KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada 10 September 2024 telah menganjurkan Persidangan Indeks Literasi Kewangan Islam : Ke Arah Masyarakat Celik Kewangan. Persidangan ini telah dirasmikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Seminar sehari yang ditaja sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) ini bermatlamat menghebahkan model Indeks Literasi Kewangan Islam yang dibangunkan oleh IKIM, UKM dan AKPK serta berkongsi dapatan tahap literasi kewangan Islam Masyarakat Muslim Malaysia yang dicerap menerusi model yang dibangunkan ini. Serentak dengan ini juga, buku laporan yang bertajuk “Indeks Literasi Kewangan Islam: Memahami Tahap Literasi Kewangan Berlandaskan Syariat Islam” telah dilancarkan oleh YB Senator Timbalan Menteri. Laporan ini juga merupakan salah satu daripada hasil Memorandum Perjanjian Penyelidikan (Memorandum of Agreement - MoA) yang ditandatangani bersama oleh IKIM, UKM dan AKPK pada 2021.
YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika menyampaikan ucapan perasmian turut memberi cadangan agar masjid dan surau turut dapat dijadikan platform dalam meningkatkan tahap literasi yang kurang di kalangan masyarakat bandar dan luar bandar dengan bantuan ahli-ahli akademik dan pakar yang terlibat serta pemain industri perbankan Islam.
Indeks ini dibangunkan untuk melihat tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat Islam berkaitan kewangan Islam melalui tiga konstruk utama iaitu pengetahuan, sikap dan tingkah laku. Secara keseluruhan, tahap literasi kewangan Islam masyarakat Muslim ketika ini adalah baik dengan skor 80.2. Pengetahuan berada pada tahap sederhana rendah (69.5), tingkah laku pada tahap bagus (85.6), dan sikap pada tahap bagus (89.4). Hasil pemerhatian akan dijadikan agenda untuk meningkatkan tahap literasi kewangan Islam masyarakat Muslim di Malaysia.
Turut hadir dalam persidangan dan majlis pelancaran laporan ini ialah Pengerusi IKIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur bin Manuty; Pro Naib Canselor UKM, YBhg. Prof Dato’ Dr. Roslee Rajikan; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Encik Azaddin Ngah Tasir.
Laporan indeks ini boleh dimuat turun secara percuma dari laman web Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) www.akpk.org.my
Sekian, terima kasih.
10 September 2024
UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT
Sila klik di sini untuk Brosur
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: :016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my
Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-402 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment