Wednesday, October 16, 2019

KENYATAAN MEDIA WARIS KAKITANGAN PAS PUSAT LAYAK FAEDAH PERKESO

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Berita kemalangan maut yang menimpa Allahyarham Abdullah bin Atan@Yaakub 51 tahun, seorang Pegawai IT di Pejabat Agung PAS Pusat dan merupakan ahli PAS Kawasan Selayang (DUN Kuang) pada 3 Oktober 2019 yang dimuatnaik ke dalam Facebook Friends of PAS telah mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Motorsikal ditunggangi beliau dilaporkan telah terjatuh dan dirempuh oleh lori di bawah jejantas berhampiran Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. 

Bertindak atas berita yang diperolehi dari laman facebook tersebut, Skuad PERKESO Prihatin Pejabat PERKESO Rawang telah mendapatkan maklumat lanjut dan telah mengunjungi keluarga arwah bagi menghulurkan pertolongan untuk menguruskan tuntutan faedah yang layak diberikan oleh PERKESO. Oleh kerana kemalangan berlaku sewaktu dalam perjalanan untuk ke tempat kerja, waris arwah layak untuk menerima faedah-faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO iaitu Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Orang Tanggungan.

Yang Berhormat Dato’ Haji Mahfuz bin Haji Omar, Timbalan Menteri Sumber Manusia dengan diiringi oleh Encik Zamri bin Draman, Pengurus PERKESO Rawang dan Skuad PERKESO Prihatin telah hadir ke kediaman waris pada 14 Oktober 2019 bagi menziarahi serta menyerahkan faedah-faedah PERKESO tersebut kepada keluarga arwah.

Skuad PERKESO Prihatin ditubuhkan bagi memantau dan mengambil tindakan segera bagi kes-kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan dalam media massa yang layak, bukan sahaja yang terpampang di dada-dada akhbar tetapi juga di media sosial. Orang ramai diseru untuk membantu menyalurkan maklumat berkaitan kes-kes kemalangan seperti ini melalui talian 1 300 22 8000 atau emel perkeso@perkeso.gov.my.

Sumber : PERTUBUHAN KESELAMATAN SOSIAL (PERKESO)

No comments:

Post a Comment