bersih (NPS) yang menerajui pasaran, pelanggan RELEX secara konsisten menilai syarikat ini sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan bernilai dalam usaha transformasi rantaian bekalan mereka.
 
Akses laporan Gartner® Magic Quadrant™  untuk Perancangan Rantaian Bekalan di sini.
 
1. Gartner, "Magic Quadrant for Supply Chain Planning Solutions", Pia Orup Lund, Joe Graham, Caleb Thomson, Shane Brett, Eva Dawkins, 14 April 2025.
 
2. Gartner tidak menyokong mana-mana vendor, produk, atau perkhidmatan yang disebut dalam penerbitan penyelidikannya dan tidak mengesyorkan pengguna teknologi untuk hanya memilih vendor dengan penilaian tertinggi atau sebutan lain. Penerbitan penyelidikan Gartner terdiri daripada pendapat organisasi penyelidikannya dan tidak boleh dianggap sebagai kenyataan fakta. Gartner menafikan semua jaminan, tersurat atau tersirat, berkenaan dengan penyelidikan ini, termasuk sebarang jaminan kebolehdagangan atau kesesuaian untuk tujuan tertentu.
 
3. GARTNER ialah tanda dagangan dan tanda perkhidmatan berdaftar Gartner, Inc. dan/atau sekutunya di Amerika Syarikat dan di peringkat antarabangsa, dan digunakan di sini dengan kebenaran. Semua hak terpelihara.
 
Tentang RELEX
RELEX Solutions menyediakan platform bersatu untuk perancangan runcit, pembuatan dan rantaian bekalan, yang dikuasakan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) yang telah terbukti keberkesanannya. Kami membantu peruncit, pengilang, dan syarikat barangan pengguna untuk mengoptimumkan ramalan permintaan, penambahan semula inventori, pengurusan barangan dagangan, harga dan promosi, operasi rantaian bekalan, serta perancangan pengeluaran merentasi keseluruhan rantaian nilai — dari hujung ke hujung.
 
Syarikat global terkemuka seperti ADUSA, AutoZone, Coles, Circle K, Dollar Tree dan Family Dollar, M&S Food, PetSmart, Rituals, The Home Depot, dan Systemair mempercayai RELEX untuk meningkatkan ketersediaan produk, merangsang jualan, menyampaikan cerapan yang boleh diambil tindakan, memperkukuh kelestarian, dan memacu pertumbuhan yang menguntungkan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.relexsolutions.com/customers/

Teks asal pengumuman ini dalam Bahasa Inggeris merupakan versi rasmi dan sahih. Terjemahan yang disediakan dalam Bahasa Melayu adalah untuk tujuan penyesuaian sahaja dan hendaklah dirujuk bersama teks asal. Sekiranya terdapat sebarang percanggahan, versi Bahasa Inggeris akan diguna pakai sebagai satu-satunya rujukan yang mempunyai kesan undang-undang.
 
Maklumat Perhubungan:
Jolene Peixoto
Naib Presiden Perhubungan
RELEX Solutions
Email: jolene.peixoto@relexsolutions.com
 
Savannah Yawn
Pengurus Kanan Komunikasi
RELEX Solutions
Email: savannah.yawn@relexsolutions.com
 
Sumber: RELEX Solutions

HOFA Mengumumkan Digital Art Awards Baharu, Menjalinkan Kerjasama dengan PhillipsX sebagai Rakan Pameran

LONDON, 23 April (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- HOFA Gallery mengumumkan pelancaran Digital Art Awards, sebuah inisiatif kerjasama bersama rakan pamerannya, PhillipsX. Menandakan permulaan era baharu dalam pengiktirafan seni digital. Acara ini meraikan amalan inovatif di persimpangan seni dan teknologi termasuk AI, media imersif dan generatif. Majlis anugerah akan berlangsung pada 15 Mei 2025, menampilkan empat kategori utama iaitu Imej Pegun, Imej Bergerak, Inovasi dan Pengalaman, dan diikuti seterusnya dengan pameran awam yang dianjurkan oleh Phillips di London dari 16 hingga 22 Mei 2025.   

Sebagai kemuncak kalendar seni musim bunga London, anugerah sulung itu meraikan kepentingan budaya seni digital yang semakin ketara dan menonjolkan artis yang mentakrifkan semula budaya visual melalui estetika algoritma serta kerjasama antara mesin manusia. Di pameran tersebut, para pengunjung boleh melibatkan diri dengan karya seni dan idea yang membentuk masa depan seni digital.

Dua puluh finalis antarabangsa akan dipilih berdasarkan karya mereka yang melangkaui sempadan kreativiti digital. Setiap kategori pemenang akan menerima komisen sebanyak $10,000 USDC untuk setiap karya seni baharu. Finalis serta pemenang akan dipilih oleh panel pakar terkemuka dalam seni dan inovasi.

Beberapa tokoh terkenal dalam seni digital dan generatif seperti Sarah Meyohas, Sougwen Chung, Emily Xie, Operator dan Kevin Abosch telah membuat permohonan awal. Ini memperlihatkan bakat luar biasa yang tertarik kepada anugerah ini.

Pameran awam yang dianjurkan oleh Phillips akan menampilkan karya pemenang daripada setiap kategori, bersama pilihan karya terpilih daripada beberapa finalis, seterusnya menawarkan spektrum inovasi memacu seni digital.

Anugerah ini dibina berdasarkan kejayaan SPACES, siri pameran jualan HOFA yang dianjurkan oleh Phillips melalui platform pameran jualan mereka, PhillipsX. Inisiatif ini didedikasikan untuk memperjuangkan artis di persimpangan seni, sains dan teknologi. Artis yang memenangi anugerah ini juga akan menyertai program tersebut, dengan karya baharu mereka dipamerkan di pameran, ekspo dan kerjasama institusi terpilih.

Digital Art Awards dengan bangganya disokong oleh Digital Cultural Fund Hivemind Capital Partners. Hivemind komited untuk memperjuangkan artis digital yang telah dikenali sambil memupuk bakat baharu dan membina asas ekonomi yang mampan bagi ekosistem seni digital yang semakin berkembang. Rakan kongsi lain merangkumi ApeChain, platform global untuk pencipta dan penggembira budaya generasi seterusnya serta bank kripto global, Amina.

Elio D'Anna, Pengasas Bersama HOFA dan Digital Art Awards berkata: "Digital Art Awards mewakili pengiktirafan penting bagi artis yang akan membentuk masa depan. Melalui kerjasama kami dengan Phillips, kami komited untuk memperjuangkan inovasi dan menyediakan platform kepada bakat yang berwawasan untuk mentakrifkan semula seni dan teknologi.”

Emma-Louise O'Neill

emmalouise@thehouseoffineart.com 

Foto yang mengiringi pengumuman ini tersedia di 
http://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/7cb454d1-8949-4da1-8994-43ab283d40af 

SUMBER: HOFA Gallery (House of Fine Art)

--BERNAMA

Sidra Capital Berkembang ke Pasaran Kredit Persendirian Australia

SINGAPURA, 23 April (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Sidra Capital, pengurus global terkemuka pelaburan alternatif patuh Syariah, telah mengumumkan pelancaran dana pelaburan kredit swasta Australia yang memberikan tumpuan kepada sektor perlombongan dan tenaga di Australia.

Dana yang dikenali sebagai Sidra Asia Pacific Private Investments Sub-Fund I, akan diuruskan oleh pasukan Singapura Sidra Capital yang telah membina rekod prestasi yang kukuh dalam strategi pelaburan tertumpu kepada komoditi Asia Pasifik. Dana terbaharu ini memberikan pelabur pulangan penyesuaian risiko yang menarik dengan pendedahan kepada pasaran yang maju.

Ghassan Soufi, Naib Pengerusi di Sidra Capital, mengulas bahawa: "Pelancaran dana ini memberikan pelabur swasta akses kepada strategi yang dibangunkan dengan baik dan terperinci, hasil usaha pasukan yang secara konsisten menghasilkan pulangan menarik sepanjang lima tahun yang lalu. Kami kekal optimis namun berhati-hati mengenai peluang di Asia Pasifik termasuk Indonesia, Singapura dan Australia, yang dijangka mendapat manfaat daripada perubahan rantaian bekalan global meskipun dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia semasa. Secara khususnya, Australia menawarkan pasaran yang menarik dengan peluang hasil tinggi, disokong oleh rangka kerja perundangan yang mantap serta ekosistem pelaburan yang kukuh yang terdiri daripada pelabur institusi dan swasta, mahupun tempatan atau antarabangsa."

Azlan Firman, Ketua Pelaburan APAC, menambah: "Kami terus memperhalusi strategi kami untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan berterusan dalam pasaran global dan kami secara konsisten berusaha untuk mengenal pasti peluang kredit swasta yang timbul daripada peralihan ekonomi semasa. Usaha ini memastikan kami mengekalkan kelebihan daya saing dan memberikan nilai sebenar kepada pelabur kami."

Pelancaran dana yang berpangkalan di Singapura ini mengukuhkan komitmen Sidra Capital untuk menyediakan penyelesaian pelaburan yang inovatif dan patuh Syariah, yang mampu memberikan pulangan yang konsisten dengan penyesuaian risiko kepada para pelabur.

Hubungan: prandmarketing@sidracap.com
 
SUMBER: Sidra Capital

--BERNAMA

Tuesday, April 22, 2025

TOURISM MALAYSIA TERUSKAN LIBAT URUS PANTAI TIMUR DI PAHANG MENUJU TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

KUANTAN, 22 April (Bernama) -- Tourism Malaysia meneruskan siri jelajah Pantai Timur bagi memperkukuh jalinan kerjasama bersama penggiat industri pelancongan menerusi Sesi Libat Urus yang berlangsung di Hotel AC by Marriott Kuantan, Pahang pada hari ini.

Program ini merupakan kesinambungan daripada pelancaran rasmi logo, lagu, video promosi dan maskot Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), serta sebahagian daripada siri libat urus yang berlangsung dari 20 hingga 22 April 2025, merangkumi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
 
Sesi ini bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh kepada penggiat industri pelancongan di negeri Pahang berkenaan pelbagai inisiatif serta peluang yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sekaligus menyokong agenda nasional ke arah kejayaan TMM2026.
 
Kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta amat penting bagi memastikan Pahang terus berkembang sebagai destinasi pelancongan unggul. Tourism Malaysia turut bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan mendapat maklumat tepat dan terkini mengenai inisiatif yang tersedia.
 
Antara inisiatif yang dibentangkan dalam sesi ini termasuklah Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Galakan Melancong (GAMELAN), serta Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK). Turut membuat pembentangan ialah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara (JWN), dan Balai Seni Visual Negara (BSVN), yang berkongsi pelbagai program dan aktiviti untuk tahun 2025.

Sesi ini turut dihadiri oleh YBhg. Datin Rafidah Idris, Pengarah Kanan Bahagian Domestik & Acara, Tourism Malaysia; Encik Kamaruddin Ibrahim, Pengurus Besar Tourism Pahang; serta wakil-wakil daripada kerajaan negeri dan sektor pelancongan tempatan.
 
Pada tahun 2024, Malaysia mencatatkan sebanyak 38 juta ketibaan pelawat, meningkat sebanyak 31.1% berbanding tahun 2023. 10 pasaran utama ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan. Bagi tahun 2025 menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, negara menyasarkan sebanyak 45 juta ketibaan pelawat antarabangsa dengan jangkaan pendapatan pelancongan sebanyak RM270 bilion.

Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di FacebookInstagramXYouTube, dan TikTok

SUMBER: Tourism Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Norazlina Ismail
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603 8891 8789 
E-mel: norazlina@tourism.gov.my 

Nama: Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603 8891 8775
E-mel: norshariza@tourism.gov.my 

--BERNAMA

RHB ISLAMIC PERKUKUH KOMITMEN TERHADAP KEWANGAN SOSIAL ISLAM

Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan RHB Islamic.

 Melancarkan Laman Web Khas untuk Meningkatkan Ketelusan dan Penglibatan Komuniti

 
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- RHB Islamic Bank Berhad (“RHB Islamic”) memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam Kewangan Sosial Islam, dan kekal komited dalam memperkasakan golongan asnaf dan komuniti B40. Melalui inisiatif strategik dan pelancaran laman web baharu, ia menjadi manifestasi kesungguhan RHB Islamic untuk memacu perubahan bermakna serta membina masyarakat yang lebih inklusif dan saksama dalam aspek sosioekonomi. Laman web baharu ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan, bahkan berfungsi sebagai platform untuk menggalakan penglibatan masyarakat di mana para penerima manfaat, rakan kongsi, dan masyarakat awam dapat memahami, menyertai, serta menyumbang kepada misi kewangan sosial RHB Islamic.
 
“Di RHB Islamic, kami percaya bahawa kejayaan kewangan perlu seiring dengan tanggungjawab sosial,” kata Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan RHB Islamic. “Berpandukan Maqasid al-Shariah, kami komited untuk membangunkan penyelesaian yang mampan ke arah menangani cabaran sosio-ekonomi dalam kalangan masyarakat. Sejak 2017, RHB Islamic telah secara strategik mengagihkan dana zakat, wakaf dan sedekah melalui empat teras utama: Pemerkasaan Ekonomi, Pemerkasaan Pendidikan, Kelestarian Komuniti, dan Inisiatif Hijau. Komitmen ini bukan sahaja mengenai pemberian bantuan kewangan tetapi juga membina pemerkasaan ekonomi jangka panjang dan memastikan setiap ringgit digunakan secara berkesan bagi menghasilkan impak sosial yang positif.”
 
Komitmen ini dibuktikan melalui pertambahan inisiatif-inisiatif kewangan sosial oleh RHB Islamic dari semasa ke semasa, dengan jumlah penggunaan dana yang meningkat daripada RM1,061,461 pada tahun 2022 kepada RM1,430,157 pada tahun 2024. Peningkatan ini mencerminkan tumpuan yang lebih mendalam terhadap penyaluran dana untuk manfaat sosio-ekonomi yang berimpak dan berpanjangan.

Sorotan Utama Komitmen Kewangan Sosial RHB Islamic:
 
· Penyesuaian dengan Kerangka Nasional dan Global:

Pendekatan berstruktur ini selaras dengan kerangka nasional seperti Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) Bank Negara Malaysia dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini menegaskan komitmen RHB Islamic terhadap amalan perbankan yang beretika, bertanggungjawab dan mampan, sekali gus memperkasakan kebajikan awam serta memastikan pematuhan terhadap piawaian nasional dan antarabangsa.
 
· Hasil Ketara:

Melalui inisiatif dan program yang inovatif, RHB Islamic telah berjaya merealisasikan impak positif dalam kalangan masyarakat yang mengubah kehidupan dan memberi kesan peningkatan ekonomi mereka secara mampan. Antara impak yang dicapai adalah seperti berikut:
B40 Education Empowerment Programme (“BEEP”): Menyokong lebih daripada 3,000 individu melalui inisiatif pendidikan dan pembangunan kemahiran.
B40 Empowerment Strategy – Be Your Own Boss (“BEST-BYOB”): Membantu 50 peserta memperoleh kemahiran keusahawanan bagi memupuk kemandirian ekonomi.
Projek Pembangunan Ekonomi Ummah Lembaga Zakat Negeri Kedah (“LZNK PPEU”): Memperkasa lebih daripada 80 petani asnaf untuk mencapai kemampanan ekonomi.
Memperkasakan Asnaf B40 Melalui Projek Ekonomi di Perlis: RHB Islamic dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (“MAIPs”) komited untuk mempertingkatkan taraf hidup komuniti asnaf B40 melalui inisiatif ekonomi yang mampan melalui penyediaan latihan amali, pembangunan kerjaya, dan peluang keusahawanan:
     o   Projek “Harvest Bakery” (sejak 2022) – Melatih lebih 96 suri rumah asnaf dalam bidang pembuatan roti dan makanan sejuk beku, yang memberikan manfaat signifikan kepada mereka.
     o   Projek “Sewing Delight” (2023) – Membantu 40 wanita asnaf mengembangkan kemahiran menjahit dan membuat pakaian, membolehkan mereka menjana pendapatan.
     o   Projek Penghasilan Karipap (2023) – Berkongsi pengetahuan tentang keusahawanan berasaskan makanan, sambil melengkapi peserta dengan pengalaman amali dalam pengeluaran makanan dan pengurusan perniagaan.
     o   Pusat Baikpulih Telefon Pintar (2024) – Menyediakan latihan dalam pembaikan gajet, membuka peluang kepada asnaf yang berminat dalam industri teknologi.
Melalui inisiatif-inisiatif ini, RHB Islamic terus memupuk pemerkasaan ekonomi dan kemandirian dalam kalangan komuniti asnaf.
Inisiatif Masjid Hijau: Memperkenalkan teknologi hijau di masjid bagi mengurangkan jejak karbon daripada penggunaan elektrik dan air. Usaha utama termasuk pemasangan sistem Solar PV, sistem penuaian air hujan, rawatan air kendiri, dan pengumpulan minyak masak terpakai daripada komuniti. Empat masjid di Perlis, Selangor, Pahang, dan Melaka, Malaysia telah menerima manfaat di bawah inisiatif ini.
 
· Kerjasama Strategik:

RHB Islamic bekerjasama dengan organisasi terkemuka termasuk Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dan universiti tempatan untuk memperluas jangkauan program. Melalui kerjasama ini, RHB Islamic bukan sahaja memperluaskan jangkauan kewangan sosialnya tetapi juga mencipta peluang untuk inovasi kolaboratif dan impak bersama dalam komuniti.
 
Laman Web Baharu Tingkatkan Ketelusan dan Penyertaan
Laman web yang baru dilancarkan ini berfungsi sebagai hab utama bagi inisiatif kewangan sosial RHB Islamic yang menyediakan maklumat dan gambaran menyeluruh mengenai program yang sedang berjalan, kisah kejayaan, dan memberi peluang untuk penglibatan komuniti. Laman web ini meningkatkan ketelusan dan aksesibiliti untuk pelanggan, penerima manfaat dan masyarakat, menawarkan saluran yang jelas untuk mengetahui tentang program yang tersedia, penggunaan dana, serta menyertai inisiatif kewangan sosial yang dijalankan oleh RHB Islamic.
 
Dato’ Adissadikin Ali juga menjelaskan mengenai pelancaran laman web ini, “Laman web baharu yang dilancarkan ini merupakan komitmen berterusan RHB Islamic untuk membawa perubahan bermakna dalam kehidupan mereka yang memerlukan. Kami menggalakkan semua pihak untuk melayari laman web ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif kami, meneroka kisah kejayaan para penerima manfaat, dan mengetahui bagaimana untuk menyertai dan menyumbang kepada misi kami dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya tahan. Dengan memupuk ketelusan dan kerjasama, kami berhasrat untuk meluaskan jangkauan dan kerjasama, sama ada sebagai rakan kongsi, penerima manfaat, atau penyumbang untuk mencipta impak sosial yang berkekalan. RHB Islamic kekal teguh dalam misi kami untuk memperkasa perbankan melalui kewangan sosial, mewujudkan impak positif dan mampan kepada masyarakat.”
 
Melangkah ke Hadapan: Visi untuk Masa Depan
RHB Islamic konsisten dalam memperluaskan usaha kewangan sosialnya dengan komitmen yang teguh untuk memperkasakan dan mengukuhkan masyarakat melalui inisiatif yang mampan dan inklusif. Melangkah ke hadapan, RHB Islamic menyasarkan untuk menyalurkan manfaat kepada sekurang-kurangnya 10,000 asnaf dan komuniti B40 menjelang tahun 2030, dengan memberi tumpuan kepada pendidikan, keusahawanan dan peluang ekonomi yang bermakna.
 
Bercakap mengenai visi jangka panjang RHB Islamic, Dato’ Adissadikin Ali berkata, Saya berharap agar para peserta yang kami bantu hari ini, sama ada usahawan asnaf mahupun para pelajar, akan menjadi pembayar zakat pada suatu hari nanti. Itulah ukuran kejayaan sebenar: apabila mereka yang kita bantu hari ini akhirnya mampu membantu orang lain pula di masa hadapan.”
 
RHB Islamic menjemput individu, organisasi, dan pihak berkepentingan untuk meneroka peluang kerjasama melalui laman web baharu ini. Pendekatan kolaboratif ini akan meningkatkan keupayaan bank untuk menyampaikan perubahan bermakna sambil mengajak pihak lain untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih saksama.
 
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Kewangan Sosial RHB Islamic, layari laman web baharu di https://www.rhbgroup.com/islamic-social-harmoni/index.html

SUMBER: RHB Islamic Bank Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Marissa Bany
Group Sustainability and Communications
RHB Bank Berhad
Tel: 012 238 5335
Website: www.rhbgroup.com 

--BERNAMA

Monday, April 21, 2025

TOURISM MALAYSIA ANJUR SESI LIBAT URUS SEMPENA TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026 DI TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 21 April (Bernama) -- Tourism Malaysia meneruskan siri jelajah Pantai Timur bagi memperkukuh hubungan dengan penggiat industri pelancongan menerusi Sesi Libat Urus yang berlangsung di Raia Hotel, Kuala Terengganu pada hari ini.

Program ini merupakan kesinambungan kepada pelancaran rasmi logo, lagu, video promosi dan maskot Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), serta sebahagian daripada siri sesi yang berlangsung dari 20 hingga 22 April 2025 di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
 
Sesi ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh mengenai pelbagai inisiatif dan insentif yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kepada para pemain industri pelancongan di negeri Terengganu, seiring dengan usaha menjayakan agenda nasional menjelang TMM2026.
 
Kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta amat penting bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan negeri. Tourism Malaysia, dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu, memastikan semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh hadir serta mendapat maklumat yang tepat dan menyeluruh.
 
Antara inisiatif utama yang dikongsi termasuk Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Galakan Melancong (GAMELAN), dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK). Turut membuat pembentangan ialah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Balai Seni Visual Negara (BSVN) yang memperincikan program dan aktiviti pelancongan dan kebudayaan tahun 2025.

Turut hadir ialah YB Ustaz Sulaiman Sulong, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu; YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia; serta wakil-wakil daripada kerajaan negeri dan industri pelancongan negeri. 
 
Pada tahun 2024, Malaysia mencatatkan sebanyak 38 juta ketibaan pelawat, meningkat sebanyak 31.1% berbanding tahun 2023. 10 pasaran utama ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan. Bagi tahun 2025 menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, negara menyasarkan sebanyak 45 juta ketibaan pelawat antarabangsa dengan jangkaan pendapatan pelancongan sebanyak RM270 bilion. 

Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di FacebookInstagramXYouTube, dan TikTok

SUMBER: Tourism Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Norazlina Ismail
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
norazlina@tourism.gov.my 
Tel: +603 8891 8789

Nama: Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
norshariza@tourism.gov.my 
Tel: +603 8891 8775

--BERNAMA