Monday, August 17, 2020

MPC TERIMA ANUGERAH KHAS DARI PERDASAMA SELANGOR

 PETALING JAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menerima Anugerah Khas sempena Mesyuarat Agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Negeri Selangor, baru-baru ini.

 
Anugerah berkenaan diterima berasaskan pelaksanaan inisiatif dalam program produktiviti yang meningkatkan keupayaan dan ekonomi bumiputra melalui Skim Peningkatan Produktiviti Enterpris (SPPE).
 
Ketua Pengarah MPC, YBhg. Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman berkata inisiatif berkenaan akan sentiasa dipergiat bagi membantu usahawan tempatan terutama bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing syarikat.
 
Beliau berkata misi MPC sebagai penggerak daya saing dan produktiviti ke arah  mencapai kecemerlangan melalui inovasi yang menghubungkan dengan pihak berkepentingan dan menonjolkan sistem nilai perkongsiannya.
 
“Dengan mengutamakan misi ini, kami sentiasa memberi keutamaan kepada syarikat PKS tempatan bagi memastikan tahap kecemerlangan perniagaan mereka sentiasa konsisten.
 
“Penerimaan anugerah ini menunjukkan komitmen kami untuk terus membangun bersama industri dan PKS yang terlibat melalui program SPPE. Saya percaya pengiktirafan ini jelas membuktikan lebih banyak syarikat bumiputera yang berpotensi untuk terus mencapai kejayaan dan kekal berdaya saing di peringkat global.
 
“Kami berbangga dan menghargai hubungan yang dibina melalui perkongsian yang telah membolehkan syarikat berjaya bersama," katanya.
 
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Presiden PERDASAMA YBhg. Tan Sri Matshah Safuan.
 
MPC melalui program Skim Peningkatan Produktiviti Enterpris (SPPE) sejak tahun 2018 sehingga 2020 telah membantu ahli PERDASAMA Selangor.
 
Menurut beliau, pada tahun 2018 berjumlah 9 syarikat manakala 2019 berjumlah 5 syarikat dan 2020 berjumlah 10 syarikat mengikuti program SPPE ini. Ia sememangnya dapat membantu mewujudkan persekitaran yang sistematik selain memupuk pemikiran dan budaya kreatif dikalangan pekerja,” katanya. 

Mengenai  Malaysia Productivity Corporation (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menggalakkan produktiviti, kualiti dan daya saing kepada industri dan organisasi di Malaysia. Visi MPC adalah menjadi organisasi terkemuka dalam peningkatan produktiviti untuk daya saing global dan inovasi. 

Siaran media oleh: MALAYSIA PRODUCTIVITY CORPORATION. 


SUMBER : Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 

No comments:

Post a Comment