Saturday, February 26, 2022

PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI HASIL: PENDUDUK KAMPUNG BANGI, HULU LANGAT DISANTUNI

HULU LANGAT, 25 Feb (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyantuni para penduduk Kampung Bangi yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini dalam Program Khidmat Komuniti HASiL bersempena dengan sambutan Hari Hasil ke-26.
 
Program Tanggungjawab Sosial (Corporate Social Responsibility - CSR) ini merupakan kesinambungan daripada program-program CSR yang telah diadakan sebelum ini dan pada kali ini bantuan yang diberikan kepada penduduk Kampung Bangi, Hulu Langat adalah seperti yang berikut:

a. Sumbangan kewangan kepada 100 keluarga kategori B40 yang dikenalpasti;
b. Bantuan dalam bentuk pembaikan balai raya; dan
c. Sumbangan peralatan sukan iaitu dua unit meja ping pong bagi memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk kampung. 

Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Adenan Che Semail, Pengarah Jabatan Siasatan yang mewakili YBhg. Datuk Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Encik Rashidin bin Md. Yusoff, Ketua Kampung Bangi dan para penduduk yang telah dikenalpasti sebagai penerima bantuan daripada HASiL.
 
YBhg. Dato’ Adenan Che Semail dalam ucapannya berkata,  HASiL komited meneruskan usaha menyantuni rakyat dengan melaksanakan pelbagai pakej bantuan Kerajaan dan inisiatif tanggungjawab sosial dalam membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik serta melahirkan warga kerja yang prihatin. Pada masa yang sama, HASiL akan melaksanakan fungsi dan peranannya secara adil, profesional, berhemah dan berintegriti untuk mengubah persepsi negatif rakyat serta mengembalikan keyakinan pembayar cukai terhadap HASiL.
 
Diharapkan program seperti ini sedikit sebanyak mampu membantu mengurangkan beban setiap penerima sumbangan yang terkesan dalam tempoh yang mencabar ini selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia. 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=15600

No comments:

Post a Comment