Tuesday, July 6, 2021

IKIM BERMUNAJAT DAN FORUM BICARA AD-DIN SEMPENA ULANG TAHUN KE-20 RADIO IKIM

 


Table

Forum Bicara Ad-Din sempena sambutan Ulang Tahun Radio IKIM


KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia menyambut ulang tahunnya yang ke-20 pada 6 Julai 2021. Bagi menghargai semua pihak yang menyokong Radio IKIM sepanjang 20 tahun penubuhannya, IKIM akan menganjurkan ‘IKIM Bermunajat’ dan juga Forum Bicara Ad-Din khas.

Penganjuran program khas IKIM Bermunajat akan ke udara pada 6 Julai 2021, jam 9.00 malam. Program yang bakal ke udara selama satu setengah jam ini akan menampilkan DJ Suffian Amrin selaku moderator bersama pentausiyah, Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang yang akan diselang-selikan dengan bacaan surah Yasin dan ratib al-Attas oleh kumpulan Inteam. IKIM Bermunajat mengajak pendengar dan penonton untuk bersama-sama memohon kesejahteraan negara dan perlindungan daripada penularan wabak COVID-19 yang kini agak meruncing bukan hanya di Malaysia malah di seluruh dunia.

Forum Bicara Ad-Din merupakan platform perbincangan berkaitan ‘Cabaran Penyiaran Radio Islami Di Era Kemajuan Digital’ kendalian DJ Syafiq Salleh. Gabungan dua panelis hebat, Ustaz Syamsul Debat dan Prof. Dato’Dr. Zulkiple Abd. Ghani ini akan bersiaran pada 9 Julai 2021, jam 9.00 malam.

Kedua-dua program istimewa ini dapat diikuti menerusi Radio IKIM serta  platform digital media IKIM di https://www.linktr.ee/ikim

Bermula sebagai satu-satunya radio Islami tanah air yang beroperasi menggunakan sistem digital sepenuhnya, Radio IKIM telah berkhidmat selama dua dekad kepada masyarakat Malaysia dan dunia amnya, dengan bersiaran 24 jam, dan sekarang dapat didengari di seluruh dunia dengan wujudnya aplikasi radio secara dalam talian.

Sepanjang 20 tahun ini, Radio IKIM telah berusaha meningkatkan kefahaman Islam menerusi rancangan-rancangan yang menyampaikan ilmu, fakta-fakta dan juga menerusi hiburan  berpandukan kepada nilai-nilai Islami. Untuk menjayakan rancangan-rancangannya, Radio IKIM telah mengundang para ilmuwan Islam, seperti Mufti, profesor-profesor, dan wakil-wakil daripada saudara-saudara baru.

Pada tahun 2021 ini juga, Radio IKIM telah berjaya meningkatkan jumlah pendengarnya  kepada 1.56 juta seminggu, berdasarkan kaji selidik radio GfK Siri 1, 2021.  Ini adalah merupakan kadar peningkatan sebanyak 20.4%, dan merupakan jumlah pendengar tertinggi yang pernah dicapai sejak penubuhan Radio IKIM. Antara kumpulan yang tertinggi di kalangan pendengar Radio IKIM adalah kumpulan umur 35 tahun ke atas serta kumpulan pekerjaan professional, pengurusan tinggi, eksekutif, dan usahawan-usahawan.

Antara program yang menjadi pilihan kumpulan umur ini ialah segmen Warna Pagi, yang ke udara pada pukul 6 hingga 10 pagi. Segmen ini memberi fokus kepada rancangan-rancangan yang  berbentuk inspirasi insan-insan yang berjaya dan membawa pengajaran kehidupan yang boleh dimanfaatkan oleh pendengar. Segmen ini dimanfaatkan dengan penyertaan oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang yang tertentu, dan dengan membincangkan isu-isu semasa menerusi media sosial.  Rancangan yang paling digemari di dalam segmen Warna Pagi ini antaranya, ialah rancangan Tafsir Al-Quran, Motivasi Pagi, Hayya Bil Arabiah, Bicara Mufti, Minda Islam dan Kesihatan.

Radio IKIM juga akan menyiarkan program Anugerah Pencinta Nasyid (APNI) siri ke-dua, yang akan diadakan pada hujung tahun ini. Penganjuran APNI ini sebagai usaha murni untuk menggalakkan penciptaan irama lagu dan lirik nasyid terbaharu, menerusi tiga tema terpilih, iaitu Ilmu, Amanah, dan Benar. 

Dengan sokongan para pendengar dan penyertaan para ilmuwan Islam, maka Radio IKIM akan terus menunaikan amanat penubuhan IKIM untuk memahami Islam dan pembentukan sahsiah Islamiah dan pembinaan tamadun ummah.  Terima kasih semua!
 
UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT
6 Julai 2021


SUMBER : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

No comments:

Post a Comment