Sunday, September 15, 2024

25 ORGANISASI DINOBATKAN SEBAGAI JUARA ANUGERAH TENAGA KEBANGSAAN (NEA) BAGI KEPIMPINAN TENAGA LESTARI DENGAN PENJIMATAN TENAGA SEBANYAK RM 45 JUTA SETAHUN

 

Tahniah kepada pemenang Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2024. 

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2024 meneruskan tradisinya mengiktiraf pemimpin industri dan organisasi atas komitmen mereka menerima pakai konsep dan amalan tenaga. Pada tahun ini, sebanyak 25 penyertaan diberikan penghargaan atas sumbangan besar mereka mengoptimumkan pengurusan tenaga, meningkatkan kecekapan tenaga, dan memajukan tenaga boleh baharu.

NEA yang diterajui oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mendukung cita-cita Malaysia untuk menggalakkan amalan tenaga yang lestari di semua sektor serta mengurangkan kebergantungan pada bahan bakar berasaskan karbon, sekali gus memajukan negara ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

NEA tahun ini menerima 134 penyertaan daripada pelbagai sektor, termasuk sektor kesihatan, badan kerajaan, dan sektor swasta. Usaha ini menjimatkan 315.37 GWj pengunaan tenaga dan kira-kira RM 45 juta kos tenaga setahun, serta menjana lebih 283.71 GWj daripada tenaga boleh baharu. Sektor kesihatan, khususnya hospital kerajaan, menonjol dengan lebih 65 penyertaan, menunjukkan kepimpinan dalam kecekapan tenaga. Penyertaan ini mencerminkan komitmen sektor tersebut terhadap kelestarian dan penjimatan tenaga negara.

“Saya kagum dengan kemajuan yang dikecapi pelbagai sektor dalam memacu agenda peralihan tenaga negara kita. Komitmen semua pihak terhadap penerapan serta pembangunan tenaga lestari akan memacu pertumbuhan masa depan negara. Tahniah kepada pemenang Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2024! Sumbangan anda kepada kelestarian tenaga telah menonjolkan kepimpinan Malaysia dalam bidang pengurusan tenaga, kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu” kata Dato` Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=18504

No comments:

Post a Comment