Thursday, April 2, 2026

PEMAKLUMAN BERKENAAN KOSMETIK YANG DIKESAN MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan kosmetik-kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual seperti di bawah:

 
Bil.Nama kosmetikRacun Berjadual Yang Dikesan
1GLOWING NIGHT TREATMENTHydrokuinon, Tretinoin dan Betamethasone 17-valerate
2GLOWING HERBAL TREATMENTMerkuri dan Betamethasone 17-valerate

Susulan daripada itu, notifikasi kosmetik-kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL
 
Merkuri dilarang di dalam kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
 
Kosmetik yang mengandungi betamethasone 17-valerate, hidrokuinon dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan. Penggunaan kosmetik yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini seperti berikut:
 
Racun BerjadualKesan Sampingan
 
 
Betamethasone 17-Valerate
 
Bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
Racun BerjadualKesan Sampingan
 
 
Hidrokuinon

Boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
 
 
Tretinoin

Bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
 

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR KOSMETIK INI
 
Penjual dan pengedar kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
 
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
 
PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM
 
Orang awam yang sedang menggunakan kosmetik-kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 
2 APRIL 2026


LAMPIRAN

SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Effaizah binti Shahidan 
Pegawai Perhubungan Awam 
Unit Komunikasi Korporat 
Tel : +603-8883 3478 / 012-3417379
Faks : +603-8888 6187

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment