Thursday, October 20, 2022

BAJET 2023 MAMPU PERKUKUH PRODUKTIVITI DAN DAYA SAING SUB-SEKTOR LOGISTIK

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Bajet 2023 yang diumumkan baru-baru ini mampu memperkukuh ekonomi negara serta meningkatkan produktiviti dan daya saing rantaian bekalan perniagaan dalam sub-sektor logistik

Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman, Bajet 2023 bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat malah turut memperkukuh rantaian bekalan perniagaan serta daya tahan negara ketika berhadapan dengan cabaran pemulihan di pasca-pandemik.
 
“Bajet 2023 mampu memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat terutamanya dari segi pendapatan dan perlindungan sosial serta membantu negara untuk berhadapan dengan kebimbangan situasi ekonomi serantau dan gangguan rantaian bekalan susulan konflik Rusia-Ukraine”, kata beliau ketika mengulas mengenai Bajet 2023 yang diumumkan baru-baru ini.
 
Beliau berkata, sub-sektor logistik memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Bajet 2023: Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan memperkukuh daya saing rantaian bekalan domestik dan antarabangsa.
 
Dato’ Abdul Latif juga yakin, sasaran negara untuk menjadi Hub Logistik ASEAN mampu direalisasikan melalui perancangan dan strategi yang inklusif serta disokong oleh tumpuan kepada peningkatan produktiviti, daya saing dan prestasi industri logistik di Malaysia. 

No comments:

Post a Comment