PETALING JAYA, 25 Feb (Bernama) -- Wakaf Selangor Muamalat menyumbang dana
wakaf berjumlah RM3.7 juta kepada pihak yang memerlukan dalam bidang pendidikan dan kesihatan, setakat Januari lalu.
Pengerusinya Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata sumbangan ini merupakan
sebahagian daripada keseluruhan kutipan dana wakaf bernilai RM7 juta yang dikutip sejak September 2012.
"Setakat ini, sumbangan kepada bidang pendidikan termasuk bangunan sekolah,
peralatan kelas, van dan projektor manakala bagi bidang kesihatan ialah klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogen dan pelbagai peralatan perubatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan Wakaf
Selangor Muamalat bernilai RM40,539.20 kepada Sekolah Al-Fatih Putra Heights di Subang Jaya dekat sini, hari ini.
Abdul Rahman berkata dengan saiz dana yang terhad, Wakaf Selangor Muamalat
terus komited dalam mencari penerima yang layak dan berusaha membesarkan dana supaya lebih ramai penerima mendapat manfaat wakaf itu pada masa depan. Sementara itu, pengetua Sekolah Al-Fatih Datuk Mohd Fadzllee Mustapa berkata pihaknya menerima sumbangan berupa meja belajar, kerusi, papan putih dan rak buku.
"Sekolah kami kini memiliki bangunan baharu dan memerlukan pelbagai
kelengkapan baharu dan kami berterima kasih kepada Wakaf Selangor Muamalat yang menyumbangkan kelengkapan tersebut.
"Sumbangan itu bakal memanfaatkan 137 pelajar dari peringkat tadika sehingga
darjah enam," katanya.
-- BERNAMA
|
Thursday, February 25, 2016
RM3.7 JUTA DANA WAKAF DIGUNA SETAKAT JANUARI – WAKAF SELANGOR MUAMALAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment