Monday, December 16, 2024

PAAB PILIH USM PULAU PINANG, TERAPKAN AMALAN HIJAU DAN LESTARI

GEORGETOWN, 16 Dis (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, menyalurkan peruntukan berjumlah RM50,000 kepada Universiti Sains Malaysia (USM) kampus Pulau Pinang bagi melaksanakan Kempen PAAB Lestari 2024 (Edu-Sustainability) dengan kerjasama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) dan badan bukan kerajaan (NGO) Water Watch Penang (WWP).

 
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar, USM adalah kampus rintis pertama kepada kempen berkenaan sebagai strategi jangka masa panjang bagi memperkasa dan memperkukuhkan lagi usaha memelihara alam sekitar di peringkat kampus IPT.
 
Beliau berkata, pelbagai inisiatif kelestarian bakal diterapkan dan dilaksanakan untuk menyampaikan maklumat penjimatan air dan amalan hijau melalui kempen kesedaran kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam memastikan mereka memahami serta mengambil tahu mengenai isu kelestarian alam sekitar.
 
Ketika berucap merasmikan Kempen PAAB Lestari 2024 di USM, Pulau Pinang, Ir. Zulkiflee turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM50,000 untuk menaik taraf kemudahan bekalan air dan infrastruktur kampus di kolej kediaman Desa Siswa Indah Kembara L-12 yang dijangka siap dalam tempoh 3 bulan.
 
Sebagai projek rintis kampus lestari kepada program CSR tersebut, PAAB akan melaksanakan inisiatif kelestarian termasuk penukaran pili air dan tangki tandas sedia ada di kolej kediaman itu kepada produk cekap air yang menghasilkan pengeluaran air lebih rendah dengan keupayaan menjimatkan bil air sehingga 50 peratus daripada jumlah bil semasa.
 
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi PAAB, Dato' Seri Ir. Jaseni Maidinsa dan Timbalan Naib Canselor (Rangkaian Industri Dan Komuniti) USM Professor Dr. Azlan Amran.
 
Bagi tempoh 5 tahun, PAAB memperuntukkan dana berjumlah RM1.15 juta untuk pelaksanaan Program CSR PAAB Sustainability sejak 2019 menerusi 4 inisiatif termasuk Program PAAB School Sustainability di 13 buah sekolah, Program Masjid Hijau PAAB di 9 buah masjid dan surau, Program Pembersihan Pantai dan Penanaman Pokok Bakau, A Wave of Change di empat lokasi, serta terbaru Kempen PAAB Lestari 2024 (Edu-Sustainability) dengan kampus rintis di USM Pulau Pinang.
 
PAAB ditubuhkan pada tahun 2006 melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan dikawal selia oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara, sebagai syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung Malaysia dengan kadar pembiayaan yang kompetitif.
 
Untuk rekod, PBAPP telah menandatangani Pelan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Pulau Pinang pada 2011.

SUMBER : Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: KHAIRIL AMRI TAJUDDIN
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: 017-4060717
E-mel: amri@paab.my 

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment