Saturday, June 27, 2020

LIAM hulur sumbangan barangan kepada 4 rumah kebajikan kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 24 Jun -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan 16 syarikat ahlinya terus menyebarkan kasih sayang dan keprihatinan dengan menghulurkan sumbangan berbentuk barangan kepada empat rumah kebajikan kanak-kanak di Lembah Klang hari ini.
LIAM dalam satu kenyataan berkata ia menyantuni 150 kanak-kanak berusia dua hingga 17 tahun dari Persatuan Kebajikan Rumah Jalinan Kasih Anak-anak Yatim Miskin, Cheras; Rumah Anak-anak Yatim Raudhatul Al Faeez, Gombak; Pertubuhan Rumah Kebajikan Kanak-kanak Lighthouse, Bangsar; dan Precious Children Home/Mikhalai School of Destiny, Segambut.
Kesemua rumah kebajikan tersebut menerima barangan keperluan rumah bernilai RM20,000 seperti barang makanan, barangan dapur, peralatan mandian, alat tulis, pelitup muka, cecair pembasmi kuman, barangan penjagaan diri dan kebersihan."Walaupun tiada juadah enak Hari Raya yang disediakan kali ini, anak-anak yatim dan penjaga mereka akan disajikan dengan juadah istimewa yang dikirimkan menerusi penghantaran makanan ke rumah mereka.

"Kami berharap sumbangan kecil kami ini akan mengukirkan senyuman di wajah mereka kerana kanak-kanak seharusnya memerlukan penjagaan dan kasih sayang yang berterusan tanpa batasan," kata Presiden LIAM Loh Guat Lan.

Pandemik COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelumnya telah memberi kesan kepada banyak negara di seluruh dunia termasuk Malaysia menyebabkan tradisi tahunan Perjumpaan Hari Raya LIAM dengan anak-anak yatim dibatalkan.

"Kami sedar keperitan dan kepayahan yang dihadapi oleh rumah kebajikan kanak-kanak terutama pada masa yang sukar dan mencabar ini dan kami ingin memainkan peranan kami sebagai warga korporat yang bertanggungjawab melalui inisiatif ini untuk memastikan kesejahteraan golongan yang memerlukan terjaga," tambahnya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment