Thursday, June 28, 2018

LEGOLAND TAWAR DISKAUN 50 PERATUS UNTUK PAS TAHUNAN DI PAMERAN MATTA

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Legoland Malaysia Resort (Legoland) akan menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bagi pas tahunan untuk taman temanya, iaitu pada harga RM188, di karnival pelancongan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Selangor tahun ini.
Tawaran eksklusif di karnival Matta itu adalah seiring dengan pengurangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dari enam peratus kepada sifar peratus, kata pengendali taman tema antarabangsa itu dalam satu kenyataan.
Pemegang pas tahunan akan menerima jemputan eksklusif untuk acara-acara khas, menikmati diskaun khas, tempat letak kereta percuma dan akses tanpa had ke taman tema, katanya.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland, Thila Munusamy berkata, dengan pengurangan GST, pengunjung kini dapat membeli pakej pada nilai lebih hebat dengan harga yang berpatutan.
"Beberapa acara menarik bakal berlangsung di Legoland mulai sekarang hingga penghujung tahun, seperti 'Halloween Brick-or-Treats' pada Oktober dan sambutan 'Magik Brick-tacular Holiday' pada Disember," tambah beliau.

Diskaun eksklusif lain seperti penjimatan tambahan untuk pas tahunan, diskaun sehingga 45 peratus untuk tiket masuk dan pakej penginapan keluarga di Hotel Legoland juga akan ditawarkan di karnival Matta, menurut kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment