KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyatakan sokongan terhadap kenyataan YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta pendirian tegas YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia. Surat daripada lapan ahli Kongres Amerika Syarikat yang mendesak tindakan terhadap Malaysia berasaskan dakwaan yang dipertikaikan wajar diberikan perhatian kerana berpotensi menjejaskan prinsip saling menghormati antara negara berdaulat.
Dari sudut undang-undang antarabangsa, prinsip persamaan kedaulatan negara diperuntukkan dalam Perkara 2(1) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Selain itu, prinsip tidak campur tangan turut diiktiraf sebagai prinsip undang-undang antarabangsa adat. Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam kes Nicaragua lwn. Amerika Syarikat (1986), menegaskan bahawa setiap negara berhak mengendalikan urusan dalamannya tanpa gangguan luar.Campur tangan juga menjadi salah di sisi undang-undang apabila melibatkan unsur paksaan terhadap perkara yang bebas ditentukan oleh negara berdaulat, termasuk pembentukan dasar luarnya.Atas asas itu, kritikan atau perbezaan pandangan antara negara tidak dengan sendirinya merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa. Namun, sebarang tekanan yang bersifat memaksa untuk mempengaruhi pilihan dasar sesebuah negara hendaklah ditolak. Perbezaan pendirian sewajarnya diurus melalui diplomasi, dialog dan saluran undang-undang yang sah, selaras dengan semangat Piagam PBB.
Pendirian Malaysia terhadap Palestin pula mempunyai asas yang jelas dalam kerangka hak asasi manusia antarabangsa. Hak semua bangsa untuk menentukan nasib sendiri diiktiraf melalui Piagam PBB serta Perkara 1 Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR 1966) dan Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ICESCR 1966). Hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, termasuk hak kepada sebuah negara Palestin yang merdeka, turut ditegaskan oleh Perhimpunan Agung PBB melalui Resolusi 80/195 bertarikh 15 Disember 2025. Pendirian ini juga selaras dengan pengiktirafan terhadap maruah manusia serta hak kepada nyawa, kebebasan, dan keselamatan sebagaimana ditegaskan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.
Oleh yang demikian, sokongan terhadap hak rakyat Palestin tidak wajar disalahertikan sebagai permusuhan terhadap mana-mana bangsa atau agama. Ia merupakan komitmen kepada keadilan, maruah manusia, hak menentukan nasib sendiri dan aturan antarabangsa berasaskan undang-undang. Prinsip ini selaras dengan tuntutan Islam supaya keadilan ditegakkan tanpa dipengaruhi kebencian atau kepentingan tertentu sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat 8.
Sehubungan dengan itu, IKIM menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersatu mempertahankan maruah, kebebasan, dan kedaulatan negara, di samping mengelakkan polemik yang boleh memecahbelahkan masyarakat. IKIM akan terus menyebarkan kefahaman Islam yang berteraskan keadilan, hikmah, dan kesejahteraan sejagat serta menyokong hubungan antarabangsa yang bebas, berprinsip dan menghormati kedaulatan semua negara.
Sekian, terima kasih.
Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
23 Julai 2026 | 8 Safar 1448H
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Fairuz binti Hj Noordin
Tel: 019-388 7600
E-mel: fairuz@ikim.gov.my
Nama: Haji Mohd Faiz bin Othman
Tel: 012-2105658
E-mel: faiz@ikim.gov.my
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment