Monday, June 22, 2020

PICOMS PENERAJU KOLEJ UNIVERSITI DALAM TALIAN SEMASA COVID-19

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Tiada istilah rehat bagi Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu berikutan penularan wabak COVID-19.

Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata semua program pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sebelum ini diadakan secara bersemuka telahpun beralih ke platform dalam talian hampir sepenuhnya.

“Sebagai Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), inisiatif ini adalah selari dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) waktu itu. Walaupun pelajar kami berada di rumah, program pembelajaran tetap diteruskan sehingga kini,” katanya.

Beliau menyifatkan PICOMS sebagai peneraju dan perintis dalam talian dalam memperkasakan pengajaran dan pembelajaran memandangkan pelajar-pelajar universiti awam (UA) sedang bercuti dalam tempoh PKP bermula 18 hingga 31 Mac.

Di saat negara dilanda krisis COVID-19, PICOMS meneruskan pengambilan pelajar bagi April-Mei 2020 dalam talian. Semasa peringkat awal COVID-19, PICOMS telah merancang program Hari Terbuka, Pengambilan Pelajar dan Orientasi secara maya.

Dari sejumlah 3,000 permohonan yang diterima bagi pengambilan April-Mei, 400 telah mendaftar dalam talian. Baki selebihnya yang masih berminat telah memohon bagi pengambilan pelajar bagi Julai dan September.

Prof. Wan Azizi berkata di bawah fasa normal baharu dalam PdP, pelajar PICOMS telah didedahkan kepada pelbagai sistem dan aplikasi dalam talian yang mudah diperolehi seperti Google Classroom dan Google Meet.

Menurut beliau, kebajikan pelajar dan kakitangan tidak diabaikan kerana PICOMS telah melaksanakan inisiatif Musaadah COVID-19 bagi membantu meringankan beban mereka yang mungkin terkesan dengan perlaksanaan PKP.

Di bawah program ini, pelajar menerima elaun sara diri bulanan, bantuan komputer riba, bantuan pengecualian bayaran asrama, perkhidmatan tele-kaunseling, makanan percuma/Food bank dan perkhidmatan bas. Kakitangan PICOMS juga diberi pinjaman komputer, pinjaman peribadi dan elaun khas PKP.

Prof. Wan Azizi berkata pandemik COVID-19 telah mengubah landskap pendidikan di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Terdapat kira-kira sejuta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini pada masa PKP.

Seramai 3,000 pelajar dan 200 pensyarah PICOMS telah menjalani program dalam talian sejak tercetusnya penularan pandemik COVID-19.

"Hikmah dari pandemik COVID-19 ini telah mengetengahkan PICOMS secara tidak langsung kepada pasaran antarabangsa melalui maklumat yang dimuatnaik secara digital,” katanya.

Sehingga kini, PICOMS telah menjalin kerjasama dengan institusi-institusi luar negara seperti Osaka Rojin Home di Osaka, Jepun dan melalui program German Professional Employment PICOMS di Jerman.

PICOMS juga menempah sejarah dengan memperolehi pengiktirafan bagi program Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan pada 10 Jun dari Institut Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (IOSH), United Kingdom yang diiktiraf lebih 135 negara dengan keahlian melebihi 48,000 orang.

Sementara itu, Prof. Wan Azizi telahpun melancarkan 30 siri video pendidikan mengenai ‘Science is Islam’ melalui drwandrazizi YouTube channel yang mempunyai pautan dari laman web PICOMS.

Timbalan Naib Canselor (Akademik) PICOMS Profesor Dr Mohd Nazil Salleh berkata pengambilan pelajar UA biasanya dilakukan Unit Pengambilan Universiti (UPU) pada September manakala di IPTS dilaksanakan pada April, Jun dan Julai. PICOMS adakan tiga kali setahun.

“Bila tercetusnya wabak COVID-19, PICOMS yang berada di pertengahan semester sedang menghadapi peperiksaan akhir. Setiap program diubah hampir 100 peratus dalam talian,” katanya.

Menurut beliau, sebelum pandemik COVID-19, hanya 20 peratus pengajian dilaksanakan secara dalam talian. Program yang memerlukan kemahiran jururawat misalnya, ditangguhkan.

“Pada dasarnya, kumpulan senior yang mengambil peperiksaan dalam talian pada 27 Mac lalu, merupakan program pilot (perintis) PICOMS," katanya.

Beliau berkata PICOMS telah menyediakan garis panduan untuk kemasukan pelajar ke kampus tidak lama lagi. Bagi pelajar yang akan menjalani praktikal, mereka perlu lapor diri mengikut jadual dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sumber: Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Puan Nurul Iman Dzulkefly
Pengarah Komunikasi Korporat
Tel: 03-6192 0600

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment