Wednesday, July 14, 2021

MYCRAFTSHOPPE PLATFORM E-MARKETPLACE MEMBANTU USAHAWAN KRAF LEBIH BERDAYA SAING

 KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) — Penularan wabak Coronavirus atau COVID-19 yang melanda seluruh dunia turut meninggalkan kesan kepada ekonomi Malaysia terutama kepada industri penerbangan, pelancongan dan secara tidak langsung juga kepada industri kraf negara. Sebagai langkah dan strategi bagi memastikan semua sektor berkembang rancak semula bagi menjana ekonomi yang lebih mampan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia telah mengambil inisiatif memperkasakan program digital di dalam pelan pemulihan industri kraf yang tidak terkecuali turut terkesan. Untuk kekal relevan dan berdaya saing, industri kraf dan usahawan kraf perlu mengubah kaedah konvensional dalam perniagaan kepada transformasi digital yang bersifat inovatif agar selari dengan cabaran semasa. Platform e-marketplace dilihat sebagai inisiatif yang lebih lestari dalam memberikan bantuan yang sangat diperlukan kepada semua usahawan kraf bagi menghadapi cabaran susulan COVID-19.

Justeru itu, bagi merancakkan lagi urus niaga secara e-marketplace ini, Kraftangan Malaysia telah menyediakan pelan pemulihan khusus dengan membangunkan platform MYCRAFTSHOPPE untuk membantu usahawan kraf untuk memasarkan produk kraf tempatan. Plafform ini menawarkan perkhidmatan jual-beli secara dalam talian (online) dan merupakan sebuah hub informasi berkaitan industri kraf negara berkonsepkan Global Reach Local Identity. Platform digital ini juga menawarkan kepelbagaian produk kraf dalam bidang tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf yang dibahagikan kepada kategori apparel, fashion accessories, gifts and souvenirs, home, garden and houseware serta hobbies and lifestyle. Keistimewaan aplikasi ini membolehkan pengguna mendapat maklumat berkaitan ekosistem industri kraf yang merangkumi aspek produk, pembekal bahan mentah, rekaan produk, informasi berbentuk video proses pembuatan, perkhidmatan selepas pembelian termasuk blended learning dan Muzium Kraf Digital yang dibangunkan secara peringkat. Lebih menariknya mengenai MYCRAFTSHOPPE ini berbanding platform e-marketplace yang lain adalah ia membuka peluang kepada pengguna perkhidmatan dalam talian untuk terlibat sama dalam memasarkan produk atau perkhidmatan mereka.

Menariknya mengenai inisiatif dibangunkan itu bukan sahaja mengutamakan keperluan dan kemudahan usahawan, malah mengambil kira keselesaan serta kepentingan pembeli dan peminat kraf tempatan. Ia akan membawa pembaharuan kerana peminat kraf tempatan yang kini boleh mendapatkan produk kraf yang mereka inginkan dan perlukan secara atas talian melalui MYCRAFTSHOPPE. Untuk memastikan platform MYCRAFTSHOPPE ini selari dengan arus kemodenan teknologi semasa, bantuan teknikal berkaitan Informasi Teknologi (IT) diberikan kepada komuniti kurang berpengetahuan dalam bidang berkenaan. Inisiatif ini bertujuan membantu usahawan dalam aspek kemahiran menggunakan teknologi terutamanya teknik fotografi, penyediaan video, suntingan gambar dan keterangan produk hinggalah proses muat naik dalam e-marketplace.

Sehingga 30 Jun 2021, platform ini menghimpunkan seramai 586 pemain industri yang terdiri daripada usahawan kraf, pembekal dan komuniti kraf dengan produk yang ditawarkan melebihi 17,208 unit yang dipasarkan secara digital di dalam platform MYCRAFTSHOPPE. Produk-produk kraf ini diperoleh daripada usahawan-usahawan kraf berdaftar yang sedia ada serta dari produk-produk komuniti kraf seluruh Malaysia.

Selain daripada kempen “Best from The State” yang mempromosikan produk kraf dari lima negeri iaitu Selangor, Perak, Kelantan, Terengganu dan Johor, MYCRAFTSHOPPE turut mempromosikan produk kraf bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha menerusi kempen ‘Eksklusif untuk anda’ dengan potongan harga yang menarik. Pelbagai diskaun dan baucar menarik disediakan untuk pembeli.

Antara pengisian kempen dan promosi jualan MyCraftshoppe adalah terdiri daripada ‘Best from state’ , ‘7.7 Mid YearSale’ , ‘Raya Haji Sale’, ‘Grab sale’ & ‘Pay Day Sale’ yang akan berlangsung sepanjang bulan Julai 2021 selama sebulan.

Sehingga kini, statistik secara purata menunjukkan kira-kira lapan belas ribu produk telah dimuatnaik dan lebih kurang 3 juta aliran trafik didalam laman sesawang ini telah dilayari semenjak penubuhan platform ini menunjukkan tahap peningkatan.

Kepada penggemar produk kraf tempatan, kunjungi MYCRAFTSHOPPE di https://www.mycraftshoppe.com/ yang menawarkan kepelbagaian jualan produk kraf secara dalam talian (online) semudah dengan hanya menggunakan telefon pintar.


http://mrembm.bernama.com/viewsm.php?idm=14766

No comments:

Post a Comment