Tuesday, July 23, 2024

PEMBACAAN QUNUT NAZILAH TERHADAP SESAMA MUSLIM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memandang serius isu pembacaan Qunut Nazilah terhadap sesama Muslim yang sedang hangat diperkatakan. IKIM menegaskan bahawa Qunut Nazilah adalah doa khusus yang dibaca ketika umat Islam menghadapi ancaman besar terhadap agama dan keselamatan mereka. Ia tidak sepatutnya digunakan dalam konteks perselisihan atau konflik antara sesama Muslim. 

Qunut Nazilah merupakan doa yang memohon perlindungan dan pertolongan Allah SWT dari ancaman musuh. Tindakan membacanya terhadap sesama Muslim adalah bertentangan dengan prinsip persaudaraan dalam Islam dan boleh menimbulkan perpecahan serta kebencian dalam kalangan umat Islam. Rasulullah SAW bersabda:

"Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya, menghinanya dan merendahkannya." (Sahih Muslim #2564)

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَخْذُلُهُ وَلاَ يَحْقِرُهُ.‏

IKIM menyeru semua pihak agar berhati-hati dalam menggunakan Qunut Nazilah dan tidak menyalahgunakannya untuk tujuan politik atau peribadi. Kita harus sentiasa berusaha untuk menyelesaikan perselisihan dengan cara yang baik, melalui dialog, musyawarah, dan perdamaian. IKIM juga menggesa semua pihak agar merujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan mendapatkan nasihat daripada ulama yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tindakan atau keputusan yang berkaitan dengan agama.

Marilah kita bersama-sama menjaga keharmonian dan perpaduan umat Islam, serta berusaha untuk menyebarkan nilai-nilai Islam yang sebenar, iaitu kasih sayang, toleransi dan persaudaraan.

Sekian, terima kasih
 
PROF. MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
 
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia
 
22 Julai 2024

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

--BERNAMA 

No comments:

Post a Comment