CYBERJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Postal Forum, sebuah badan kawal selia kendiri bagi sektor pos dan kurier yang dilantik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurut Akta Perkhidmatan Pos 2012, hari ini mengeluarkan peringatan kepada orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga demi mengelakkan diri menjadi mangsa ‘parcel scam’ yang kini kian berleluasa, di mana dalangnya menyamar sebagai pihak kurier.
Sebagai sebahagian daripada mandat perlindungan pengguna yang berterusan, Postal Forum mengeluarkan peringatan ini secara proaktif — dengan mengiktiraf bahawa kesedaran awam adalah barisan pertahanan pertama dan paling berkesan terhadap penipuan.Laporan melibatkan kegiatan penipuan bungkusan atau ‘parcel scam’ ini banyak menyasarkan pengguna perkhidmatan kurier melalui pelbagai saluran seperti sistem pesanan ringkas (SMS), WhatsApp dan emel. Antara taktik yang sering digunakan adalah pemakluman palsu berkaitan penghantaran bungkusan, mesej tuntutan penyelesaian yuran pelepasan kastam yang tidak sah, manipulasi pembayaran Bayar Semasa Terima (COD) dan sebaran pautan ‘phishing’ atau pancingan data yang kononnya kemaskinian penjejakan penghantaran.
PENULARAN JENAYAH ‘PARCEL SCAM’
Dalang penipuan bungkusan atau ‘scammer’ biasanya akan menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai wakil syarikat pos atau kurier, mendakwa ada bungkusan yang sepatutnya dihantar kepada mangsa ditahan. Mangsa akan didesak untuk melunaskan yuran duti, fi penghantaran semula atau bayaran pengesahan yang kononnya satu bentuk pelepasan untuk bungkusan disampaikan kepada mangsa. Dalam pada itu, mangsa juga diarahkan untuk mengakses pautan ‘phishing’ yang akhirnya akan menjejaskan keselamatan data peribadi dan perbankan mangsa.
Satu variasi yang semakin membimbangkan ialah penipuan Bayar Semasa Terima (COD), di mana pengguna menerima bungkusan yang tidak pernah dipesan di depan pintu mereka. Menyangka ia mungkin hadiah atau pembelian yang terlupa, mangsa membayar jumlah COD semasa penghantaran, hanya untuk mendapati bungkusan tersebut kosong atau mengandungi barangan murah yang jauh lebih rendah nilainya daripada jumlah yang dibayar.
Tanda-tanda amaran ‘parcel scam’ termasuk:-
• Notifikasi berkaitan bungkusan yang tidak pernah dipesan;
• Permintaan pindahan bayaran dalam talian, e-dompet atau kad prabayar;
• Bayaran COD dituntut untuk bungkusan yang tidak pernah dipesan;
• Nama domain yang disalah eja atau atau pautan yang mengandungi aksara yang ganjil;
• Desakan untuk pambayaran segera untuk mengelakkan bungkusan kononnya dipulangkan
semula kepada penghantar.
“Penipuan bungkusan adalah ancaman terancang yang mengeksploitasi kepercayaan pengguna dalam ekosistem penghantaran. Postal Forum memandang serius perkara ini kerana mandat kami adalah untuk melindungi pengguna dan memelihara integriti industri pos dan kurier,” kata Nurhafizah Hanifah, Ketua Postal Forum.
Beliau menambah bahawa apabila penipu menyamar sebagai pengendali yang sah, reputasi keseluruhan sektor turut terjejas. Dalam hal ini, beliau menyebut tanggungjawab pengendali pos dan kurier untuk menegakkan piawaian kawal selia kendiri — komunikasi aktif dengan pengguna melalui saluran yang disahkan, pendedahan maklumat hubungan rasmi, serta pelaporan segera terhadap sebarang penyamaran penipuan kepada pihak berkuasa yang berkaitan bukan sahaja selaras dengan amalan terbaik industri, malah merupakan langkah kritikal dalam usaha membendung jenayah ini. “Kawal selia kendiri hanya berkesan apabila setiap pemain industri mengambil tanggungjawab dan inilah masanya untuk membuktikan komitmen tersebut.”
LANGKAH PENCEGAHAN KENDIRI
Postal Forum menyarankan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan ambil langkah berjagajaga seperti berikut:
1. Pantau pesanan anda — tolak bungkusan yang tidak pernah dipesan
Jika anda menjangka penerimaan parcel, semak keberadaannya melalui mekanisme penjejakan rasmi yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan kurier anda. Sekiranya anda menerima notifikasi penghantaran bagi bungkusan yang tidak pernah anda pesan, jangan sesekali respon atau petik pautan yang mencurigakan.
Tolak penerimaan bungkusan berkenaan dan laporkan kejadian tersebut.
2. Untuk pembelian COD, periksa sebelum membayar
Jika bungkusan Cash-On-Delivery (COD) tiba tanpa sebarang pesanan daripada anda, tolak penerimaan bungkusan berkenaan dan jangan membuat sebarang pembayraan. Penipu menghantar bungkusan tanpa pesanan dengan harapan sesetengah penerima akan membayar dahulu tanpa berfikir panjang. Sekiranya anda membayar dan mendapati bungkusan kosong atau mengandungi barangan murah, wang tersebut tidak dapat dikembalikan. Sentiasa tolak pembayaran COD bagi penghantaran yang tidak dapat disahkan.
3. Buat pengesahan sebelum bertindak
Scammer kini lebih licik, di mana penyebaran mesej-mesej yang dulunya jelas taktik penipuan kini berupa lebih formal dan mampu menimbulkan panik. Kekal tenang dan terus hubungi penyedia perkhidmatan kurier anda menggunakan butiran yang diperoleh dari laman web rasmi untuk membuat pengesahan.
4. Jangan klik pautan meragukan
Pautan pancingan data sering menyerupai halaman penjejakan kurier yang tulen. Beri perhatian terhadap kesalahan ejaan atau penggantian aksara dalam alamat laman web. Sentiasa taip URL rasmi secara terus ke dalam pelayar anda.
5. Jangan membuat pembayaran melalui saluran tidak rasmi
Syarikat kurier yang sah tidak akan meminta bayaran dengan pemindahan wang ke dalam akaun peribadi, e-dompet atau kad prabayar untuk duti kastam atau fi penghantaran semula. Menurut Kod Amalan Perkhidmatan Pos (CPPS), caj tersembunyi tidak boleh dikenakan, malah, sebarang caj tambahan perlu diambil kira di peringkat tempahan penghantaran.
6. Lapor mesej-mesej yang mencurigakan
Sekiranya anda menerima mesej yang mencurigakan atau telah menjadi mangsa penipuan, sila buat laporan dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) atau hubungi talian bantuan Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (National Scams Response Centre (NSRC)) di 997.
7. Kongsi ilmu, tingkatkan kesedaran
Bantu lindungi ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat, khususnya warga emas, dengan menyebarkan maklumat yang dikongsikan di sini.
Postal Forum menggesa orang ramai untuk berhenti sejenak, buat pengesahan, elakkan dari memetik pautan yang mencurigakan, dan jangan sesekali membuat bayaran tanpa memastikan kesahihan tuntutan tersebut melalui saluran-saluran rasmi pihak kurier.
“Pengendali pos dan kurier yang sah tidak akan meminta maklumat perbankan peribadi atau pembayaran yuran segera melalui platform pesanan tidak rasmi. Unttuk mengelakkan keraguan, layari laman web rasmi atau hubungi talian khidmat pelanggan yang disahkan,” tegas Nurhafizah.
KOMITMEN POSTAL FORUM
Postal Forum terus bekerjasama dengan pemain industri dan MCMC bagi mengukuhkan piawaian perlindungan pengguna merentasi sektor pos dan kurier. Inisiatif berterusan yang dijalankan merangkumi advokasi dan penyelidikan pengguna, penyelarasan penyelesaian aduan, serta Kod Amalan Perkhidmatan Pos (CPPS) sebagai penanda aras piawaian perkhidmatan, untuk meningkatkan kepuasan pengguna dan menyokong penghantaran yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia.
Jika ada sebarang aduan berkenaan perkhidmatan pos dan kurier, pengguna boleh salurkan ke MCMC Consumer Redress Portal di https://aduan.mcmc.gov.my/ atau emel kepada feedback@postalforum.my.
Diisukan oleh:
Postal Forum
Sekretariat — Unit Advokasi dan Komunikasi
Tarikh: 22 JUN 2026
Mengenai Postal Forum
Postal Forum adalah badan kawal selia kendiri yang dilantik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurut Seksyen 49 dan 50 di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741) untuk memberi maklumbalas dan membuat pengesyoran kepada MCMC tentang perihal kepentingan pengguna industri perkhidmatan pos dan kurier.
Antara fungsi kami adalah untuk mengenal pasti dan menyemak semula perkara-perkara yang memberi impak kepada pengguna, mewakili kepentingan pengguna termasuk pengendalian aduan serta promosi kepentingan pengguna berkaitan tarif dan piawaian dalam industri pos dan kurier.
Layari https://postalforum.my/ untuk maklumat lanjut.
SUMBER: Postal Forum
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Irsalina Rusli
Unit Advokasi dan Komunikasi
Tel: +6012-260 0336
E-mel: irsalina@postalforum.my
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment