Thursday, March 15, 2018

Fusionex mula inisiatif insurans digital untuk Takaful Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Fusionex, penyedia teknologi data yang memenangi pelbagai anugerah yang mengkhususkan dalam Analisis Data Raya (BDA) dan Kecerdasan Buatan (AI), memulakan inisiatif insurans digital untuk syarikat insurans takaful, Syarikat Takaful Malaysia Bhd (Takaful Malaysia).

'Portal jualan dalam talian Takaful Malaysia' menandakan transformasi digital proses perniagaannya dengan teknologi Fusionex.

Dilancarkan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, portal berkenaan membolehkan pelanggan membeli dan memperbaharui polisi insurans dalam talian melalui pendekatan tumpuan data dengan mudah dan lancar.

Inisiatif insurans Takaful Malaysia yang memanfaatkan teknologi Fusionex itu dapat membantu pelanggan memproses permohonan mereka, memberi sebut harga, melaksanakan pengunderaitan dan menghantar nota lindung, e-dokumen melalui platform dalam talian yang memberi tumpuan kepada pelanggan.

Platform berkenaan mempunyai keupayaan untuk memahami setiap pelanggan dengan lebih peribadi, yang selaras dengan strategi Takaful Malaysia untuk mencapai pelanggan dan bakal pelanggannya di mana sahaja, pada bila-bila masa.

Portal 'Click for Cover' juga memperkenalkan produk baru dan ciri-ciri sasaran yang pelanggan akan dapati lebih berguna dan relevan dengan keperluan khusus mereka.

Pada masa ini, portal tersebut yang menawarkan produk motor, kemalangan peribadi (PA) dan perubatan, mempunyai enjin pengunderaitan perubatan integrasi yang pertama dalam talian di Malaysia di mana keputusan pengadaran akan dihasilkan dalam talian.

Lebih banyak produk seperti jangka hayat, penyakit kritikal dan takaful PA perjalanan akan disediakan pada tahun ini.

"Pelancaran strategi digital Takaful Malaysia ini adalah sejajar dengan strategi digital keseluruhan yang digariskan oleh kerajaan dalam mengembangkan ekonomi digital," kata Johari pada majlis pelancaran tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fusionex Group, Datuk Seri Ivan Teh berkata Fusionex gembira menjadi rakan kongsi utama dalam transformasi digital Takaful Malaysia.

"Kami yakin kejayaan awal ini akan membawa kepada banyak lagi kisah kejayaan dengan Takaful Malaysia," katanya.

Pelancaran itu juga menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Fusionex dan Takaful Malaysia serta pemeteraian antara Takaful Malaysia dan Remark, syarikat pemasaran digital.

Perjanjian kerjasama bagi pengedaran dalam talian dengan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Bank Islam (BIMB) juga ditandatangani untuk memperkenalkan produk Takaful Malaysia kepada pendeposit TH dan pelanggan BIMB.

No comments:

Post a Comment