Friday, December 9, 2016

MALAYSIA SOKONG PENUH USAHA UNTUK PUPUK PERSEFAHAMAN BERSAMA - REEZAL MERICAN

PUTRAJAYA, 8 Dis (Bernama) -- Malaysia menyokong sepenuhnya usaha di peringkat
antarabangsa yang bertujuan untuk meningkatkan lagi persefahaman antara budaya,
tamadun dan agama, termasuk kepercayaan dan amalan mazhab.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata
masyarakat terus menyaksikan situasi kemanusiaan yang amat buruk, pencabulan
hak asasi manusia dan tindakan ekstremisme di pelbagai pelusuk dunia.

"Dalam hubungan ini, Malaysia berpegang kuat kepada pendekatan
memperjuangkan nilai-nilai kesederhanaan di peringkat global seperti didukung
oleh Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).

"Dalam memperjuangkan suara-suara kesederhanaan, GMM berusaha untuk
meningkatkan persefahaman bersama dan prinsip hormat-menghormati serta
menyumbang ke arah keamanan, pembangunan mampan dan inklusif, pertumbuhan
yang saksama dan kesejahteraan sosial.

"Kami percaya bahawa kesederhanaan menyumbang kepada demokrasi kerana ia
membuka jalan ke arah keharmonian dalam struktur sosio-budaya masyarakat
majmuk," kata beliau semasa berucap pada Forum Demokrasi Bali Ke-9 di Bali,
Indonesia hari ini.
   
Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama oleh Kementerian Luar.

Dalam ucapannya yang bertemakan "Agama, Demokrasi dan Pluralisme",
Reezal berkata amalan demokrasi dalam masyarakat majmuk adalah penting
kerana ia memupuk perasaan saling hormat menghormati dan persefahaman bersama.

"Ia sekali gus memungkinkan kewujudan bersama secara aman dan mengukuhkan
hubungan rakyat dengan rakyat yang mengikat masyarakat," katanya.

Beliau berkata konsep 1Malaysia diperkenalkan sebagai inisiatif untuk
menggalakkan perpaduan nasional, toleransi dan menerima perbezaan masing-masing.

"Justeru, adalah penting untuk menerima hakikat bahawa masyarakat majmuk,
yang menyaksikan pelbagai kaum dapat mengekalkan dan mengembangkan budaya
tradisional mereka, pasti akan menyumbang kepada demokrasi yang berjaya dan
lebih bermakna.

"Oleh itu, penekanan kepada penyertaan inklusif rakyat sudah pasti akan
melenyapkan ketidakimbangan sosial dan ketegangan," tambah beliau.

-- BERNAMA







No comments:

Post a Comment