Friday, February 22, 2019

SUN LIFE MALAYSIA TAKAFUL SERTAI PROGRAM TINGKAT KESEDARAN MENGENAI TAKAFUL

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Sun Life Malaysia Takaful Bhd mengikrarkan sokongannya terhadap program perlindungan insurans takaful Race for Cover Towards Takaful 2020 (RFCTT 2020) anjuran Persatuan Takaful Malaysia sejak Julai 2018 sehingga Disember 2020.

RFCTT 2020 bertujuan meningkatkan kesedaran tentang takaful (Insurans Islam) kepada rakyat Malaysia, khususnya perlindungan Takaful Keluarga dalam kalangan masyarakat, meningkatkan kadar penembusan takaful dan mengurangkan jurang perlindungan insurans di negara ini.

“Sepanjang tempoh Program RFCTT, produk takaful utama yang akan dipromosikan menerusi bank pengagihan utama kami ialah Takaful Mulia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Takaful Muhammad Fikri Mohamad Rawi dalam kenyataan hari ini.

“Takaful Mulia adalah satu daripada produk paling inovatif kami kerana ia menyediakan keseimbangan antara perlindungan, simpanan dan tuntutan kerohanian.

“Ia membantu rakyat Malaysia bukan sahaja untuk meninggalkan sesuatu untuk orang tersayang mereka apabila mereka meninggal dunia, tetapi juga menepati kewajipan agama mereka bagi wakaf, zakat, dan sedekah,” katanya.

Berdasarkan Laporan Kestabilan Kewangan dan Pembayaran Bank Negara Malaysia 2016, malahan dalam kalangan penduduk yang diinsurans atau diliundungi insurans, terdapat jurang perlindungan dengan purata dianggarkan sebanyak RM553,000 hingga RM723,000 setiap keluarga, yang jumlah itu diperlukan untuk menampung standard kehidupan sedia ada mereka sekiranya penjana utama pendapatan meninggal dunia.

Ini diterjemahkan kepada kekurangan pelindungan takaful sebanyak RM200,000 setiap individu.

Muhammad Fikri berkata Takaful Mulia menyediakan dua jenis faedah, iaitu kewangan dan perlindungan serta manfaat kerohanian.

Bagi faedah kewangan, beberapa daripada faedah Takaful Mulia adalah amaun sekaligus sebanyak 100 peratus daripada jumlah yang dilindungi dicampur dengan nilai akaun universal jika berlaku kematian/hilang upaya kekal (TPD).

Amaun sekaligus tambahan sebanyak 100 peratus bagi jumlah yang dilindungi akan disalurkan sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan/TPD di masjid/surau atau semasa sedang mengerjakan haji/umrah.

Bagi faedah kerohanian, antara lain, Takaful Mulia menawarkan sumbangan wakaf tetap (3.0 peratus daripada jumlah sumbangan) dibayar kepada badan wakaf dilantik, tambahan 10 peratus daripada jumlah perlindungan yang perlu dibayar kepada badan wakaf dilantik sekiranya berlaku kematian/TPD.

Takaful Mulia boleh didapati di semua cawangan CIMB Bank dand CIMB Islamic di seluruh negara.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment