Saturday, July 30, 2022

AGROBANK SERAH KUTIPAN DANA WAKAF TUNAI RM206,313.45 KEPADA PICOMS BAGI INISIATIF WAKAF TUNAI MESIN DIALISIS AGROBANK & PICOMS-MAIWP

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank (kanan sekali) menyerahkan kutipan dana wakaf tunai berjumlah RM206,313.45 kepada kepada Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman (dua dari kiri) dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini. Program Wakaf Tunai Mesin Dialisis Agrobank & PICOMS-MAIWP dilancarkan pada tahun 2020 dengan objektif untuk membantu menangani masalah kekurangan mesin dialisis bagi pesakit-pesakit dari kalangan orang awam

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Selaras dengan matlamat untuk mempertingkatkan kesedaran masyarakat untuk beramal jariah dengan berwakaf, Agrobank, sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 2015, telah menggerakkan 140 cawangannya di seluruh Malaysia dengan menggunakan fasiliti perbankan internetnya, Agronet sebagai medium bagi mencapai sasaran kutipan dana wakaf tunai sebanyak RM200,000 bagi Program Wakaf Tunai Mesin Dialisis Agrobank & PICOMS-MAIWP.

Setelah lebih dua tahun sejak ia dilancarkan pada tahun 2020, Agrobank bukan sahaja telah berjaya mencapai sasaran kutipan, malah telah berjaya mengumpul kutipan dana wakaf tunai keseluruhan berjumlah RM206,313.45.

Penyerahan kutipan dana wakaf tunai terkumpul ini telah disempurnakan oleh Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin kepada Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman dalam satu majlis yang telah berlangsung pada Rabu.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, “Kita sedia maklum akan kepentingan wakaf dalam pembangunan sosial dan kebajikan umat Islam dan bagaimana golongan yang berkemampuan turut dapat membantu mereka yang serba kekurangan. Agrobank amat berbesar hati dengan kolaborasi ini dalam menjadi agen kepada masyarakat untuk menyalurkan dana wakaf bagi memenuhi keperluan kesihatan dengan pembelian mesin hemodialisis ini. Fokus kesihatan merupakan salah satu fokus AgroWakaf di Agrobank, selain usaha memperkasakan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan komuniti.”

No comments:

Post a Comment