Monday, November 16, 2026

SBC Medical Group Holdings Umum Keputusan Kewangan Suku Ketiga 2026



Hasil Meningkat 35%, Keuntungan Bersih Yang Boleh Dikaitkan Dengan SBC Medical Meningkat 22% Dan EBITDA Terlaras1 Meningkat 66%, Masing-Masing Berbanding Suku Yang Sama Tahun Lalu. Margin Keuntungan Bersih Mencatat 27%, Manakala Margin EBITDA Terlaras Mencapai 47%. Semakan Fi Perkhidmatan Yang Diumumkan Sebelum Ini Dan Pembukaan Klinik Baharu Menyumbang Kepada Pertumbuhan Hasil Dan Peningkatan Margin Operasi

IRVINE, California, 16 Nov (Bernama-BUSINESS WIRE) -- SBC Medical Group Holdings Incorporated (Nasdaq: SBC) (“SBC Medical” atau “Syarikat”), sebuah organisasi perkhidmatan perubatan (MSO) yang menyediakan sokongan pengurusan dalam pelbagai bidang penjagaan kesihatan kepada institusi perubatan di Jepun dan di luar negara, hari ini mengumumkan keputusan kewangan disatukan bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (tempoh tiga bulan berakhir pada 30 September 2026) serta keputusan kumulatif bagi tiga suku pertama tahun kewangan 2026 (tempoh sembilan bulan berakhir pada 30 September 2026).

Sorotan Kewangan Suku Ketiga 2026

· Jumlah hasil ialah $59 juta, meningkat 35% berbanding suku yang sama tahun lalu.
· Keuntungan operasi ialah $26 juta, meningkat 66% berbanding suku yang sama tahun lalu, dengan margin operasi sebanyak 45%.
· Keuntungan bersih yang boleh dikaitkan dengan SBC Medical ialah $16 juta, meningkat 22% berbanding suku yang sama tahun lalu. Margin keuntungan bersih ialah 27%, turun 3 mata peratusan berbanding suku yang sama tahun lalu.
· EBITDA terlaras1 ialah $28 juta, meningkat 66% berbanding suku yang sama tahun lalu. Margin EBITDA terlaras1 meningkat 9 mata peratusan 47% berbanding suku yang sama tahun lalu.
· Pendapatan asas sesaham (EPS) ialah $0.15, meningkat 25% berbanding suku yang sama tahun lalu.
· Tunai bersih daripada aktiviti operasi berjumlah $50 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir pada 30 September 2026.

Keputusan suku ketiga mencerminkan pertumbuhan dan peningkatan keuntungan dalam perniagaan teras MSO. Pertumbuhan hasil didorong oleh peningkatan hasil perkhidmatan pengurusan, termasuk kesan semakan struktur fi perkhidmatan yang diumumkan pada Ogos, serta penyatuan Waqoo.

Entiti perubatan yang disokong oleh SBC Medical terus berkembang. Setakat 30 September 2026, rangkaian klinik bertambah sebanyak 36 lokasi berbanding setahun sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan 293 lokasi2. Dalam tempoh 12 bulan hingga tarikh itu, jumlah lawatan pesakit3 mencecah 7.06 juta, meningkat 9% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Purata perbelanjaan bagi setiap lawatan ialah $290, meningkat 4% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ulasan Yoshiyuki Aikawa, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SBC Medical:

“Pertumbuhan SBC Medical kembali pesat pada suku ketiga 2026. Berbanding suku yang sama tahun lalu, hasil meningkat 35%, keuntungan operasi meningkat 66% dan keuntungan bersih yang boleh dikaitkan dengan SBC Medical meningkat 22%. Margin keuntungan bersih mencatat 27%, manakala margin EBITDA terlaras1 mencapai 47%. Susulan pembaharuan struktur yang dilaksanakan pada 2025, pertumbuhan dan keuntungan bertambah baik seiring, sekali gus memperlihatkan kekuatan model MSO kami yang menjana keuntungan tinggi.

Dua faktor utama menyokong pertumbuhan hasil MSO kami, iaitu peluasan rangkaian klinik dan peningkatan fi perkhidmatan bagi setiap klinik. Matlamat kami adalah untuk memperluas rangkaian secara cekap sambil meningkatkan produktiviti dan keuntungan klinik yang kami sokong. Peningkatan hasil perkhidmatan pengurusan pada suku ini, yang turut mencerminkan kesan semakan fi perkhidmatan, menunjukkan kemajuan dalam pelaksanaan model ini.

Bagi memperkukuh model ini, kami melabur dalam AI dan teknologi. Kami sedang membangunkan infrastruktur proprietari untuk model bahasa besar (LLM) yang dihoskan secara setempat bagi membolehkan data perubatan digunakan dengan selamat sambil mengoptimumkan kos AI. Kami juga sedang menambah baik sistem pengurusan operasi klinik menerusi kerjasama modal dan perniagaan dengan Atomic Software. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keuntungan klinik sedia ada dan memperkemas proses pembukaan klinik baharu, sekali gus meningkatkan keupayaan platform MSO kami untuk menjana keuntungan apabila perniagaan berkembang.

Perniagaan Longevity, yang kami lihat sebagai peluang pertumbuhan seterusnya, juga menunjukkan kemajuan yang nyata. Sebagai langkah pertama, kami sedang membangunkan sendiri ujian berasaskan metilasi DNA untuk menganggarkan usia biologi dengan memanfaatkan keupayaan penyelidikan dan teknologi Waqoo Group. Dengan menambah perkhidmatan diagnostik pada rangkaian perubatan sedia ada dan menggabungkan AI dengan kepakaran doktor, kami menyasarkan untuk membangunkan platform bersepadu yang merangkumi pengujian, rawatan yang disesuaikan dengan keperluan setiap pesakit dan penilaian hasil rawatan.

Di Jepun, kami akan terus mengembangkan operasi pelbagai jenama kami dalam bidang dermatologi estetik dan memperluas rangkaian perkhidmatan perubatan bukan estetik. Di peringkat antarabangsa, kami sedang mengusahakan kerjasama dengan OrangeTwist di Amerika Syarikat serta peluasan operasi ke seluruh pasaran ASEAN. Inisiatif ini bertujuan memacu pertumbuhan perniagaan sedia ada di samping meneroka peluang di pasaran baharu.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, tunai bersih daripada aktiviti operasi berjumlah $50 juta. Setakat 30 September 2026, kami mempunyai $198 juta dalam bentuk tunai dan setara tunai serta Tunai Bersih4 sebanyak $154 juta. Kami berhasrat memanfaatkan kedudukan kewangan yang kukuh ini untuk melabur secara berdisiplin dalam usaha pertumbuhan, dengan matlamat mengekalkan pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) dalam jangka sederhana hingga panjang serta meningkatkan nilai korporat.”

Ringkasan Penunjuk Kewangan Utama

Unit Suku 3 2026 Suku 3 2025 Perubahan tahun ke tahun 9 Bulan 2026 9 Bulan 2025 Perubahan tahun ke tahun
Jumlah Hasil $MM 59 43 +35% 151 134 +13%
Keuntungan Bersih yang Boleh Dikaitkan Dengan
SBC Medical $MM 16 13 +22% 38 37 +2%
Margin Keuntungan Bersih % 27 30 (3) mata peratusan 25 27 (2) mata peratusan
EBITDA Terlaras1 $MM 28 17 +66% 66 57 +17%
Margin EBITDA Terlaras1 % 47 38 +9 mata peratusan 44 42 +2 mata peratusan
ROE (Disetahunkan)5 % 23 23 (0) mata peratusan 19 22 (3) mata peratusan
Pendapatan Asas Sesaham (EPS)6 $ 0.15 0.12 +25% 0.37 0.36 +3%


1 EBITDA terlaras dan margin EBITDA terlaras ialah ukuran kewangan bukan GAAP. Untuk maklumat lanjut mengenai ukuran kewangan bukan GAAP, sila rujuk “Penggunaan Ukuran Kewangan Bukan GAAP” dan “Penyelarasan Ukuran GAAP dengan Ukuran Bukan GAAP (Tidak Diaudit)”.

2 Merujuk kepada jumlah keseluruhan lokasi dalam rangkaian sokongan dan kerjasama Syarikat, termasuk lokasi francais klinik berjenama SBC, Rize Clinic, Gorilla Clinic, AHH Clinic dan JUN CLINIC, serta lokasi yang dikendalikan oleh OrangeTwist. Syarikat memegang kepentingan ekuiti minoriti dalam OrangeTwist menerusi pelaburannya dalam OT Midco Holdings, LLC yang diakaunkan menggunakan kaedah ekuiti.

3 Lawatan pesakit merangkumi lawatan ke klinik berjenama SBC, Rize Clinic, Gorilla Clinic, AHH Clinic dan JUN CLINIC. Tempoh yang diliputi adalah dari 1 Oktober 2025 hingga 30 September 2026.

4 Tunai Bersih ialah ukuran kewangan bukan GAAP. Ukuran ini dikira dengan menolak pinjaman bank dan pinjaman lain serta liabiliti pajakan kewangan, baik semasa mahupun bukan semasa ($34 juta), dan liabiliti pajakan operasi, baik semasa mahupun bukan semasa ($10 juta), daripada tunai dan setara tunai ($198 juta). Semua amaun ini adalah seperti yang dibentangkan dalam kunci kira-kira disatukan yang tidak diaudit setakat 30 September 2026. Pengiraan tersebut menghasilkan Tunai Bersih sebanyak $154 juta.

5 Pulangan atas ekuiti (ROE) dikira dengan membahagikan keuntungan bersih yang boleh dikaitkan dengan SBC Medical dengan purata ekuiti pemegang saham pada awal dan akhir tempoh.

6 Pendapatan asas sesaham (EPS) dikira dengan membahagikan keuntungan bersih yang boleh dikaitkan dengan SBC Medical dengan purata wajaran bilangan saham dalam edaran.

Panggilan Persidangan

Syarikat akan mengadakan panggilan persidangan pada Jumaat, 13 November 2026, pukul 8.30 pagi waktu Timur AS (atau Jumaat, 13 November 2026, pukul 10.30 malam waktu Jepun) untuk membincangkan keputusan kewangan bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2026. Sesi soal jawab akan diadakan selepas pembentangan.

Semasa siaran web langsung, peserta boleh mengemukakan soalan dalam masa nyata melalui butang Q&A di Zoom.

Semua peserta dialu-alukan untuk mengemukakan soalan, sama ada mereka memegang saham Syarikat atau tidak. Oleh sebab masa terhad dan bergantung pada jenis pertanyaan yang dikemukakan, kami mungkin tidak dapat menjawab semua soalan semasa panggilan tersebut.

Sila daftar terlebih dahulu melalui pautan berikut:

https://zoom.us/webinar/register/WN_CLFqOL3XTourhX2qjAJnxw#/registration

Selepas mendaftar, anda boleh mengakses laman khas untuk mengikuti panggilan persidangan itu.

Siaran keputusan kewangan, slaid pembentangan dan pautan berasingan ke rakaman siaran web panggilan persidangan ini juga akan disediakan di laman web Perhubungan Pelabur Syarikat https://ir.sbc-holdings.com/.

Maklumat tentang SBC Medical

SBC Medical ialah sebuah Organisasi Perkhidmatan Perubatan yang menyediakan sokongan pengurusan merentasi pelbagai bidang penjagaan kesihatan, termasuk penjagaan kesihatan estetik termaju, dermatologi, ortopedik, rawatan kesuburan, ginekologi, pergigian, rawatan alopecia (AGA) dan oftalmologi. Syarikat mengurus portfolio pelbagai jenama klinik dan giat memperluas kehadiran globalnya, khususnya di Amerika Syarikat dan Asia, melalui operasi langsung serta inisiatif pelancongan perubatan. Pada September 2024, Syarikat telah disenaraikan di Nasdaq, dan pada Jun 2025, ia dipilih untuk dimasukkan ke dalam Indeks Russell 3000®, penanda aras luas bagi pasaran ekuiti Amerika Syarikat. Berpandukan Tujuan Kumpulan, “Menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia melalui inovasi perubatan,” SBC Medical terus menyediakan perkhidmatan perubatan yang selamat, dipercayai dan berkualiti tinggi, sambil terus memperkukuh reputasi antarabangsanya dari segi kualiti dan kepercayaan dalam penjagaan perubatan.

Nama Syarikat: SBC Medical Group Holdings Incorporated | Pasaran Penyenaraian: NASDAQ Global Market | Simbol Saham: SBC | Alamat: 200 Spectrum Center Drive, Suite 300, Irvine, CA 92618 USA | Laman Web Perhubungan Pelabur: https://ir.sbc-holdings.com/ | LinkedIn: https://www.linkedin.com/company/sbc-medical-group-holdings-inc

Penggunaan Ukuran Kewangan Bukan-GAAP

Syarikat menggunakan ukuran bukan GAAP seperti EBITDA terlaras, margin EBITDA terlaras dan Tunai Bersih untuk menilai prestasi operasi dan kedudukan kewangannya serta membuat keputusan kewangan dan operasi. Syarikat percaya ukuran kewangan bukan GAAP ini membantu mengenal pasti trend yang mendasari prestasi perniagaannya, menyediakan maklumat berguna tentang hasil operasinya dan memberikan pemahaman yang lebih menyeluruh tentang prestasi lalu serta prospek masa hadapan Syarikat. Ukuran ini juga memberikan gambaran yang lebih jelas tentang penunjuk utama yang digunakan oleh pihak pengurusan Syarikat dalam membuat keputusan kewangan dan operasi. Khususnya, Syarikat percaya ukuran Tunai Bersih membantu pelabur menilai kecairan dan kedudukan kewangan Syarikat, termasuk keupayaannya untuk membiayai pelaburan bagi menyokong pertumbuhan.

