Thursday, June 8, 2017

PKNS Sumbang RM110,000 Kepada Badan Kebajikan, Pusat Tahfiz

SHAH ALAM, 8 Jun (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyerahkan sumbangan wang zakat berjumlah RM110,000 kepada tujuh badan kebajikan termasuk pusat tahfiz di sekitar Selangor sempena majlis berbuka puasa anjuran perbadanan itu di sini, malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Noraida Mohd Yusof berkata badan kebajikan dan pusat tahfiz itu ialah Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) Hospital Sungai Buloh, Rumah Kasih Pertiwi Sungai Buloh, Maahad Tahfiz Pekan Sungai Buloh, Maahad Tahfiz Al-Gontory Kuala Selangor, MyCare Humanitarian Care Malaysia, Pusat Jagaan Nur Hasanah Beranang dan Majlis Kanser Negara.

"Sejumlah RM50,000 wang zakat PKNS disumbangkan kepada TKPM Hospital Sungai Buloh bertujuan memenuhi keperluan pihak hospital bagi membantu pesakit beragama Islam yang memerlukan.

"Sementara enam lagi organisasi diberikan sumbangan RM10,000 bagi setiap organisasi bagi membantu kos pengurusan mereka selain bertujuan merapatkan lagi hubungan PKNS dengan masyarakat luar yang kurang berkemampuan," katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, PKNS turut meraikan anak-anak yatim dalam kalangan anak kakitangan perbadanan itu serta Rumah Kasih Pertiwi dengan pemberian sepasang baju raya sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Terdahulu, kira-kira 1,000 tetamu termasuk kakitangan PKNS menghadiri majlis berbuka puasa tersebut yang turut diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid terkenal, Rabbani.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment