Thursday, June 28, 2018

Pertandingan dalam talian global tawar hadiah rumah agam Uk bernilai RM12.24 juta

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Pembelian tiket berharga 10 pound sterling serta 50 pence bagi bayaran tempahan bagi setiap urus niaga akan membolehkan peserta di seluruh dunia memenangi sebuah rumah agam mewah bernilai 2.3 juta pound sterling atau RM 12.24 juta di Devon, England dalam peraduan yang berakhir pada 30 Nov, 2018 (1 pound sterling = RM 5.32).

Pertandingan dalam talian oleh millionairemansion.co.uk itu dipercayai yang pertama menawarkan hadiah sebuah rumah agam dalam satu pertandingan dalam talian di peringkat global.

Rumah agam tersebut dilengkapi dengan semua isi kelengkapan dan perabot, kolam renang dalaman, gimnasium, padang golf tiga lubang, tanah seluas 10 ekar (4.04 hektar), garaj untuk empat buah kereta dan sebuah apartmen berasingan yang mempunyai taman peribadi yang tersendiri, menurut satu kenyataan.

"Hadiah itu juga termasuk wang tunai 50,000 pound sterling, sebuah Rolls Royce, Cukai Duti Setem UK yang telah dibayar dan perkhidmatan seorang jurukemas dan tukang kebun yang gaji mereka telah dibayar untuk setahun, " katanya.

Menurut kenyataan itu, pemenang boleh tinggal di rumah berkenaan, menyewa atau menjualkannya, malah pemilik sekarang akan turut membantu menjual hartanah mewah itu bagi pihak mereka.

Di tingkat bawah rumah agam itu mempunyai dua pintu masuk menuju ke sebuah dewan besar, bilik lukisan, dapur, ruang makan, perpustakaan, bilik membaca, bilik sarapan, bar dan dua pintu ke bahagian teres serta kawasan barbeku. Ruang bawah tanah mempunyai sebuah bilik utiliti, bilik pengeringan dan bilik stor.

Di tingkat atas pula, rumah itu yang dilengkapi televisyen litar tertutup dan sistem penggera, mempunyai empat bilik tidur besar dengan balkoni dan bilik persalinan.

"Untuk memenanginya, peserta, yang mesti berusia sekurang-kurangnya 18 tahun, perlu membeli tiket di millionairemansion.co.uk dan berjaya menjawab soalan pelbagai pilihan, " kata kenyataan itu.

Sebanyak satu juta tiket boleh didapati bagi menyertainya.

Pasangan yang memiliki rumah itu yang berjaya atas usaha sendiri, yang ingin kekal tanpa nama, telah berkahwin dan bekerja bersama dalam perniagaan selama 45 tahun. Mereka akan menyumbangkan 20 peratus daripada hasil pertandingan itu kepada badan amal.

"Kami berhasrat membantu orang lain selepas dibantu oleh majikan pertama kami ketika bermula dalam perniagaan. Kami mempunyai banyak kenangan berkeluarga yang bahagia, tetapi kini ingin menggunakan rumah itu untuk membantu beberapa badan amal yang hebat dan memberi orang lain peluang untuk menjadi jutawan segera, " kata mereka.

Selain hadiah utama, terdapat juga sembilan hadiah tempat kedua masing-masing bernilai 10,000 pound sterling.

Terma dan syarat pertandingan boleh didapati di https://millionairemansion.co.uk/terms-and-conditions/. Maklumat lanjut di https://millionairemansion.co.uk.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment