Monday, December 2, 2019

​PERTANDINGAN DEBAT PUPUK NILAI TOLERANSI DALAM KALANGAN GENERASI MUDA

KUALA LUMPUR 27 Nov (Bernama) -- Salah satu nilai yang menjadi asas kepada wujudnya perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia adalah  toleransi. Bersempena dengan sambutan Hari Toleransi Sedunia 2019, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PERPADUAN) telah menganjurkan program 'Youth Debate: This House Resolves that Sustaining a Peaceful Malaysia  is Based on Tolerance' pada 22 November 2019 bertempat di Dewan Besar IKIM.

Menurut Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, toleransi adalah antara nilai dan pendekatan penting yang dipupuk di dalam kehidupan masyarakat Islam. Golongan belia  perlu menyedari akan kepentingan nilai toleransi dan kepentingannya kepada keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang bangsa dan agama. Penganjuran program debat ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan perhatian para belia khususnya mengenai kebaikan dan manfaat toleransi kepada masyarakat dalam usaha membina perpaduan negara.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PERPADUAN)  Datuk Baharin Idris  pula menegaskan bahawa generasi muda perlu dipupuk dengan nilai-nilai yang baik kerana toleransi bukan sahaja akan membawa kepada kekuatan dalam hubungan antara kaum, agama dan latar belakang sosial, tetapi juga dapat mempromosikan kehidupan yang harmoni di Malaysia.

Dua kumpulan debat yang terdiri daripada pelajar pelbagai kaum daripada Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyampaikan hujah-hujah yang bernas sepanjang sesi perdebatan. Pasukan debat dari Universiti Malaya (UM)  telah muncul sebagai Johan dalam pertandingan debat berkenaan manakala pasukan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pula memenangi tempat kedua. Danesh Ram Aggarwal dari Universiti Malaya telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik.

Semoga penganjuran program debat ini mampu memberi pendedahan awal kepada golongan muda mengenai pentingnya nilai toleransi antara kaum dan agama di Malaysia dan sebagai salah satu pendekatan yang perlu diterapkan dalam mengenengahkan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin.

Unit Perhubungan Korporat
27 November 2019

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

No comments:

Post a Comment