Wednesday, October 16, 2019

MAJLIS PENILAIAN & PENYAMPAIAN HADIAH ANUGERAH HIJAU 2019

Remaja Sekolah Bertanding Menjadi Pelindung Sungai Klang

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- 16 pasukan finalis daripada 10 buah sekolah menengah kawasan Lembah Klang telah bertanding untuk gelaran “Pelindung Sungai Klang” yang merupakan tema Anugerah Hijau tahun ini.

Anugerah Hijau merupakan pertandingan tahunan anjuran EcoKnights dengan kerjasama Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), ERE Consulting Group (ROLPOP Fasa 3A) dan Asia Pasific Environmental Consultants (ASPEC) (ROLPOP Fasa 3B & 4) melalui projek Sungai Nadi Kehidupan untuk memupuk kesedaran dan penglibatan para pelajar sekolah menengah dalam pemeliharan dan pemuliharaan sungai. Sejak bermulanya pertandingan ini, banyak sekolah telah berjaya mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal di kampus masing-masing.

Tahun ini, dua kategori telah dipertandingkan, iaitu Aktif Sepenuhnya (memfokuskan cara pengurusan sisa di sekolah) dan Sememangnya Kreatif (menghasilkan filem pendek tentang sungai). Setiap pasukan telah menghantarkan kertas cadangan mereka dan kemudiannya dipilih untuk menyertai bengkel finalis pada bulan Julai yang lepas. Majlis Penilaian dan Penyampaian Hadiah ini merupakan peringkat terakhir bagi para pelajar melaporkan dan membentangkan hasil pencapaian mereka sebelum pemenang diumumkan.

Pemenang bagi Anugerah Hijau 2019 kategori Aktif Sepenuhnya ialah SMK Aminuddin Baki (Juara), SMK Taman Kosas (Naib Juara) dan SM Sains Alam Shah (Tempat Ketiga), manakala pemenang bagi kategori Sememangnya Kreatif ialah SMK Sungai Besi (Juara melalui filem bertajuk Ngap), SMK Sungai Besi (Naib Juara melalui filem bertajuk Ayah Hero Tragedi,), dan SMK Darul Ehsan (Tempat Ketiga melalui filem bertajuk Perubahan). Selain itu, majlis juga menyampaikan Anugerah Guru Terbaik untuk mengiktiraf guru yang banyak membantu para pelajar untuk menjayakan projek mereka. Pemenang anugerah ini ialah cikgu Mardiah Binti Ab Latiff (SMK Aminuddin Baki, Juara), cikgu Nazihah Binti Idris (SMK Dato Ahmad Razali, Naib Juara), dan cikgu Ayadurai A/L Letchumanan (SMK Darul Ehsan, Tempat Ketiga).

Majlis penyampaian hadiah telah berjaya dilaksanakan oleh Tuan Haji Md. Khairi Bin Selamat, Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Dr. Yasmin Rasyid, Pengasas dan Presiden Pertubuhan Alam Sekitar EcoKnights Kuala Lumpur dan Selangor, diiringi juri-juri Pn. Norhidayah Binti Abu Hassan, Penolong Kanan Pengarah, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Cik Fong Chuen Far, Pengurus Projek ROLPOP Fasa 3A, Dr. Jamie Chong Li Yean, Pengurus Projek ROLPOP Fasa 3B & 4, dan En. Amlir Ayat, Timbalan Presiden EcoKnights. Bersama pada sesi tersebut merupakan guru penasihat dan pasukan finalis daripada SMK Shah Alam, SMK Seri Ampang, SMK Kepong, dan SMK Dato’ Onn.

“Bagi menerapkan budaya bertanggungjawab pada alam sekitar yang masih kita boleh kira sebagai suatu budaya yang baru di negara kita, kita sangat memerlukan komitmen masa oleh setiap pihak, terutamanya generasi baru yang bakal menggalas tanggungjawab untuk membangunkan negara kita pada masa akan datang,” kata Tuan Haji Md. Khairi Bin Selamat.

Majlis ini telah dilangsungkan di White Box, Publika Solaris Dutamas sempena Festival Eko Filem Antarabangsa Kuala Lumpur ke-12.

Untuk gambar-gambar aktiviti, tekan sini 

Sumber: EcoKnights

No comments:

Post a Comment