Thursday, July 11, 2019

KLPGA anjur Kejohanan Kelayakan di Pattaya bulan hadapan




KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Persatuan Golf Profesional Wanita Korea (KLPGA) akan menganjurkan Kejohanan Kelayakan Antarabangsa KLPGA 2019 selama empat hari bermula 20 Ogos ini di Pattaya, Thailand.
Menurut satu kenyataan, kejohanan itu merupakan acara jelajah tahunan yang menawarkan peluang kepada pemain golf bukan warga Korea menyertai Jelajah KLPGA.
Tahun lepas, acara itu diadakan di Malaysia membabitkan 50 pemain golf dari 10 negara iaitu Thailand, Jepun, Taiwan, Malaysia, Singapura, China, Amerika Syarikat, Kanada, Filipina dan Hong Kong.
Pada kejohanan tahun lepas, hadiah keseluruhan berupa wang tunai USD30,000 (USD1=RM4.13) dan yuran permainan dikecualikan, bagaimanapun tahun ini, tiga pemain teratas layak ke Peringkat 3 Jelajah Kejohanan Kelayakan KLPGA 2019 tanpa perlu bertanding dalam kejohanan kelayakan awal.
Sehingga hari ini, enam pemain antarabangsa iaitu Ploychompoo Wirairungrueng (Thailand), Sui Xiang (China), tiga pemain Jepun Takabayashi Yumi, Aratake Rui dan Nishimura Miki serta Chen Yu Ju dari Taiwan telah mendaftar.
KLPGA berusaha untuk meningkatkan daya saing jelajah itu dengan menawarkan lebih banyak sokongan kepada pemain antarabangsa. Perkhidmatan khas kini ditawarkan termasuk pengangkutan ke dan dari tempat kejohanan serta tempahan untuk pusingan latihan.
Untuk maklumat lanjut, hubungi http://klpgaiqt.com.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment