Friday, June 5, 2026

GERAYU BUKA TIRAI PANGGUNG SENI TRADISIONAL 2026

Empat Siri Persembahan Istimewa Kembali Mewarnai Panggung Seni Tradisional 2026

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) membuka tirai pementasan Panggung Seni Tradisional (PST) 2026 menerusi genre tarian tradisional bertajuk “Gerayu: Merentas Tradisi, Menyulam Kreasi”. Persembahan ini akan berlangsung pada 12 dan 13 Jun 2026 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur, bermula pada pukul 8.30 malam.

 
“Gerayu: Merentas Tradisi, Menyulam Kreasi” akan dipersembahkan oleh Dansa Fusion Kuala Lumpur merupakan produksi sulung PST2026 daripada keseluruhan empat (4) siri yang akan dilaksanakan secara kerjasama dengan persatuan/ NGO Seni Budaya dalam usaha melestarikan seni persembahan tradisional. Dansa Fusion membawa pendekatan artistik yang menggabungkan keindahan tarian tradisional, etnik dan sentuhan kontemporari dalam satu kerangka persembahan yang dinamik tanpa menghilangkan motif serta falsafah asal warisan. Setiap karya yang dihasilkan bukan sahaja mengekalkan nilai budaya tetapi turut meneroka kemungkinan baharu dalam struktur koreografi, dramaturgi gerak dan komposisi pentas.
 
“Gerayu” dipentaskan berasaskan pendekatan kreasi baharu berteraskan tradisi dengan memberi penekanan kepada pemeliharaan nilai, struktur dan identiti seni tarian tempatan yang tersusun dan relevan dengan perkembangan seni persembahan masa kini. Ia menghimpunkan karya-karya tarian berakar daripada tradisi Melayu, Sabah dan Sarawak yang diolah melalui pendekatan koreografi kreatif secara beretika tanpa menghilangkan motif gerak, struktur muzik, elemen kostum serta falsafah asal tradisi.

Berkonsepkan edukatif, persembahan ini dibahagikan kepada tiga (3) segmen utama iaitu Pembukaan (Tari Silat Gelanggang Pusaka), Segmen Tradisional (Tarian Inang, Tarian Zapin Padang Sari, Tarian Melayu Asli, Tari Rakyat Tempurung, Tarian Alang Sinsiron dan Ajat Naku) serta Segmen Kreasi (Tarian Zapin Pecah 8, Tarian Joget Kelit Menyisi, Tarian Inang Serong, Tarian Langgie Nganap, Alai Bergandang dan Tarian Mogiad Do Tombolog). PST Gerayu diterajui oleh Muhamad Zakwan Hafizie bin Zakaria yang juga merupakan seorang koreografer dan pengarah artistik serta Ealbie Breandent sebagai Pengarah Produksi.
 
Pementasan selama dua hari ini turut menampilkan kumpulan jemputan iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail II dengan Tarian Rakyat “Tempurung” dan Kumpulan Legasi Seni dengan “Langgie Pimaasau”.
 
Selain “Gerayu”, PST yang telah 13 tahun dianjurkan ini juga bakal menampilkan tiga (3) lagi karya unggul daripada kumpulan persembahan yang terpilih iaitu:
 
Siri 2
26 & 27 Jun 2026
Tajuk     : “Ramayanam: The Eternal Victory of Dharma”
Genre    : Tarian Klasik India
Karya     : Vehaara Arts
 
Siri 3
25 & 26 September 2026
Tajuk     : “Maargam: Natya, Raaga, Rasa”
Genre    : Muzikal Tradisional India
Karya     : Persatuan Kebudayaan & Kesenian Warisan Malaysia
 
Siri 4
2 & 3 Oktober 2026
Tajuk     : “Sri Gemalai: Fragmen Rakyat Johor”           
Genre    : Muzikal Tari
Karya     : Persatuan Seni Budaya Tari Aliff Johor Bahru bersama Sekolah Seni Malaysia Johor
 
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.

Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200  Faks: 03-2697 0786
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my  E-mel: ukk@jkkn.gov.my
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & YouTube: @mysenibudaya 

SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Puan Naurah Dariah binti Janiur
Pengarah
Unit Komunikasi Korporat, JKKN
Tel: 03-2614 8200 /019-320 5214 
E-mel: doria@jkkn.gov.my

Nama: Puan Eldawati binti Laung
Pegawai Kebudayaan
Unit Komunikasi Korporat, JKKN
Tel: 03-2614 8200/ 019-8091805
E-mel: eldawati@jkkn.gov.my 

 
--BERNAMA

No comments:

Post a Comment