Thursday, November 7, 2024

JKKN TERUS SEMARAKKAN TEATER TRADISIONAL 'MAK YONG'

 

Poster Pementasan Karya Agung : Teater Tradisional Mak Yong "Raja Tangkai Hati"

TANJONG MALIM, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) dan Persatuan Solidariti Seni budaya dan Warisan Malaysia dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menganjurkan Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ pada 9 & 10 November 2024 (Sabtu & Ahad) pukul 8.30 malam bertempat di Dewan Tengku Canselor (DTC) Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perak.
 
JKKN mengangkat Pementasan Teater Tradisional Mak Yong yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Karya Agung Dunia di 3rd Proclamation of Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity pada 25 November 2005. Tujuan pementasan ini juga adalah untuk melestarikan kesenian tradisional yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO, menyemarakkan seni teater tradisional kepada generasi muda, memelihara warisan budaya Melayu serta menggalakkan pengiat seni mempersembahkan bakat, penyelidikan dan kajian lebih lanjut mengenai teater tradisional.
 
Pementasan teater Tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ ini juga untuk menyemarakkan kembali teater tradisional Mak Yong kepada masyarakat, terutama sekali kepada generasi muda. Pementasan Karya Agung ini bukan sekadar untuk menyampaikan hiburan semata-mata kepada penonton, malah ia juga adalah salah satu alat pendidikan yang boleh mengetengahkan nilai-nilai madani yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan bermasyarakat.
 
Melalui pementasan Mak Yong ini pelbagai elemen yang menjadikan ia sebuah Karya Agung yang menyelitkan unsur budaya, tradisi, pengajaran, pembelajaran serta tersurat dan tersirat unsur nasihat. Dalam pementasan teater Mak Yong ini nilai yang ditekankan adalah kebijaksanaan, keadilan, kesetiaan, pengorbanan, keberanian dan ketabahan seseorang. Karya ini juga adalah satu pementasan yang menggabungkan elemen tradisional dan kebudayaan Melayu. Ia juga adalah teater yang unik dan penuh dengan nilai-nilai estetika serta sejarah yang tinggi. Teater Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ adalah antara karya yang cukup terkenal dalam dunia pementasan teater dan seringkali menjadi persembahan warisan budaya Melayu yang kaya dengan nilai-nilai murni.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=18696

No comments:

Post a Comment