KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) akan memulakan misi sumber dan perniagaan pertamanya ke Chile dan Brazil untuk mendapatkan sumber bekalan kukuh bagi pengeluar kayu tempatan.
MTC dalam satu kenyataan hari ini berkata misi itu, yang bermula dari 26 Nov-6 Dis, 2016, merupakan sebahagian daripada program Penambahan Bekalan Bahan Mentah majlis tersebut.
Delegasi itu, yang disertai lapan syarikat berasaskan kayu, akan diketuai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Richard Yu.
"Delegasi itu akan mendapatkan sumber produk kayu tropika serta produk kayu perladangan bagi pemprosesan hiliran di Semenanjung Malaysia," kata majlis tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Datuk Dr Abdul Rahim Nik berkata, majlis itu sentiasa mencari sumber baharu bekalan kayu bagi pengeluar tempatan.
"Kami juga mahu memperkenalkan spesies kayu baharu dalam pasaran, yang boleh digunakan sebagai bekalan aternatif bagi bahan mentah dan untuk menambah nilai dan mempelbagaikan rangkaian produk kita," katanya.
Abdul Rahim berkata delegasi itu juga akan melawat kilang untuk mempelajari amalan pemprosesan kayu dan mencari peluang perniagaan baharu di kedua-dua negara tersebut.
-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1305726
No comments:
Post a Comment