Monday, July 29, 2019

Fusionex hackathon mempersiapkan pelajar di dalam aplikasi industri bagi analisis data

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Hampir 100 orang pelajar dari tujuh universiti mengambil bahagian dalam acara hackathon, Cabaran Data Fusionex, yang diadakan di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) di Bukit Jalil di sini, baru-baru ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fusionex Datuk Seri Ivan Teh berkata sebagai sebuah syarikat moden dan berwawasan, Fusionex terus berusaha membimbing belia ke arah laluan kerjaya dan masa hadapan.

“Kami berharap pertandingan ini akan mendorong pelajar untuk mewujudkan lebih banyak penyelesaian digital berinovatif dan yang dipacu oleh data yang akan membantu memajukan banyak industri untuk masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Selain APU, peserta lain datang dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Multimedia (MMU), Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Universiti Monash Malaysia.

Acara hackathon itu menyaksikan 32 kumpulan bersaing dan hadiah diberikan kepada lima kumpulan terbaik kerana mempamerkan kreativiti dan kecemerlangan berinovatif mereka.

Kesemua lima kumpulan itu juga telah disenarai pendek untuk meneruskan kerjaya mereka dengan Fusionex, syarikat penyedia teknologi data, bagi membangunkan teknologi revolusioner dan canggih yang akan membantu meningkat dan mengubah industri.

Mereka akan juga berpeluang menikmati Pengalaman Adi Wira dengan menerokai Office of Superheroes Fusionex, yang telah memenangi anugerah ‘Reka Bentuk Paling Berinovatif dan Mampan’ pada Anugerah Pengambilan Asia 2019.

Pasukan O(1) dari Universiti Monash muncul juara dengan anggota mereka Alvin Tan Jian Jia, Lim Tai Jie dan Lau Zhe Yu menerima hadiah sebanyak RM9,600, termasuk wang tunai RM3,000, kursus latihan profesional yang bernilai RM6,000 dan nilai ganjaran 8excite bernilai RM600.

Fusionex, syarikat Analisis Data Besar dan peneraju pasaran di ASEAN, membawa platform paling canggih, berinovatif dan dipacu oleh kejayaan data kepada pelanggan termasuk syarikat-syarikat Fortune 500, syarikat FTSE, konglomerat besar dan juga pelbagai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merentasi Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Pasifik.

Fusionex juga merupakan syarikat MDEC GAIN serta penerima MGS.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment