Friday, October 8, 2021

FAHAMI ILMU KESIHATAN MENTAL ATASI KEMURUNGAN DAN KEBIMBANGAN MELAMPAU

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Bersempena dengan Bulan Oktober sebagai Bulan Kesedaran Kesihatan Mental Sedunia, IKIM dengan kerjasama agensi korporat ILTIZAM bersama EKUINAS telah menganjurkan Bengkel Kembara Syifa 2.0 bertemakan ‘Menghadapi Kemurungan dan Anxiety – Anda Mampu Mengurusnya!’, pada 5 Oktober 2021.

Bengkel sehari yang diadakan secara dalam talian ini merangkumi kaedah menilai tahap kesihatan mental seseorang secara profesional selain daripada meneroka teknik mengurus tekanan. Ini adalah penting bagi membantu mengelakkan lebih ramai masyarakat dibelenggu dengan kemurungan dan anxiety atau kebimbangan melampau akibat kegagalan mengurus tekanan dengan baik.  

Bengkel ini merupakan penganjuran kali kedua selepas mendapat sambutan yang menggalakkan pada tahun 2018, dengan menampilkan dua orang pakar perunding psikiatri berpengalaman iaitu Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Hazli Zakaria dan Dr. Firdaus Abdul Ghani dari Hospital Sultan Ahmad Shah, Pahang, selain turut membawakan perkongsian kerohanian Islam oleh Dr. Nik Roskiman Abdul Samad, Fellow Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM.

Dengan penyertaan hampir 150 orang peserta, bengkel ini wajar dipuji dan dihargai atas keprihatinan entiti korporat dalam membantu memerangi stigma kesihatan mental dalam masyarakat. Ia satu usaha kerjasama yang amat baik untuk dijadikan contoh kepada sektor korporat lain agar turut sama memainkan peranan bersama-sama pihak berkuasa kesihatan dalam meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan kesihatan mental.

Masalah kesihatan mental timbul apabila keadaan kehidupan seharian seseorang pesakit itu menjadi sukar dan tertekan sehingga menyebabkan bukan sahaja keruntuhan rumahtangga, kehilangan pekerjaan, kemiskinan, tetapi juga tindakan membunuh diri. 
  
Justeru, IKIM memainkan peranan sebagai institusi pemikiran dan kajian sekaligus pusat media yang ke hadapan dalam usaha memberi kefahaman dan pendidikan berkaitan ilmu penjagaan kesihatan mental menerusi perkongsian rancangan radio serta penganjuran bengkel dan acara.

Usaha mempromosikan ilmu kesihatan mental secara berterusan ini adalah penting agar masyarakat semakin cakna dan terbuka serta lebih bersedia menangani tekanan dalam kehidupan. Semoga penganjuran bengkel sebegini, dapat menaikkan semangat mereka yang mengalami masalah kesihatan mental untuk tidak berasa malu dalam meminta sokongan dan mendapatkan rawatan yang tepat.
 
Unit Perhubungan Korporat
8 Oktober 2021


SUMBER : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

No comments:

Post a Comment