Ukuran kewangan bukan GAAP ini ditakrifkan dan dibentangkan di luar kerangka GAAP AS. Ukuran ini mempunyai batasan sebagai alat analisis dan hendaklah dinilai bersama-sama dengan analisis keputusan kewangan kami seperti yang dilaporkan menurut GAAP. Ukuran ini hanya berfungsi sebagai pelengkap kepada analisis tersebut. Oleh sebab kaedah pengiraan berbeza antara syarikat, ukuran ini mungkin sukar dibandingkan dengan ukuran yang mempunyai nama serupa di syarikat lain, dan perbezaannya boleh menjadi ketara. Untuk melihat penyelarasan antara ukuran kewangan bukan GAAP ini dengan ukuran GAAP yang paling hampir setara, sila rujuk penyelarasan di bahagian akhir siaran akhbar ini. Bagi Tunai Bersih, sila rujuk nota kaki 4 dalam “Ringkasan Penunjuk Kewangan Utama”.

Penyataan Pandang Ke Hadapan

Siaran akhbar ini mengandungi pernyataan pandang ke hadapan. Pernyataan pandang ke hadapan bukanlah fakta sejarah atau kenyataan mengenai keadaan semasa, sebaliknya hanya mencerminkan pandangan Syarikat berhubung peristiwa dan prestasi masa hadapan, yang sebahagian besarnya, berdasarkan sifatnya, sememangnya tidak pasti dan berada di luar kawalan Syarikat. Kenyataan berpandangan ke hadapan ini mencerminkan pandangan semasa Syarikat berhubung, antara lain, rancangan dan strategi Syarikat bagi peluasan perkhidmatan; pertumbuhan hasil dan pendapatan; serta prospek perniagaan. Dalam sesetengah keadaan, kenyataan berpandangan ke hadapan boleh dikenal pasti melalui penggunaan perkataan seperti “mungkin,” “seharusnya,” “menjangkakan,” “mengantisipasi,” “mempertimbangkan,” “menganggarkan,” “percaya,” “merancang,” “diunjurkan,” “meramalkan,” “berpotensi,” “menyasarkan” atau “berharap,” termasuk bentuk negatif atau istilah lain yang serupa. Syarikat mengingatkan pembaca agar tidak terlalu bergantung pada mana-mana kenyataan berpandangan ke hadapan, yang hanya terpakai setakat tarikh siaran ini dan tertakluk pada pelbagai risiko, ketidakpastian, andaian atau perubahan keadaan yang sukar diramalkan atau diukur. Kenyataan berpandangan ke hadapan adalah berdasarkan jangkaan semasa pihak pengurusan dan bukan merupakan jaminan prestasi masa hadapan. Syarikat tidak mengambil atau menerima sebarang kewajipan untuk menerbitkan secara terbuka sebarang kemas kini atau semakan terhadap mana-mana kenyataan berpandangan ke hadapan bagi mencerminkan sebarang perubahan dalam jangkaannya atau sebarang perubahan dalam peristiwa, keadaan atau situasi yang menjadi asas kepada mana-mana kenyataan tersebut, kecuali sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang. Faktor yang boleh menyebabkan keputusan sebenar berbeza dengan ketara daripada jangkaan semasa mungkin timbul dari semasa ke semasa, dan Syarikat tidak mungkin dapat meramalkan kesemuanya. Faktor tersebut termasuk, antara lain, perubahan dalam keadaan ekonomi, perniagaan, persaingan, pasaran dan kawal selia pada peringkat global, serantau atau tempatan, serta faktor yang disenaraikan di bawah tajuk “Faktor Risiko” dan bahagian lain dalam pemfailan Syarikat dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (“SEC”), yang boleh diakses melalui laman web SEC di www.sec.gov.

https://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=21503

EBITDA terlaras ialah ukuran kewangan bukan GAAP yang ditakrifkan sebagai keuntungan bersih yang boleh dikaitkan dengan SBC Medical selepas pelarasan bagi keuntungan (kerugian) bersih yang boleh dikaitkan dengan kepentingan bukan kawalan, bahagian kerugian selepas cukai daripada entiti penerima pelaburan yang diakaunkan menggunakan kaedah ekuiti, perbelanjaan cukai pendapatan, keuntungan daripada penebusan polisi insurans hayat, perbelanjaan lain, pendapatan lain, kerugian (keuntungan) bersih daripada pertukaran mata wang asing, perbelanjaan faedah, pendapatan faedah serta perbelanjaan susut nilai dan pelunasan.

Margin keuntungan bersih ditakrifkan sebagai keuntungan bersih yang boleh dikaitkan dengan SBC Medical dibahagikan dengan jumlah hasil bersih. Margin EBITDA terlaras ditakrifkan sebagai EBITDA terlaras dibahagikan dengan jumlah hasil bersih.

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Hubungi

SBC Medical Group Holdings Incorporated — Hikaru Fukui / Ketua Jabatan Perhubungan Pelabur; E-mel: ir@sbc-holdings.com

Sumber: SBC Medical Group Holdings Incorporated

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment