KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Good Foodie Media Sdn Bhd, dengan kerjasama Maybank dan Payments Network Malaysia (PayNet) telah mengumumkan pelancaran Foodie Hawker Awards 2024, sebuah inisiatif pengiktirafan penjaja tempatan yang pertama di Malaysia, bertujuan untuk meraikan budaya makanan jalanan Malaysia yang pelbagai sambil menyokong penjaja tempatan.
Inisiatif ini mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian kulinari, di mana setiap hidangan menceritakan kisah tradisi, budaya, dan cinta terhadap hidangan tersebut. Hidangan yang ditawarkan mempunyai gabungan harmoni pelbagai rasa daripada semua kaum, menciptakan pengalaman yang lazat untuk semua yang menikmati. Hidangan popular seperti Nasi Lemak, Laksa, Roti Canai, dan Satay, serta banyak lagi hidangan tempatan istimewa, menjadikan Malaysia sebagai syurga bagi penggemar makanan.
Menurut Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, “Gastro Diplomacy” atau Diplomasi Makanan merupakan salah satu tarikan utama untuk para pelancong antarabangsa. Malaysia menerima 20 juta pelancong pada tahun lalu dan merupakan destinasi utama di kalangan pelancong ASEAN, di mana ramai daripada mereka menyatakan bahawa makanan adalah salah satu sebab utama kunjungan mereka ke Malaysia. UNESCO juga baru-baru ini mengiktiraf Kuching sebagai salah satu Bandar Gastronomi Kreatif, yang menonjolkan kekayaan dan kepelbagaian budaya makanan di Malaysia. Negara ini juga mempunyai 50 restoran yang diiktiraf oleh Michelin di seluruh negara.
Food Hawker Awards 2024 bertujuan meraikan dan mengangkat industri makanan tempatan dengan pengumpulan undian daripada orang ramai bagi penjaja makanan kegemaran mereka. Pemenang anugerah ini akan ditentukan melalui undian awam, di mana setiap pengundi hanya boleh mengundi satu penjaja sahaja bagi setiap negeri yang terlibat. Kempen ini berlangsung dari 1 Julai 2024 hingga 31 Disember 2024 dan para pemenang akan diraikan dalam satu majlis anugerah pada Januari 2025. Anugerah ini terbuka kepada semua peniaga makanan dan minuman yang beroperasi sebagai ‘penjaja’ - termasuklah gerai tepi jalan, gerai makanan pasar, kedai kopi tradisional, dan trak makanan di seluruh negara.
Untuk menyertai, penjaja mestilah sama ada peniaga Maybank QRPayBiz sedia ada atau daftar akaun Maybank QRPayBiz, dengan minimum 200 transaksi MAE QRPay sepanjang tempoh kempen. Peniaga yang mengambil bahagian akan disenaraikan di laman web Foodie Asia untuk diundi oleh rakyat Malaysia. Semua peserta juga akan menerima pelekat "Featured on Foodie Hawker Awards 2024" untuk dipamerkan di gerai mereka. Tambahan lagi, peniaga terpilih berpeluang mendapat publisiti percuma di media sosial Foodie Asia dan Maybank, serta dalam sebarang kempen promosi ad-hoc yang dijalankan oleh MAE oleh Maybank2u. Dari 15 September hingga 31 Disember tahun ini, pelanggan yang berbelanja minimum RM8 dengan Scan & Pay di aplikasi MAE di gerai yang dipaparkan dalam Foodie Hawker juga akan mendapat diskaun RM2 dengan menggunakan kod promo "MAEFHA2".
Nicholas Lim Pinn Yang, Pengasas dan Ketua Pengawai Eksekutif Good Foodie Media, menegaskan bahawa Foodie Hawker Awards akan menjadi komitmen jangka panjang untuk memperkasa industri makanan tempatan yang meriah di Malaysia. "Kami telah membantu PKS & penjaja untuk mempromosikan perniagaan mereka dalam talian, dan anugerah pengiktirafan adalah sesuatu yang saya ingin lakukan untuk industri F&B di Malaysia," katanya.
"Ia akan menjadi anugerah untuk rakyat Malaysia, dari rakyat Malaysia," tambahnya.
Syed Ahmad Taufik Albar, Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, berkata bahawa Maybank sentiasa aktif membantu penjaja tempatan dan perniagaan kecil berkembang melalui pelbagai inisiatif, seperti platform dalam talian tanpa komisen, Sama-Sama Lokal.
"Melalui pemerkasaan penjaja kami dengan QRPay di aplikasi MAE, kami mencipta ekosistem pembayaran tanpa tunai yang lancar yang akan membantu mengembangkan pangkalan pelanggan mereka. Sehingga hari ini, kira-kira 750,000 peniaga Malaysia menawarkan pembayaran tanpa tunai dengan QRPayBiz Maybank, di mana hampir separuh adalah PKS mikro. Kolaborasi ini juga akan diadaptasi dengan ciri rentas sempadan untuk pelancong dari Thailand, Singapura, China dan Indonesia. Dengan berjuta-juta pelawat setiap tahun dari negara-negara ini, QRPay akan menjadi pengubah permainan kewangan, untuk menyokong PKS mikro dan memacu transformasi digital," tambah Taufik.
Azrul Fakhzan Mainor, Pengarah Kanan Bahagian Komersial PayNet menyatakan, “Kerjasama ini mengukuhkan komitmen kami untuk memacu transformasi digital dan keterangkuman kewangan dalam kalangan PKS mikro. Dengan integrasi DuitNow QR, kami berhasrat untuk memperkasa penjaja tempatan, meningkatkan operasi perniagaan dan memperluas pangkalan pelanggan mereka. Di samping itu, ini juga akan menggalakkan adaptasi pembayaran tanpa tunai dalam kalangan PKS mikro, sekaligus meningkatkan peluang jualan dan pendapatan mereka. Secara kolektif, selain meraikan kepelbagaian dan keunikan makanan, kami juga memupuk ekosistem perniagaan tempatan yang berdaya maju, terhubung, dan mampan melalui pemerkasaan digital di Malaysia.”
Sila layari Foodie Hawker Awards 2024 untuk maklumat lanjut dan mengundi peserta.
Mengenai Good Foodie Media
Good Foodie Media adalah sebuah syarikat media digital berfokuskan gaya hidup di Asia Tenggara dengan 17 jenama di 5 negara ASEAN yang menawarkan penyelesaian teknologi untuk F&B. Setiap bulan, lebih 100 juta orang berinteraksi dengan kandungan yang dihasilkan oleh saluran popular syarikat ini, termasuk KL Foodie, Penang Foodie, dan Singapore Foodie. Syarikat media ini, yang terdiri daripada ‘content creator’ tempatan, bertujuan untuk menghubungkan perniagaan F&B dengan khalayak ramai melalui pelbagai jenama dan platformnya.
Mengenai Maybank
Maybank adalah antara syarikat kewangan terkemuka di Asia dan bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset dan hampir 44,000 pekerja di seluruh dunia. Kumpulan ini mempunyai cawangan antarabangsa yang terdiri daripada kira-kira 2,600 pejabat di 18 negara termasuk kesemua 10 negara ASEAN dan juga antarabangsa seperti London, New York, Hong Kong dan Dubai. Berpandukan strateginya M25+, Maybank menyediakan pelbagai penyelesaian berasaskan nilai yang dibina di atas prinsip-prinsip mampan dan beretika untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang. Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan termasuk perbankan pengguna dan korporat, perbankan pelaburan, perbankan Islam, broker saham, insurans dan takaful, serta pengurusan aset. (www.maybank.com)
Mengenai PayNet
Payment Network Malaysia (PayNet) ialah rangkaian pembayaran nasional dan infrastruktur pusat yang dikongsi untuk pasaran kewangan Malaysia dengan visi untuk memperkasakan ekonomi digital Malaysia. Suite pembayaran runcit kami yang meluas, DuitNow (QR dan P2P), JomPAY (Pembayaran Bil), FPX (Dalam Talian), MyDebit (Debit Domestik), MEPS dan IBG (GIRO Antara Bank) mempunyai liputan hampir di semua kawasan, di seluruh negara dan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian di Malaysia. Selain itu, rangkaian pembayaran QR runcit masa nyata PayNet, DuitNow, juga boleh dikendalikan dengan skim domestik di Singapura, Thailand dan Indonesia untuk membolehkan transaksi rentas sempadan yang lancar dengan negara tersebut. PayNet komited untuk mempromosikan ekosistem pembayaran yang selamat, cekap dan inovatif di Malaysia, dan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingannya untuk membangunkan produk dan perkhidmatan baharu yang memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang semakin berkembang. Untuk butiran lanjut, sila layari laman web kami: www.paynet.com.my
SUMBER : Payment Network Malaysia (PayNet)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Brandon Low
Ketua Pemasaran, Good Foodie Media
Tel: +6012 779 2291
E-mel: brandon@foodie.my
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment