Monday, November 21, 2016

UMCIC Anjur Persidangan 'University Start-up' Malaysia 2016 Esok

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Pusat Inovasi dan Pengkomersialan Universiti Malaya (UMCIC) akan menganjurkan persidangan dua hari 'University Start-Up (UStart)' 2016 bermula esok.

Bertemakan "Mewujudkan Kesan Ekonomi dan Sosial melalui 'University Startups'", persidangan itu akan dihadiri hampir 300 peserta dan pempamer dari institusi pengajian tinggi serta syarikat, pemain industri, agensi awam, usahawan, promoter dan peniaga dari Malaysia dan negara ASEAN.

"Persidangan dua hari itu akan diisi dengan sesi perkongsian bersama penceramah yang terdiri daripada pemegang taruh daripada usaha niaga teknologi, pemimpin ekosistem, pengurus inkubator dan inovator sosial menerusi forum, pameran dan sesi padanan," kata UMCIC dalam kenyataannya.

Antara penceramah ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Catcha Group, Patrick Grove; CEO Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus; CEO Pusat Inovasi dan Kreativiti Malaysia (MaGIC), Ashran Ghazi dan Duta Pergerakan Keusahawanan Global, Nur Fazura Sharifuddin.

Acara tahunan itu adalah kesinambungan atas kejayaan UStart Malaysia dan UStart ASEAN yang diadakan tahun lepas.

UStart kali ini diadakan di Auditorium Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaya, dan akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment