Monday, June 27, 2022

AGROBANK SERAH WANG PAMPASAN TAKAFUL PERLINDUNGAN DIRI KEPADA USAS, RINGAN BEBAN KELUARGA PENUNTUT USAS TERLIBAT DALAM KEMALANGAN MAUT

 



Table


Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek wang pampasan perlindungan diri berkelompok bernilai RM160,000 kepada Prof Dato' Wan Sabri Wan Yusof, Timbalan Naib Canselor USAS (tiga dari kanan). USAS telah mengambil pelan perlindungan Takaful Hybrid Agrobank dengan sumbangan premium sebanyak RM30 bagi tempoh setahun untuk setiap pelajar yang mendaftar di USAS. Seramai 6,049 pelajar USAS telah dilindungi oleh pelan perlindungan Takaful dengan Agrobank ini.


IPOH, 27 Jun (Bernama) -- Agrobank menyerahkan wang pampasan takaful perlindungan diri berkelompok berjumlah RM160,000 termasuk manfaat khairat kematian sebanyak RM2,000 seorang kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), yang menerima bagi pihak keluarga lima penuntut USAS yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora baru-baru ini.
 
Penyerahan ini telah disempurnakan oleh Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank kepada Prof. Dato’ Wan Sabri Yusof, Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar dan Akademik USAS, di Hotel Casuarina @ Meru di Ipoh pada Rabu.
 
Di majlis yang sama, Tengku Ahmad Badli Shah turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan waris mangsa.
 
"Dikesempatan ini, saya ingin menyampaikan ucapan takziah daripada seluruh warga kerja Agrobank kepada seluruh keluarga mangsa dan waris yang terlibat dalam kemalangan ini. Diharapkan agar seluruh ahli keluarga dan waris yang terbabit sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini. Kami mendoakan agar roh-roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.”
 
Untuk makluman, USAS telah mengambil pelan perlindungan Takaful Hybrid Agrobank dengan sumbangan premium sebanyak RM30 bagi tempoh setahun untuk setiap pelajar yang mendaftar di USAS. Seramai 6,049 pelajar USAS telah dilindungi oleh pelan perlindungan Takaful dengan Agrobank ini.
 
Selain manfaat kematian dan khairat kematian akibat kemalangan dan bukan kemalangan, pelan perlindungan serendah RM30 setahun ini turut melindungi para pencarum termasuk pelajar USAS bagi kes hilang upaya kekal sepenuhnya akibat kemalangan dan bukan kemalangan, rawatan perubatan, dan elaun tunai hospital.
 
Dalam kejadian sekitar jam 1.45 pagi pada 12 Mei lalu, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City maut selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.
 
Mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Mengenai Agrobank

Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro.  Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.
 
Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian.  Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian.  Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna. 
 
Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dapat dilaksanakan menerusi kesemua 207 buah rangkaian untuk pelanggan Bank merangkumi 140 cawangan, 32 kiosk, 19 pusat perdagangan dan 16 rangkaian perbankan.

Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.

www.agrobank.com.my  

*VBI atau perantaraan berasaskan nilai merupakan satu inisiatif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam bagi menggalakkan keusahawanan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan pulangan kepada para pemegang saham.


Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Strategik, Agrobank

 


SUMBER : Agrobank

No comments:

Post a Comment