Tuesday, October 25, 2016

IKIM Anjur Konvensyen Pesona D'Zahra, Tingkat Pengetahuan Agama Di Kalangan Wanita



KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melalui IKIMfm hari ini menganjurkan Konvensyen Pesona D'Zahra bertujuan meningkatkan pengetahuan agama di kalangan wanita.

Penerbit Rancangan Kanan Radio IKIMfm Maslina Alias yang juga penyelaras konvensyen itu berkata penganjurannya adalah bagi memenuhi permintaan di kalangan pendengar wanita radio yang mahu program ilmu berbentuk keagamaan dianjurkan secara langsung.

"Program yang dianjurkan secara langsung ini memudahkan peserta untuk bertanyakan soalan berkaitan wanita dan rumah tangga secara terus kepada penceramah.

"Hari ini kita juga mahu meraikan golongan wanita yang merupakan golongan terpenting dalam membina dan membangunkan institusi keluarga," katanya ketika ditemui Bernama pada program berkenaan di sini.

Konvensyen sehari itu menampilkan penceramah dari Indonesia, Halimah Alydrus dan penceramah tempatan seperti Ahmad Dusuki Abdul Rani, Muhamad Abdullah al-Amin dan Isfadiah Mohd Dasuki serta barisan penyampai IKIMfm, dan disertai lebih 300 peserta daripada pelbagai latar belakang.

Maslina juga berharap konvensyen ini menjadi wadah ilmu buat golongan berkenaan dalam memupuk keharmonian rumah tangga sekali gus dapat membina insititusi keluarga yang baik.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment