Friday, March 26, 2021

KIRA-KIRA 4,000 PENCARI KERJA WARGA TEMPATAN 'SERBU' KARNIVAL KERJAYA AGRIKOMODITI 2021, TEMPOH TEMUDUGA DILANJUTKAN SEBULAN

 KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) secara maya baru-baru ini berjaya menarik hampir 4,000 pencari kerja warga tempatan bagi di sektor perladangan dan industri komoditi. Sebanyak 8,694 kekosongan jawatan daripada lebih 26 majikan di sektor berkenaan ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berminat.


Karnival kerjaya yang julung-julung kali dianjurkan membabitkan sektor perladangan dan komoditi itu diadakan selama dua hari mulai 9 Mac lalu dengan pelbagai pengisian bagi menarik lebih ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan ekoran pandemik COVID-19 memperoleh pekerjaan. Ia dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali. Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M. Saravanan.

Antara pengisian lain karnival berkenaan ialah sesi taklimat berhubung PenjanaKerjaya 2.0 dan Portal MYFutureJobs serta Webinar ‘Peluang Kerjaya di Sektor Agrikomoditi’. Acara kemuncaknya adalah sesi temuduga secara dalam talian yang diadakan pada hari kedua karnival. 

Hasil daripada sesi temuduga secara dalam talian tersebut, sehingga kini seramai 76 peserta berjaya ditawarkan pekerjaan di syarikat perladangan terkenal di negara ini. Seramai 44 calon bakal bekerja di Sime Darby Plantation, Felcra Berhad (19 orang), TH Plantation Berhad (9) dan masing-masing dua dengan BOH Plantation Berhad dan United Malacca Berhad. 

KPPK mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya memperoleh pekerjaan menerusi karnival kerjaya ini. Bagi yang tidak berjaya diharapkan akan terus memohon melalui portal MyFutureJobs yang terus menawarkan banyak peluang pekerjaan di pelbagai sektor termasuklah di sektor agrikomoditi. Penganjuran karnival seumpama ini akan diteruskan lagi di masa hadapan bagi memastikan lebih ramai rakyat tempatan terlibat dalam pekerjaan dalam sektor agrikomoditi. 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
26 Mac 2021


SUMBER : Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

No comments:

Post a Comment