Tuesday, July 27, 2021

AZAM MOTOR TERUS BERDAYA SAING MELALUI RANGKA KERJA KECEMERLANGAN PERNIAGAAN (MBEF)

 PETALING JAYA, 27 Julai (Bernama) -- Syarikat Azam Motor milik sepasang suami isteri yang ditubuhkan pada tahun 1990 dan seratus peratus pemilikan bumiputera merupakan bengkel pembaikan kenderaan “ONE STOP CENTER” yang terus cemerlang berdaya saing menerajui perusahaan automotif. Beroperasi di Banting, Selangor sebagai ibu pejabat kini mempunyai 3 cawangan iaitu di Salak Tinggi Sepang, Bangi dan Sungai Petani setelah mereka berjaya mengruskan secara holistik melalui pendekatan Rangkakerja Kecemerlangan Perniagaan (MBEF).  

 
Antara kejayaan yang telah dicapai oleh Azam Motor selepas menggunakan MBEF antaranya ialah Anugerah Syarikat Terunggul 2020 (Perkhidmatan Automotif), Anugerah Ikon Malaysia 2020 (Automotif) dan Pengerusi Persatuan Usahawan Pembangunan Automotif Wanita Malaysia (PUSPAWM). Mereka turut meraih pelbagai pengiktiran yang dianugerahi oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) lagi seperti 5S, High Productive Enterprise 2018 dan APIC 2018.
 
Kerangka Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF) adalah pendekatan holistik yang dibantu oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) kepada organisasi yang bermaksud untuk meningkatkan prestasi mereka ke tahap seterusnya; memperkukuhkan penglibatan dan mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pihak berkepentingan serta lebih berdaya saing di pasaran yang kompetitif. Menurut Pn. Zulaifah Omar, Pengarah Kecemerlangan Organisasi MPC, “MBEF merangkumi tujuh kriteria iaitu Kepimpinan, Perancangan, Informasi, Pelanggan, Tenaga Kerja, Proses dan Hasil. Syarikat Azam Motor mula didedahkan dengan pendekatan MBEF yang bermatlamat untuk memantapkan pengurusan syarikat melalui Program Groom Big anjuran MPC sejak dari tahun 2016. Matlamat program Groom Big ini adalah untuk meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan yang dikendalikan oleh syarikat perusahaan kecil dan sederhana tempatan agar mereka berupaya untuk berdaya saing di peringkat global”. 
 
Menurut Pengarah Urusan Azam Motor, Pn. Mastinah Mohd Sani, “Organisasi cemerlang harus mempunyai tujuh ciri utama iaitu mempunyai matlamat dan hala tuju jelas, sistem komunikasi berkesan, jelas, telus dan proaktif, membudayakan memberi dan menerima maklum balas, menerima dan menghormati perbezaan dalam kalangan pekerja, semangat berpasukan tinggi, mementingkan keterlibatan dan kesetiaan pekerja dan mengutamakan kerjaya serta pembangunan kemahiran pekerja. Kriteria tersebut yang dipelajari dari MBEF digunakan untuk meningkatkan produktiviti syarikat dan seterusnya memacukan prestasi syarikat ke tahap yang ada sekarang”.
 
Beliau turut menyeru syarikat diluar sana untuk menggunakan MBEF untuk menilai kekuatan dan peluang penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh syarikat. Fokus MBEF ialah melestarikan organisasi, baik awam atau swasta dengan melahirkan organisasi cemerlang bukan sahaja merujuk kepada keuntungan bagi organisasi perniagaan tetapi mampu kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa.
 
 
Mengenai Malaysia Productivity Corporation (MPC)


Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menggalakkan produktiviti, kualiti dan daya saing kepada industri dan organisasi di Malaysia. Visi MPC adalah menjadi organisasi terkemuka dalam peningkatan produktiviti untuk daya saing global dan inovasi.

Dikeluarkan oleh MALAYSIA PRODUCTIVITY CORPORATION 


SUMBER : Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 

No comments:

Post a Comment