Friday, December 2, 2016

Agrobank Catat Pertumbuhan Perniagaan 15 Peratus Antara Jan-Okt 2016



SEBERANG JAYA, 25 Nov (Bernama) -- Agrobank mencatat pertumbuhan perniagaan 15 peratus pada 10 bulan pertama tahun ini dengan nilai pembiayaan berjumlah RM8.5 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, bank itu komited menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan ini ditunjukkan oleh prestasi cemerlangnya.

Menurutnya, pertumbuhan itu dipacu segmen makanan agro yang disokong permintaan untuk makanan dan keseluruhan rantaian nilai industri berkenaan.

"Ini adalah pencapaian mengkagumkan, terutama dalam persekitaran ekonomi global ketika ini, kerana kami melepasi pertumbuhan 13 peratus yang dicapai pada tempoh sama tahun lepas. Kami akan terus meningkatkan penembusan pasaran dalam sektor pertanian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program perkongsian maklumat mengenai prospek dan peluang dalam sektor pertanian yang dihoskan Agrobank di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Wan Mohd Fadzmi berkata, walaupun persekitaran pasaran yang mencabar, bank itu masih merancang untuk mencatat 12 hingga 15 peratus pertumbuhan perniagaan pada 2017.

"Permintaan untuk produk pertanian, termasuk segmen makanan masih wujud dan dijangka berkembang lagi," katanya.

Menurutnya, prestasi Agrobank di wilayah utara, iaitu di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis telah memberi sumbangan penting kepada nilai pembiayaan keseluruhan bank itu.

"Dalam segmen deposit, wilayah utara mencatat pertumbuhan deposit kepada RM850.91 juta antara Januari hingga September 2016 berbanding RM793.95 juta yang dicatat dalam tempoh sama tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, bank itu kini mempunyai 435 ejen agro, kebanyakannya terdiri daripada pertubuhan peladang kawasan, persatuan nelayan dan kedai rakyat Agrobazaar bagi menawarkan perkhidmatan perbankan lebih baik di kawasan luar bandar.

"Kami merancng untuk membuka 300 outlet ejen agro lagi di seluruh negara bagi memastikan perkhidmatan perbankan asas kami dapat diperoleh masyarakat luar bandar secepat mungkin.

"Matlamat kami adalah untuk menjadikan ejen agro sebagai penyelesaian perbankan berkesan bagi menangani kesukaran dihadapi penduduk luar bandar yang memerlukan kemudahan institusi kewangan," katanya.

Bank di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan Diperbadankan itu mempunyai 187 cawangan di seluruh negara dan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan dalam bidang korporat, komersil dan pembiayaan mikro serta pembiayaan perdagangan, pembiayaan peribadi, perkhidmatan perbankan elektronik dan deposit.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment