Saturday, August 10, 2019

FRIM GALAKKAN INOVASI, KREATIVITI DI KALANGAN PELAJAR

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan Pertandingan Inovasi Piala Ketua Pengarah FRIM Peringkat Sekolah Negeri Selangor 2019 untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang sains serta kesedaran dan pengetahuan berkaitan inovasi.

Pertandingan ini juga bertujuan menggalakkan kreativiti serta percambahan minda dalam menghasilkan reka cipta yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Pertandingan bertemakan, “Konservasi Hutan, Air dan Hidupan Liar ke Arah Kelestarian Biodiversiti dan Manfaat Sejagat” ini berjaya menarik penyertaan sejumlah 33 inovasi daripada 15 sekolah rendah serta 47 inovasi daripada 26 sekolah menengah dalam bidang perhutanan dan alam sekitar; bioteknologi dan hasilan semula jadi; serta sumber boleh diperbaharui dan kejuruteraan.

Pertandingan inovasi sekolah peringkat negeri Selangor yang julung-julung kali diadakan ini mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod di Dewan Alwy, FRIM semalam. Turut hadir, Muhamad Radzi Abdullah, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor; Kamal Kormin, Penolong KP (Teknikal, Sains dan Teknologi), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO); serta Pengarah Inovasi dan Komersialisasi FRIM, Norhayati Nordin.

Dalam ucapannya, Abd Latif berkata, “Saya berharap agar semua pihak sama ada FRIM sendiri, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, guru-guru, murid-murid dan agensi-agensi lain yang terlibat akan terus menyokong agenda penyelidikan dan inovasi untuk menjadi penyumbang kepada percambahan ilmu pengetahuan dan teknologi.”

“Kita seharusnya bersedia untuk mengubah corak pemikiran daripada berterusan menjadi pengguna kepada pencetus atau inovator kepada ilmu dan teknologi yang terkini,” tambah beliau.

Para pengadil pertandingan terdiri daripada wakil-wakil MyIPO, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Multimedia University (MMU).

Selain pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi Kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah, peserta pertandingan juga memenangi anugerah-anugerah khas seperti kategori ‘Solusi Sains’, ‘Solusi Domestik’, ‘Video Terbaik’, ‘Pilihan Juri’ dan ‘Waste to Wealth’.

Projek inovasi ‘Bio-eggcellent’ SK Rasa muncul sebagai juara Kategori Sekolah Rendah manakala Kategori Sekolah Menengah dimenangi oleh projek ‘Kerusi Serbaguna’ daripada SMK Taman Tasik.

Untuk mendapatkan salinan ‘softcopy’ kenyataan media dan ucapan, sila muat turun daripada pautan berikut: https://tinyurl.com/PialaKPFRIM

Sumber: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Lim Chung Lu
Tel: 017-479 7687
Emel: limchunglu@frim.gov.my

Nama: Toh An Nee
Tel: 012-250 6897
Emel: annee@frim.gov.my

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment