Tuesday, November 2, 2021

SAMBUTAN HARI INOVASI DAN INTEGRITI 2021 LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA

PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) terus menyemarakkan budaya inovasi dan pengamalan nilai integriti dalam kalangan warga kerjanya (Hasilian) menerusi Sambutan Hari Inovasi dan Integriti LHDNM 2021 (HII 2021).
 
Majlis yang disambut secara hibrid iaitu dengan kehadiran fizikal yang terhad di Hotel Marriot, Putrajaya dan turut disiarkan secara webinar menerusi aplikasi zoom ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Asri bin Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga LHDNM dan turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM.
 
YBhg. Dato’ Asri bin Hamidon dalam ucapan perasmiannya berkata, LHDNM perlu sentiasa kreatif memberikan sentuhan inovasi terhadap sistem yang ada dalam organisasi melalui transformasi digital dan memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan percukaian, seterusnya melonjakkan prestasi organisasi sebagai agensi unggul kutipan cukai untuk pembangunan negara. Manakala berkenaan dengan integriti pula beliau memberikan saranan agar penghayatan nilai-nilai integriti dilakukan secara berterusan bagi mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan LHDNM.
 
Sementara itu, YBhg. Datuk Mohd Nizom bin Sairi dalam ucapan alu-aluannya berkata, LHDNM sentiasa memberikan fokus kepada usaha memperkasakan prinsip integriti bagi peningkatan kualiti sistem perkhidmatan dan mendukung matlamat kerajaan untuk mengekalkan organisasi ini sebagai organisasi yang berprestasi tinggi ke arah menjadi Pentadbir Cukai Terunggul yang menyumbang kepada pembangunan negara. Hasilian juga diseru agar sentiasa menzahirkan kreativiti dan membudayakan inovasi sebagai persediaan bersaing dalam Revolusi Industri 4.0.
 
Sempena sambutan HII 2021, LHDNM telah melancarkan lima produk baharu yang antaranya merangkumi teknologi, perkhidmatan profesional dan kebajikan Hasilian. Produk-produk tersebut adalah seperti yang berikut:
 
1. e-Janji Temu HASiL di https://janjitemu.hasil.gov.my/ yang merupakan sistem permohonan janji temu secara dalam talian oleh pembayar cukai atau mana-mana pihak yang ingin berurusan dengan kaunter perkhidmatan LHDNM di semua pejabat cawangan termasuklah di Pejabat Satelit, Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Urban Transformation Centre (UTC). Perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan merangkumi percukaian, duti setem, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dan Pendaftaran Perniagaan (Kuching, Sarawak). Melalui sistem e-Janji Temu ini, LHDNM dapat memberikan perkhidmatan berterusan yang berkesan kepada pembayar cukai dengan menjimatkan kos, masa dan tenaga kerja.
 
2. Sistem e-Daftar Niaga Kuching yang membolehkan proses pendaftaran, kemas kini, bayaran dan lain-lain urusan melibatkan lesen perniagaan di Kuching, Sarawak dilakukan secara dalam talian.
 
3. Laman Rasmi Pesara Hasil yang berfungsi sebagai one-stop centre bagi urusan pentadbiran Pesara Hasil termasuklah untuk mengemaskini maklumat pesara, permohonan Kad Pesara dan carian senarai Klinik Panel bagi urusan rawatan serta perubatan Pesara Hasil.
 
4. Aplikasi Mobile ‘Hasil SPI - Cuti’ yang dibangunkan untuk mempercepat dan memudahkan proses permohonan serta pemantauan cuti melalui telefon pintar.
 
5. Hasilian Research Snapshot (HRS) yang berperanan sebagai sumber rujukan pantas kepada pihak LHDNM dan orang awam berhubung isu percukaian semasa serta memberi input bagi menambah nilai tadbir urus perkhidmatan percukaian. HRS boleh diakses melalui Portal Rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my > Media > Penerbitan.
 
Bagi merangsang pemikiran yang kreatif, menerapkan nilai integriti yang ampuh dan melahirkan Hasilian yang sihat rohani serta cergas jasmaninya, HII 2021 turut diisi dengan pelbagai acara dan Pertandingan seperti yang berikut:
 
i. Program Bual Bicara Integriti;
ii. Perkongsian Artikel Inovasi;
iii. Anugerah Inovasi CEO 2021 (AICEO 2021);
iv. Pertandingan idea@hasil 2021;
v. Pertandingan Kuiz;
vi. Pertandingan Menulis Artikel Integriti;
vii. Kembara Inovasi Hasil Maya 2021; dan
viii. Hasil Virtual Run 2.0. 


Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=15164

Monday, November 1, 2021

85 USAHAWAN MIKRO DI LAWAS MENDAPAT MANFAAT MENERUSI SKIM KREDIT MIKRO SARAWAK (SKMS) BERJUMLAH RM2.02 JUTA

Dzulkornain bin Masron, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED menyerahkah replika cek Skim Kredit Mikro Sarawak bernilai RM45 juta kepada Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, sebagai simbolik kerjasama strategik yang terjalin di antara kerajaan negeri Sarawak dan Agrobank, sambil disaksikan oleh YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak.


LAWAS, 1 Nov (Bernama) -- Seramai 85 orang usahawan mikro di Lawas, Sarawak telah mendapat manfaat daripada kemudahan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) yang ditawarkan oleh Agrobank dengan nilai pembiayaan sebanyak RM2.02 juta setakat 30 September 2021.
 
Pengumuman ini dibuat pada majlis penyerahan replika cek dana SKMS kepada penerima dana bersempena lawatan rasmi YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak ke Lawas pada Ahad. Beliau diiringi oleh YAB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
 
Di majlis yang sama, YAB Ketua Menteri Sarawak turut menyaksikan penyerahan replika cek dana Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) bernilai RM45 juta oleh Dzulkornain bin Masron, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, (MINTRED) kepada Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar, sebagai simbolik kerjasama strategik yang terjalin di antara kerajaan negeri Sarawak dan Agrobank.

Friday, October 29, 2021

FWD TAKAFUL MENYOKONG PROGRAM BAUCAR PERLINDUNGAN TENANG DENGAN PEMBERIAN SUBSIDI TAHUN PERTAMA

 


FWD Kasih bertujuan mengurangkan jurang perlindungan bagi segmen berpendapatan rendah 

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- FWD Takaful Berhad (“FWD Takaful”) komited untuk terus memperkasakan komuniti berpendapatan rendah dengan menjadikan takaful mudah disertai, mampu milik dan mudah diperolehi. Melalui Program Baucar Perlindungan Tenang, inisiatif oleh kerajaan, FWD Takaful akan dapat memperluaskan perlindungan sosial kepada kumpulan B40.
 
Dalam program ini, baucar sebanyak RM50 akan diperuntukkan kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang layak untuk menyertai produk Perlindungan Tenang daripada syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen. Program Baucar Perlindungan Tenang bermula dari 30 September 2021 dan penerima BPR yang layak dibenarkan menebus baucar sehingga 30 September 2022. Kerajaan akan mengedarkan baucar tersebut secara berperingkat.
 
FWD Kasih adalah pelan mikro-Takaful dalam talian yang ditawarkan di bawah Program Baucar Perlindungan Tenang, dan menyediakan jumlah dilindungi sebanyak RM20,000 untuk individu dari umur 19 hingga 49 tahun. Di samping itu, FWD Takaful juga akan memberikan subsidi untuk sebarang baki sumbangan tahun pertama supaya penerima BPR dapat menikmati perlindungan tahun pertama FWD Kasih yang dibiayai sepenuhnya.
 
Salim Majid Zain, Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, berkata, “Kesedaran mengenai pentingnya perlindungan takaful dalam segmen yang kurang mendapat kemudahan pada masa ini sangat rendah berbanding jumlah penduduk Malaysia. Kami menyokong Program Baucar Perlindungan Tenang kerana ia selaras dengan visi kami untuk mengubah pandangan orang ramai tentang takaful.”
 
FWD Kasih bertujuan membantu mengurangkan jurang perlindungan bagi segmen-segmen ini. Pelan ini mudah difahami dan menawarkan manfaat dengan harga yang mampu milik, serta mempunyai proses tuntutan yang mudah. Tambahan lagi, saluran dalam talian FWD Takaful adalah ringkas, dipercayai dan mudah digunakan, dan ini membolehkan pelanggan menguruskan sijil takaful mereka pada bila-bila masa.
 
Jumlah dilindungi FWD Kasih akan dibayar sepenuhnya apabila berlaku kematian atau hilang upaya penuh dan kekal (HUPK) dan jumlah dilindungi tambahan sebanyak 100% akan dibayar bagi kematian akibat kemalangan. Untuk meringankan bebanan kewangan waris pelanggan, pelan ini menyediakan manfaat khairat kematian sebanyak RM3,000. Pelan ini juga menyediakan bantuan Badal Haji bagi peserta beragama Islam dan derma sebanyak RM2,500 kepada organisasi amal bagi peserta bukan Islam, apabila mereka meninggal dunia.
 
Untuk maklumat lanjut tentang FWD Kasih dan manfaatnya, sila layari fwd.com.my/direct/kasih/ptv atau layari myPTV.my untuk anda semak kelayakan untuk menyertai Program Baucar Perlindungan Tenang. Sebagai alternatif, hubungi 03 2771 7737 atau e-mel kasih.my@fwd.com. 

Mengenai FWD Takaful Berhad

FWD Takaful Berhad (“FWD Takaful”) adalah pengendali Takaful di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan Takaful keluarga. FWD Takaful dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia. FWD Takaful adalah unit perniagaan takaful Kumpulan FWD (“FWD”).

Kumpulan FWD adalah perniagaan insurans hayat Asia dengan kira-kira 10 juta pelanggan merentasi 10 pasaran, termasuk beberapa pasaran insurans yang paling pesat berkembang di dunia. Ditubuhkan pada tahun 2013, FWD menumpukan usaha untuk menjadikan insurans lebih mudah, cepat dan lancar, dengan pembaharuan yang inovatif dan pelan perlindungan yang mudah difahami, disokong oleh teknologi digital. Melalui pendekatan yang mengutamakan pelanggan ini, FWD komited untuk mengubah pandangan orang ramai terhadap insurans.

Untuk maklumat lanjut, sila layari fwd.com.my. 

Untuk pertanyaan media, sila e-mel ke media.my@fwd.com

Sumber: FWD Takaful Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 

Nama: Jacleen Martin
Brand, PR & Communications, Marketing
Emel: Jacleenjacinta.martin@fwd.com   

Nama: Aslinda Aminuddin
PR & Communications, Marketing
Emel: aslinda.aminuddin@fwd.com

--BERNAMA

KAJIAN GLOBAL YANG PERTAMA SEUMPAMANYA TENTANG KEPELBAGAIAN DALAM PENDIDIKAN PENGURUSAN GRADUAN MENJELASKAN JURANG DALAM KAUM DAN JANTINA

Laporan mendapati penyertaan yang lebih tinggi daripada orang Amerika Afrika di sekolah perniagaan A.S. berbanding rakan kulit putih mereka, sementara wanita di seluruh dunia pula masih kurang diwakili terutamanya di Eropah

RESTON, Va., 27 Okt (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Graduate Management Admission Council™ (GMAC™), sebuah persatuan global untuk sekolah perniagaan graduan terkemuka, hari ini mengeluarkan laporan khas, “Kepelbagaian Bakat Global – Pencapaian dan Perwakilan,” sebuah panduan rujukan yang pertama seumpamanya untuk lebih memahami perwakilan untuk pencapaian ijazah pendidikan pengurusan graduan (GME) di seluruh dunia. Memahami bahawa sistem pendidikan di seluruh dunia mengalami gangguan disebabkan pandemik, GMAC beralih kepada keupayaan penyelidikannya yang terkemuka tatkala universiti cuba membuat penyesuaian dengan perhatian yang diperbaharui kepada isu akses dan ekuiti pelajar, serta kepelbagaian dan perwakilan dalam pencapaian pendidikan tinggi. Laporan tersebut menyediakan gambaran keseluruhan global, gambaran tujuh rantau dan laporan berasingan untuk 69 lokasi atau negara dengan anggaran 25,000 atau lebih orang dalam populasi usia pelajar berumur 20 hingga 34 tahun yang telah memperoleh ijazah sarjana dalam subjek perniagaan, pentadbiran atau undang-undang. Selain lampiran berasingan yang menyemak data tentang 111 negara lain, laporan juga mengkaji perwakilan wanita secara global dan kumpulan yang tidak diwakili di Amerika Syarikat.

“Di GMAC, kami menyedari bahawa persatuan pelajar yang pelbagai dalam jantina, bangsa dan latar belakang akan mengangkat kita semua kerana perkara ini mewujudkan pengalaman pelajar yang lebih mendalam dan meningkatkan kesensitifan terhadap isu yang menjejaskan orang lain,” kata Sangeet Chowfla, presiden dan CEO GMAC. “Laporan ini merupakan pandangan keadaan industri global yang pertama tentang kepelbagaian dalam pendidikan pengurusan graduan yang bertujuan untuk bukan sahaja sebagai panduan bermaklumat tetapi juga sebagai asas kepada penyantunan sasaran dan menyokong nilai ijazah perniagaan graduan bagi populasi yang tidak diwakili di seluruh dunia.”

Penemuan Utama

Wanita menghadapi kesukaran untuk diwakili pada peringkat perniagaan graduan, paling ketinggalan di Eropah

Secara global, lebih ramai wanita memilih pengajian peringkat siswa dalam bidang perniagaan, pentadbiran dan undang-undang berbanding lelaki. 26.4 peratus ijazah sarjana muda yang diperoleh wanita adalah daripada bidang ini, lebih tinggi sedikit daripada yang diperoleh lelaki (24.6%). Walau bagaimanapun, pada peringkat pengajian sarjana lelaki (33.7%) lebih berkemungkinan untuk belajar dalam perniagaan, pentadbiran dan undang-undang berbanding wanita (29.4%). Data menunjukkan bahawa wanita menyaksikan minat yang lebih luas semasa melanjutkan ijazah sarjana, di samping dua disiplin lain yang popular iaitu pendidikan serta kesihatan dan kebajikan, selain sekolah perniagaan atau undang-undang. 

Thursday, October 28, 2021

KERJASAMA IKIM-UZBEKISTAN DIPERKUKUH DENGAN WEBINAR 'ISLAM'TODAY'

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- IKIM dengan kerjasama Imam Bukhari International Scientific Research Centre, Uzbekistan telah menganjurkan satu webinar secara dalam talian bertemakan ‘Islam Today’ (Islam Pada Hari Ini) pada 21 Oktober 2021. Webinar ini merupakan satu penzahiran Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani antara kedua-dua institusi  pada 4 Jun 2020.

Antara objektif webinar ini adalah: i) memahami pengaruh Islam ke atas kemajuan serta pencapaian manusia dalam tamadun Islam; ii) membincangkan bagaimana Islam menyediakan penyelesaian terbaik kepada cabaran dan masalah yang dihadapi oleh dunia hari ini dan; iii) sebagai satu usaha menghargai dan memperakui sumbangan ilmuwan-ilmuwan awal Muslim kepada bidang sains dan keilmuan serta pengaruh mereka dalam dunia moden hari ini.

Dalam siri pertama webinar ‘Islam Today’, dua orang pembentang telah dijemput untuk membentangkan tajuk-tajuk berkaitan pendekatan Islam kepada penyelesaian masalah semasa dan peranan ilmuwan Muslim dalam tamadun Islam. YBhg Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin, mantan Ketua Pengarah IKIM yang juga merupakan pemegang Kursi Kelestarian UKM dan Yayasan Sime Darby serta Profesor Kehormat Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya telah membentangkan tajuk ‘Islam and Environmental Sustainability’. Pembentang kedua pula ialah Encik Otabek Mukhammadiev, Timbalan Pengarah Imam Bukhari International Scientific Research Centre, Uzbekistan yang telah membahaskan tajuk ‘Alaudin Usmandi and His Role in Islamic Civilization’. IKIM mengharapkan agar webinar ini mampu mendatangkan kesan yang baik kepada usaha-usaha memberi kefahaman tentang Islam dan kekayaan warisan ilmu yang terdapat dalamnya bagi djadikan panduan  dan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh dunia hari ini.

KERJASAMA IKIM-UZBEKISTAN DIPERKUKUH DENGAN WEBINAR 'ISLAM'TODAY'

AZBIL MEMPERKENALKAN MODEM HART PINTAR MODEL AZ-1SHM DENGAN FUNGSI BEKALAN KUASA UNTUK RESOLUSI PANTAS BAGI MASALAH KOMUNIKASI DALAM PERANTI MEDAN

Modem HART Pintar model AZ-1SHM (Foto: Business Wire)

TOKYO, 28 Okt (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Azbil Corporation (TOKYO:6845) mengumumkan keluaran bagi Modem HART Pintar model AZ-1SHM (selepas ini, “1SHM”), yang memudahkan konfigurasi dan pelarasan bagi peranti medan yang mematuhi komunikasi HART®*¹ di loji dan tapak pembuatan yang lain. 1SHM telah dilancarkan di Jepun dan wilayah lain*² pada 20 Oktober.

Siaran akhbar ini mempunyai ciri-ciri multimedia. Lihat siaran lengkap di sini:
https://www.businesswire.com/news/home/20211028005489/en/

Sebuah modem HART ialah sebuah peranti antara muka komunikasi digital untuk menyediakan dan mengkonfigurasi peranti medan yang mematuhi komunikasi HART seperti penderia dan injap (“peranti HART”), yang dipasang dalam jumlah besar di tapak pembuatan. Dalam sebuah loji baharu atau diperluaskan atau semasa penyelenggaraan penutupan, kakitangan penyelenggaraan menyambungkan sebuah peranti hos melalui modem HART kepada peranti HART untuk mengkonfigurasi pelbagai parameter. Dalam sesetengah kes, satu masalah yang berkaitan dengan pendawaian, persekitaran sambungan, keserasian peranti atau bekalan kuasa mungkin menghalang satu sambungan. Untuk menyiasat dan mengurangkan masalah itu, bekalan kuasa, osiloskop atau peralatan lain mungkin diperlukan. Selain itu, peranti medan kadangkala dipasang di tempat yang sukar untuk dicapai, sekali gus meletakkan pekerja dalam keadaan bahaya.

PEMECUT KEUSAHAWANAN WANITA MENGUMUMKAN PERKONGSIAN DENGAN KOMANWEL UNTUK MEMACUKAN PERUBAHAN BAGI USAHAWAN WANITA DI 54 BUAH NEGARA

Deborah Gibbins, Ketua Pegawai Operasi, Mary Kay Inc. (Grafik: WEA)


NEW YORK, 27 Okt (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Pemecut Keusahawanan Wanita (WEA), sebuah berbilang perkongsian strategik yang merangkumi lima agensi PBB dan Mary Kay Inc., hari ini bergabung tenaga dengan Rangkaian Ahli Perniagaan Wanita Komanwel (CBWN) untuk memperkasa dan menyokong usahawan wanita yang terabai merentasi 54 buah negara Komanwel.

Siaran akhbar ini mempunyai ciri-ciri multimedia. Lihat siaran lengkap di sini:
https://www.businesswire.com/news/home/20211027005291/en/

WEA direka untuk memaksimumkan impak pembangunan bagi keusahawanan wanita dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) dengan mewujudkan sebuah ekosistem yang membolehkan bagi usahawan wanita yang memupuk pertumbuhan, kelestarian dan daya ketahanan. Pada Jun 2021, WEA menyertai Forum Kesamaan Generasi di Paris dan komited untuk memperkasakan lima juta wanita di seluruh dunia menjelang tahun 2030 untuk mempercepatkan kemajuan bagi kesamaan jantina.