Wednesday, March 7, 2018

MQA Sedia Kongsi Kepakaran Dengan Badan Jaminan Kualiti Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersedia menjayakan program penempatan dan pertukaran pegawai membabitkan pelbagai badan jaminan kualiti dari negara lain.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MQA berkata pihaknya sentiasa membuka peluang kepada badan jaminan kualiti antarabangsa dari negara lain untuk berkunjung ke negara ini bagi berkongsi kepakaran dan meningkatkan kolaborasi jaminan kualiti pendidikan tinggi.

"Program ini memberi peluang kepada MQA untuk meningkatkan visibiliti di peringkat antarabangsa melalui perkongsian amalan jaminan kualiti dalam kalangan badan jaminan kualiti lain di peringkat serantau dan antarabangsa," kata kenyataan itu.

Menurutnya bagi menjayakan program itu, MQA menerima beberapa pegawai asing bagi menjalani sesi latihan dari 26 Feb hingga 2 Mac lepas terdiri peserta dari lima buah negara berkaitan kualiti pendidikan tinggi iaitu Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi dari Indonesia, Samoa Qualifications Authority, Tertiary Education Commission of Mauritius, National Institution for Academic Degrees and Quality Enhancement of Higher Education of Japan dan Tonga National Qualifications and Accreditation Board.

Menurut kenyataan itu, MQA turut menjayakan program pertukaran pegawai melibatkan empat orang pegawai dari Higher Education Evaluation and Accredition Council (HEEACT) dari Taiwan bagi tempoh 26 Feb hingga 28 Feb lepas.

Katanya bagi tempoh itu peserta program diberikan taklimat berkaitan amalan jaminan kualiti MQA serta berpeluang menjadi pemerhati bagi lawatan penilaian akreditasi yang dilaksanakan MQA.

Menurut kenyataan itu, MQA dijangka menerima beberapa peserta negara lain pada Oktober ini dan maklumat lanjut boleh didapati di www2.mqa.gov.my/MQATC.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment