Monday, July 18, 2022

PUSINGAN PERINGKAT NEGERI NATIONAL SCIENCE CHALLENGE 2022 KINI BERMULA

 KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pusingan Peringkat Negeri bagi National Science Challenge (NSC) 2022 kini bermula dengan 80 pasukan daripada 3895 pasukan berdaftar seluruh negara akan bersaing bagi mendapatkan 20 tempat terbaik untuk ke peringkat separuh akhir pada 27 Ogos 2022. Seterusnya 5 pasukan terbaik akan mara ke peringkat akhir dijadual berlangsung pada penghujung tahun 2022. 

Memulakan pusingan Peringkat Negeri, Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah akan menganjurkan pusingan berkenaan secara fizikal di Universiti Malaysia Sabah bermula 16 dan 17 Julai 2022. Kerjasama ini adalah pertama kali diadakan bersama KSTI dalam memberikan pengalaman secara berhadapan bersama peserta di negeri berkenaan setelah dua tahun NSC diadakan secara dalam talian.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) YB Dato’ Sri Dr Adham Baba, “MOSTI menerusi ASM pada April lalu telah menandatangani MoU bersama KSTI dengan antara fokus ditekankan adalah usaha memperkasakan pembudayaan STEM di kalangan pelajar di negeri ini. Justeru, program NSC 2022 dilihat mampu memberikan pendedahan awal dan juga membina minat golongan muda dalam meneroka pelbagai cabang sains,”

“KSTI Sabah amat menghargai sokongan diberikan ASM dalam menjadikan Sabah sebagai negeri pertama bekerjasama dengan ASM untuk menganjurkan program NSC 2022 Peringkat Negeri secara fizikal. Program sebegini sudah semestinya menyokong usaha KSTI Sabah untuk melahirkan bakat tersedia yang boleh memacu kemajuan negeri ini di masa hadapan,” ujar Setiausaha Tetap KSTI Sabah, Zainudin Aman. 

Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Puan Hazami Habib, “Kerjasama berterusan ini sudah pasti dapat memperkukuh serta meningkatkan tahap perkhidmatan serta pelaksanaan program yang lebih baik untuk kemajuan negeri berkenaan dan negara amnya. Ini juga adalah usaha proaktif ASM dalam meningkatkan bakat STEM negara.”

Bagi negeri Sabah, 5 pasukan daripada 4 buah sekolah akan mengambil bahagian untuk pusingan Peringkat Negeri iaitu Sabah Thsung Tsin Secondary School (2 pasukan), SMK Sung Siew (1), MRSM Semporna (1) dan SMK Abaka (1). Manakala bagi negeri-negeri lain, pusingan Peringkat Negeri bakal diadakan pada 20-24 Julai 2022 secara dalam talian.

Kesemua pasukan ini akan diadili melalui tiga kriteria iaitu persembahan video, pembentangan dan temuramah berkaitan tema tahun ini iaitu ‘Pembangunan Lestari untuk Kesihatan Planet berteraskan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE)’. Hanya satu kumpulan yang mengumpul markah tertinggi, akan mewakili setiap negeri ke peringkat separuh akhir dan seterusnya berpeluang muncul juara. 

Pemenang bagi NSC 2022 Peringkat Akhir akan membawa pulang Piala Pusingan YAB Perdana Menteri dan sijil penyertaan. NSC 2022 mendapat sokongan daripada rakan kongsi strategik: Young Scientists Network (YSN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Majlis Amanah Rakyat (MARA), CREST, Sasbadi Online Sdn Bhd, Persatuan Mikrobiologi Malaysia, Persatuan Kimia Amerika (ACS) Malaysia, Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) dan My STEM Ambassador. 

SUMBER : Akademi Sains Malaysia

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16098

No comments:

Post a Comment