Tuesday, December 17, 2024
PAAB AKAN BIAYAI HAMPIR RM 1 BILION DAN BINA DUA LOJI RAWATAN AIR DI SEBERANG PERAI, PULAU PINANG MULAI TAHUN 2025
GEORGETOWN, 17 Dis (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow di Kompleks KOMTAR, Pulau Pinang pagi tadi.
Kunjungan hormat tersebut disertai oleh Pengerusi PAAB, Dato' Seri Ir. Jaseni Maidinsa, Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Zulkiflee Omar dan Ketua Pegawai Kewangan, Zaleha Abdul Hamid.
Dalam pertemuan yang berlangsung di Pejabat Ketua Menteri, PAAB berpeluang memperkenalkan dengan lebih terperinci mengenai peranan dan tanggungjawabnya sebagai syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan dana mudah cara dalam melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur air, bukan sahaja di Pulau Pinang, malah di semua negeri yang telah menandatangani Pelan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air dengan PAAB.
Sehubungan itu, PAAB komited bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membina dua loji rawatan air baharu di daerah Seberang Perai bagi meningkatkan margin simpanan air terawat di kawasan berkenaan pada masa depan.
Projek tersebut membabitkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Perai di daerah Seberang Perai Tengah dengan kapasiti 136 juta liter air sehari (MLD).
Manakala sebuah lagi projek melibatkan pembinaan LRA Sungai Muda di daerah Seberang Perai Utara dengan kapasiti 114 MLD.
Apabila siap kelak, 15 peratus margin simpanan air terawat dapat dikekalkan di Negeri Pulau Pinang serta berupaya mengatasi permintaan tinggi pengguna di kawasan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara untuk menyokong keperluan pembangunan masa depan.
PAAB ditubuhkan pada tahun 2006 melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan dikawal selia oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara, sebagai syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung Malaysia dengan kadar pembiayaan yang kompetetif.
Untuk rekod, PBAPP telah menandatangani Pelan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Pulau Pinang pada tahun 2011 dan projek infrastruktur air ini merupakan penglibatan PAAB yang pertama di Negeri Pulau Pinang.
SUMBER : Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: KHAIRIL AMRI TAJUDDIN
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: 017-4060717
E-mel: amri@paab.my
--BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment