Monday, February 21, 2022

VIRTUAL TAX-EDU CHALLENGE 2022 ANJURAN HASIL TARIK PENYERTAAN 75 PASUKAN DARI 28 BUAH INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

 KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Pertandingan Virtual Tax-Edu  Challenge 2022 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) berjaya menarik penyertaan 75 pasukan yang mengandungi 319 orang mahasiswa dari 28 buah Institusi Pengajian Tinggi dan Kolej Politeknik dari seluruh Malaysia. Pertandingan yang julung kali diadakan bersempena dengan sambutan Hari HASiL ke-26 ini bertujuan untuk memberikan  pendedahan awal kepada para mahasiswa tentang peranan dan kepentingan cukai  kepada pembangunan negara. Di samping itu, ia juga diharapkan dapat melahirkan golongan  mahasiswa cerdik cukai yang akan membantu HASiL mempromosikan kesedaran cukai dalam kalangan rakyat di negara ini.

 
Virtual Tax-Edu Challenge 2022 ini melibatkan sebanyak lima (5) checkpoint berorientasikan kepada pengenalan umum HASiL, manfaat cukai, aplikasi ezHasil,  ByrHASiL serta pelepasan cukai yang perlu disempurnakan oleh setiap kumpulan.
 
Pada penganjuran kali pertama ini, dua pasukan yang mewakili Universiti Malaya iaitu "Team Fantastic 5" dan "Team PKP" bertindak cemerlang dengan menggondol tempat pertama dan tempat ketiga. Mereka masing-masing  membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000.00 dan RM500.00 beserta Sijil Penghargaan. Manakala tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM800.00 dan Sijil Penyertaan pula dimenangi oleh pasukan “USIM 2” yang mewakili Universiti Sains Islam Malaysia. Selain tempat pertama hingga ketiga, HASiL turut memilih tujuh pasukan lain sebagai pemenang hadiah saguhati. Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM200.00 dan Sijil Penyertaan. Senarai penuh pemenang tempat pertama hingga ke-10 Pertandingan Virtual Tax-Edu Challenge 2022 adalah seperti yang berikut:
 
1.   Team Fantastic 5 (Universiti Malaya)
2.   USIM 2 (Universiti Sains Islam Malaysia)
3.   Team PKP (Universiti Malaya)
4.   DHT (Universiti Teknologi Malaysia)
5.   Taxla Model S (UiTM Shah Alam)
6.   Sky Castle (Universiti Utara Malaysia)
7.   The Relief (Universiti Teknologi Malaysia)
8.   Taxpayers (Universiti Islam Antarabangsa)
9.   Kumpulan Youth Tax ( UiTM Sungai Petani)
10.  Kumpulan Kroni (UiTM Cawangan Melaka)
 
Terima kasih diucapkan kepada para peserta dan tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Semoga inisiatif yang dilaksanakan oleh HASiL ini mampu meningkatkan lagi tahap kesedaran rakyat akan tanggungjawab membayar cukai demi menjamin kemakmuran negara dan kesejahteraan Keluarga Malaysia. 

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Tarikh: 21 Februari 2022

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

No comments:

Post a Comment